SEOUL: Presiden Korea Selatan, Encik Yoon Suk Yeol, mengumumkan pada 5 Disember bahawa beliau telah menerima peletakan jawatan menteri pertahanannya, anggota pertama Kabinet Encik Yoon yang melepaskan jawatan sejak pengisytiharan mengejut undang-undang tentera yang singkat oleh presiden pada malam 3 Disember.
Menteri Pertahanan, Encik Kim Yong-hyun, telah mengemukakan peletakan jawatannya pada 4 Disember, dengan alasan bahawa beliau menganggap dirinya bertanggungjawab terhadap krisis yang dibuat oleh dekri undang-undang tentera untuk pemerintah Encik Yoon.
Namun, beliau tidak secara langsung menangani dakwaan dalam kalangan penggubal undang-undang pembangkang dan media tempatan bahawa beliau telah mencanangkan idea itu kepada Encik Yoon.
Satu kenyataan dari pejabat presiden menyatakan bahawa Encik Kim akan digantikan dengan Encik Choi Byung Hyuk, jeneral tentera bersara yang telah berkhidmat sebagai Duta Korea Selatan ke Arab Saudi.
Encik Yoon menarik balik pengisytiharan undang-undang tentera awal pagi 4 Disember, selepas Dewan Negara mengundi sebulat suara menentangnya dan penunjuk perasaan berkumpul beramai-ramai untuk mengecam tindakan tersebut.
Para anggota parlimen pembangkang kemudian mengemukakan usul untuk mendakwa Encik Yoon, yang boleh dilakukan menerusi undian pada 6 Disember.
Jika dua pertiga daripada 300 penggubal undang-undang dalam Dewan Negara mengundi untuk menyokong usul tersebut, Encik Yoon akan dipecat dan digantung daripada jawatan, sehingga Mahkamah Perlembagaan negara itu membuat keputusan muktamad sama ada untuk mengembalikan semula atau memecatnya.
Kesemua 192 penggubal undang-undang pembangkang menyokong pemecatan, tetapi mereka memerlukan sekurang-kurangnya lapan undi daripada ahli Parti Kuasa Rakyat Encik Yoon untuk mendakwanya.
Ketua parti itu, Encik Han Dong-hoon, berkata pada 5 Disember bahawa beliau akan cuba memujuk anggota parlimennya supaya mengundi menentang pemecatan, bagi mengelakkan apa yang disifatkannya sebagai ‘kekeliruan’ yang berlaku.
Tetapi pada masa yang sama, Encik Han cuba menjauhkan parti daripada Encik Yoon, dengan menyebut dekri undang-undang tenteranya “tidak berperlembagaan” dan menuntut beliau melepaskan keanggotaan partinya.
Encik Han juga berkata bahawa pemimpin tentera yang terlibat dalam mengenakan undang-undang tentera mesti disingkirkan daripada jawatan mereka.
Namun, beliau tidak mengenal pasti mana-mana komander dengan nama mereka.
“Kita mesti menunjukkan kepada tentera bahawa jika mereka terlibat dalam undang-undang tentera yang tidak mengikut perlembagaan dan dilaksanakan secara haram, mereka akan dihukum serta-merta,” tegas Encik Han.
Jeneral Park An-su, ketua staf tentera, mengetuai perintah tentera selama beberapa jam sebelum dekri itu dibatalkan.
Ketika itu, beratus-ratus anggota tentera dihantar ke Dewan Negara dalam apa yang disifatkan oleh penggubal undang-undang pembangkang sebagai percubaan “haram” dan “tidak berperlembagaan” untuk menghalang mereka daripada mengundi menentang dekri tersebut.
Para kakitangan Dewan telah menghalang lorong dengan perabot dan menggunakan alat pemadam api terhadap tentera bagi menghalang mereka daripada memasuki ruang mengundi.
Encik Kim, menteri pertahanan yang akan bersara, berkata tentera telah mengikut arahannya apabila mereka memasuki Dewan Negara.
Encik Yoon telah menegaskan bahawa undang-undang tentera diperlukan untuk melindungi negara daripada pembangkang politik yang mengganggu untuk melumpuhkan pentadbirannya. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg