Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

M’sia mohon wayang kulit Kelantan diiktiraf Warisan Budaya Tidak Ketara Unesco

May 2, 2024 | 2:47 PM
Seni wayang kulit
Seni wayang kulit - Foto BAYANG TROUPE

PETALING JAYA: Dalam usaha memelihara warisan budaya Malaysia, Jabatan Warisan Negara telah memohon secara rasmi kepada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) agar wayang kulit Kelantan dimasukkan dalam senarai Warisan Budaya Tidak Ketara.

Langkah itu diambil kerana keprihatinan tentang kesinambungan wayang kulit Kelantan kerana ia satu-satunya seni wayang kulit yang tinggal di Malaysia.

Versi lain seni tradisional itu, seperti wayang kulit gedek, wayang kulit Melayu dan wayang kulit purwo, sudah pupus.

Hasil penyerahan permohonan itu, yang dihantar pada 27 Mac, dijangka diketahui pada 2025.

Menurut Jabatan Warisan, usaha untuk mendapatkan pengiktirafan Unesco itu adalah demi melindungi masa depan seni persembahan tradisional itu, yang unik bagi Kelantan.

“Walaupun mempunyai kepentingan budaya, seni itu menghadapi cabaran yang mengancam penakatannya,” kata jabatan itu dalam satu kenyataan kepada The Star.

Ia menyifatkan wayang kulit Kelantan sebagai satu bentuk wayang kulit yang dapat memukau penonton dengan persembahan dan boneka menarik, menggabungkan penceritaan teater dengan iringan muzik.

Oleh itu, ia berharap permohonan tersebut akan membawa kepada lebih banyak pelibatan dengan masyarakat di samping memupuk persekitaran yang menghargai dan memupuk seni tradisional.

Pelan yang dikemukakan kepada Unesco itu melibatkan memperincikan kaedah bagi mengkatalog wayang kulit Kelantan, menjalankan penyelidikan, menjalankan kegiatan pemuliharaan dan mencari jalan untuk meningkatkan tradisi itu.

Ia menerapkan usaha pendidikan, baik dalam bilik darjah mahupun menerusi program kemasyarakatan, bagi menyalur teknik seni dan pengetahuan itu kepada generasi akan datang bagi mengelakkan tradisi tersebut lenyap.

Malaysia mempunyai tujuh elemen dalam senarai Warisan Budaya Tidak Ketara Unesco, iaitu Mek Mulung, songket, pesta wangkang, pantun, silat, dondang sayang dan Mak Yong.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg