Hampir $1.5 juta telah dikumpulkan untuk menyokong operasi bantuan dan pemulihan di Myanmar dan Thailand, selepas satu gempa bumi bermagnitud 7.7 menggegarkan kedua-dua negara itu pada 28 Mac.
Pertubuhan Palang Merah Singapura (SRC), yang melancarkan rayuan mengumpul dana itu pada 30 Mac, turut menghantar 90 penapis air mudah alih ke bandar Mandalay dan Sagaing di Myanmar pada 2 April.
Pusat gempa itu adalah di Sagaing, iaitu kira-kira 240km ke utara ibu negara Naypyidaw.
Gempa bumi itu telah meranapkan banyak bangunan di seluruh Myanmar, mengorbankan lebih 2,700 orang dan menyebabkan beribu-ribu lagi kehilangan tempat tinggal. Angka kematian dijangka meningkat.
Di Bangkok, runtuhan sebuah bangunan pencakar langit 30 tingkat yang dalam pembinaan telah mengorbankan sekurang-kurangnya 15 orang, dengan 72 yang lain dipercayai masih terperangkap di bawah runtuhan.
Di seluruh Thailand, jumlah kematian telah mencecah sekurang-kurangnya 22 orang.
Encik Benjamin William, setiausaha agung dan ketua eksekutif SRC, mengucapkan terima kasih kepada rakyat Singapura kerana telah bermurah hati menyahut rayuan mengumpul dana itu, lapor The Straits Times.
“Gempa bumi itu menambah krisis kemanusiaan yang sudah teruk disebabkan oleh konflik, perpindahan manusia dan bencana masa lalu,” katanya, sambil menambah bahawa langkah menyediakan saluran air bersih akan mengurangkan risiko penyakit bawaan air.
SRC juga akan terus mendekati masyarakat migran Myanmar dan Thai di Singapura dan menawarkan sokongan psikososial kepada mereka, kata Encik William.
SRC akan menganjurkan satu acara kemasyarakatan pada 6 April untuk menawarkan sokongan kesihatan mental kepada migran Myanmar dan Thai yang berpangkalan di Singapura, yang mempunyai orang tersayang yang terjejas akibat gempa itu.
Acara di Red Cross House di Penang Lane itu akan menampilkan kegiatan sokongan kesihatan mental dan psikososial, serta menyediakan pertolongan cemas psikologi, makanan, minuman dan Wi-Fi untuk orang ramai menghubungi keluarga mereka di tanah air.
Rayuan mengumpul dana SRC itu akan berakhir pada 31 Mei.
Derma boleh dibuat melalui kad kredit, PayNow, cek atau secara langsung di Red Cross House dari 9 pagi hingga 6 petang dari Isnin hingga Jumaat.
Penderma korporat dan individu boleh menuntut potongan cukai untuk derma mereka, kata SRC.
Derma melalui kad kredit boleh dilakukan di laman web Giving.sg atau portal sumbangan Palang Merah.
Cek mesti dibuat kepada “Singapore Red Cross Society” dan dihantar ke Red Cross House, 15 Penang Lane, Singapura 238486.
Penderma hendaklah menyertakan nama dan alamat mereka, dan nyatakan “Myanmar & Thailand Earthquake” di belakang cek tersebut.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg