SHAH ALAM: Minta maaf secara terbuka atau berdepan tindakan saman. Itu amaran Menteri Komunikasi dan Digital Malaysia, Encik Fahmi Fadzil, terhadap dua individu yang didakwa mengeluarkan kenyataan fitnah terhadapnya.
Menurut Encik Fahmi, kedua-dua individu terbabit berbuat demikian susulan kononnya beliau menyampaikan ceramah politik di sebuah masjid di Rawang, Selangor, pada Ahad lalu.
“Notis tuntutan telah dihantar peguam saya kepada penceramah bebas (Encik) Ahmad Dusuki Abdul Rani dan pentadbir Laman Facebook ‘N13 Kuang’, petang tadi, supaya memohon maaf secara terbuka dan menarik balik tuduhan atau berdepan tindakan saman,” katanya ketika menghadiri Jelajah Perpaduan sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor di Sungai Kandis pada Rabu.
Encik Fahmi yang juga Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), berkata notis itu bertujuan membersihkan namanya daripada tuduhan mengadakan ceramah di masjid sedangkan beliau hanya menjelaskan tindakan mengharamkan kumpulan muzik The 1975 seperti diminta ahli jawatankuasa masjid ketika singgah solat di situ.
“Masa itu ada orang tangkap gambar dan tulis saya ceramah tanpa tauliah, berpolitik dan kempen di dalam masjid sedangkan ia bukan begitu.
“Alhamdulillah, petang tadi Ketua Polis Selangor mengumumkan setelah 22 saksi disiasat, beliau kata saya tidak bersalah,” katanya.
Beliau berkata notis itu, antara lain, bagi menunjukkan bahawa perbuatan memfitnah tidak boleh sama sekali dikompromi terutama dalam kehangatan kempen PRN yang sedang berlangsung.
Terdahulu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, mengesahkan tiada sebarang unsur kempen politik dalam ucapan Encik Fahmi yang dilaporkan berlaku di ruang solat utama Masjid Nurul Yaqin, Kampung Melayu Seri Kundang, Rawang.
“Dalam tempoh 12 minit ucapan daripada menteri adalah penerangan berhubung kumpulan muzik The 1975.
“Kita telah panggil lapan saksi termasuk pengadu dan mereka yang hadir bersama ketika ucapan itu dibuat,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 4A (1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg