Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Menteri: Rendang layak dapat pengiktirafan warisan budaya Unesco

Nov 27, 2024 | 1:33 PM
Menteri Kebudayaan Indonesia, Encik Fadli Zon, berkata rendang ialah hidangan yang bukan sahaja lazat, bahkan punyai nilai budaya yang kaya. Ia juga merupakan simbol identiti kulinari Indonesia.
Menteri Kebudayaan Indonesia, Encik Fadli Zon, berkata rendang ialah hidangan yang bukan sahaja lazat, bahkan punyai nilai budaya yang kaya. Ia juga merupakan simbol identiti kulinari Indonesia. - Foto ST

JAKARTA: Menteri Kebudayaan Indonesia, Encik Fadli Zon, menekankan keperluan mendaftarkan rendang dari Sumatera Barat ke Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) bagi pengiktirafan sejagat sebagai warisan budaya dunia, lapor agensi berita Antara.

“Rendang adalah salah satu hidangan istimewa kami yang sudah terkenal di seluruh dunia.

“Bahkan cef selebriti Britain, Gordon Ramsay, datang ke Sumatera Barat untuk belajar (tentang) rendang,” kata Encik Fadli pada 26 November.

Menurut beliau, rendang hidangan yang bukan sahaja lazat, bahkan mempunyai nilai budaya yang kaya. Ia juga merupakan simbol identiti kulinari Indonesia.

Dengan mendaftarkan rendang ke Unesco, diharapkan hidangan itu dapat dipelihara sambil memperkenalkan kekayaan kulinari Indonesia ke pentas antarabangsa, katanya.

Selain itu, Encik Fadli berkata beliau menganggap pendaftaran rendang sebagai warisan budaya Unesco adalah langkah strategik untuk memacu sektor pelancongan dan ekonomi Indonesia.

“Minat yang semakin meningkat terhadap budaya tempatan, termasuk masakan tradisional, dipercayai dapat meningkatkan kunjungan pelancong dan memperkenalkan produk tempatan yang menyokong ekonomi Indonesia.

“Pengiktirafan Unesco terhadap rendang juga akan mengukuhkan kedudukan Indonesia di pentas antarabangsa sebagai negara yang mempunyai warisan budaya yang kaya dan pelbagai,” tambah Encik Fadli. 

Beliau, bagaimanapun, tidak mengesahkan sama ada rendang akan didaftarkan secara khusus dengan Unesco, atau bersama dengan warisan budaya lain.

“Kita akan lihat sama ada ini adalah cadangan tunggal atau cadangan bersama (dengan warisan budaya lain),” katanya.

Sehingga November 2024, Unesco menyenaraikan 13 warisan budaya tidak ketara dari Indonesia, termasuk teater wayang kulit, senjata tradisional keris, kain tradisional batik, serta alat muzik tradisional angklung dan gamelan.

Secara berasingan, pada Februari 2024, Malaysia mengemukakan pencalonan agar Budaya Sarapan Malaysia dimasukkan ke dalam Senarai Warisan Budaya Kemanusiaan Tidak Ketara Unesco. 

Jika diluluskan, hidangan tidak asing lagi di negara seberang Tambak seperti nasi lemak, roti canai dan teh tarik akan diiktiraf dalam senarai tersebut.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg