WASHINGTON: Sebuah pertubuhan hak asasi manusia Amerika Syarikat, Persatuan Nasional bagi Kemajuan Orang Kulit Hitam (NAACP), mengutuk mesej berbaur perkauman yang dilaporkan diterima oleh warga kulit hitam di beberapa negeri selepas kemenangan Encik Donald Trump dalam Pilihan Raya Presiden pada 5 November.
Mesej yang dikirim daripada sumber tidak dikenali itu mengarahkan penerima “kembali ke ladang untuk memetik kapas” – frasa penuh sindiran yang membangkitkan sejarah penindasan dan diskriminasi kaum di negara itu.
Menurut NAACP, kejadian itu berlaku di beberapa negeri seperti North Carolina, Virginia, Alabama dan Pennsylvania.
Presiden NAACP, Encik Derrick Johnson, melahirkan rasa kecewa dengan mengatakan bahawa kejadian itu adalah “realiti malang” yang terjadi apabila seorang presiden yang pernah dikaitkan dengan retorik perkauman memegang tampuk kepimpinan negara.
“Apa yang kita saksikan adalah kebencian yang meluas di hadapan mata kita,” katanya dalam satu kenyataan.
Encik Trump, seorang ahli politik yang terkenal dengan retorik populis, cuba menjaga jarak daripada unsur ekstrem dalam kalangan penyokongnya.
Namun mesej perkauman yang timbul selepas kemenangan beliau mencetuskan kebimbangan meluas.
Biro Siasatan Federal (FBI) mengesahkan mereka menyedari kejadian itu namun tidak memberi kepastian sama ada siasatan telah dimulakan.
Menurut laporan media, beberapa pelajar universiti di Alabama turut menerima mesej itu yang meningkatkan tekanan terhadap institusi pendidikan yang cuba memerangi isu diskriminasi.
Pusat Guaman Southern Poverty (SPLC), sebuah lagi pertubuhan hak asasi manusia terkemuka, turut menyelar tindakan tersebut.
Ketua SPLC, Cik Margaret Huang, menyifatkan mesej yang disasarkan kepada pelajar kulit hitam itu sebagai “satu paparan kebencian awam yang mencemar sejarah hak asasi manusia negara ini”.
Tangkap layar mesej yang tersebar di media sosial memaparkan ayat: “Anda telah dipilih untuk menjadi hamba di Ladang Abingdon. Ini adalah mandatori”.
Pengguna media sosial seperti, Encik Joshua Martin, yang berkongsi mesej itu turut melahirkan pandangannya dengan berkata:
“Orang-orang ini memang sudah lama berpendirian demikian, namun kini mereka semakin berani untuk meluahkannya”.
Data FBI menunjukkan peningkatan kejadian jenayah kebencian di Amerika dengan 11,447 kes direkodkan pada 2023 dengan lebih separuh daripada kes itu bermotif perkauman. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg