Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Syria akan adakan pilihan raya pada September

Jul 28, 2025 | 1:57 PM
Poster-poster kempen telah dipasang di Damsyik menjelang pilihan raya yang akan diadakan pada September 2025
Poster-poster kempen telah dipasang di Damsyik menjelang pilihan raya yang akan diadakan pada September 2025 - Foto: AFP

DAMSYIK: Syria akan mengadakan pilihan raya parlimen pada September, kata ketua badan yang ditugaskan untuk mengatur proses pilihan raya kepada media pemerintah pada 27 Julai.

Pengerusi Jawatankuasa Peringkat Tinggi bagi Pilihan Raya Perhimpunan Rakyat, Encik Mohammed Taha al-Ahmad, memberitahu agensi berita Sana bahawa pilihan raya akan berlangsung dari 15 hingga dan 20 September.

Pilihan raya itu adalah yang pertama diadakan di bawah pihak berkuasa baru negara itu selepas rejim Presiden Bashar Assad digulingkan dalam serangan pemberontak pada Disember 2024.

Satu pertiga daripada 210 kerusi akan dilantik oleh Presiden sementara Encik Ahmad al-Sharaa, dan selebihnya akan dipilih menerusi pilihan raya itu.

Dalam temu bual baru-baru ini dengan laman berita Erem News, seorang lagi ahli jawatankuasa pilihan raya, Encik Hassan al-Daghim, berkata sebuah badan pilihan raya akan ditubuhkan di setiap wilayah Syria untuk mengundi bagi kerusi yang dipilih.

Perlembagaan sementara yang ditandatangani oleh Encik al-Sharaa pada Mac menggesa Jawatankuasa Rakyat ditubuhkan untuk berkhidmat sebagai parlimen sementara sehingga perlembagaan tetap diterima pakai dan pilihan raya umum diadakan - satu proses yang boleh mengambil masa bertahun-tahun.

Pengumuman pilihan raya akan datang dibuat ketika negara itu semakin berpecah-belah akibat keganasan mazhab meletus di wilayah selatan Sweida pada awal bulan ini.

Pertempuran antara puak Badwi dengan golongan minoriti Druze telah bmembunuh ratusan orang dan mengancam untuk merungkai peralihan rapuh Syria selepas perang.

Pertempuran ganas, yang tercetus dua minggu lalu, berpunca daripada kejadian culik-menculik antara kaum Badwi yang bersenjata dengan pejuang minoriti agama Druze.

Tentera pemerintah Syria diaporkan campur tangan, kononnya untuk menamatkan pertempuran, tetapi kelihatan lebih memihak kepada puak Badwi.

Beberapa tentera pemerintah dilaporkan telah membunuh orang awam Druze dan membakar serta merompak rumah mereka.

Sekitar 300 orang dilaporkan terbunuh dalam pertempuran tersebut.

Keadaan semakin meruncing itu telah mendorong Israel campur tangan dengan melancarkan serangan udara ke atas tentera pemerintah dan di ibu pejabat Kementerian Pertahanan.

Israel berkata ia bertindak untuk mempertahankan minoriti Druze.

Namun, Israel dan Syria bersetuju dengan gencatan senjata yang disokong oleh Turkey, Jordan dan negara-negara jirannya pada 18 Julai.

Encik al-Sharaa, yang telah berusaha menjalinkan hubungan yang lebih erat dengan Amerika, menuduh Israel cuba memecahbelahkan Syria dan berjanji melindungi minoriti Druze di negaranya. – Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg