Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mesir boleh hilang bantuan ekon jika tolak usul Gaza Trump

Kahirah terima tekanan benarkan sebahagian penduduk Gaza pindah ke Mesir
Mar 25, 2025 | 1:44 PM
Mohammed bin Zayed Al Nahyan, Abdel Fattah al-Sisi
Pertemuan Presiden Amiriah Arab Bersatu (UAE), Encik Mohammed bin Zayed Al Nahyan (kiri) dengan Presiden Mesir, Encik Abdel Fattah al-Sisi, di Kahirah dilaporkan adalah sebahagian daripada tekanan berterusan Washington terhadap Mesir agar menerima pemindahan penduduk Palestin daripada Gaza. - Foto AFP

KAHIRAH: Mesir boleh hilang sokongan ekonomi Amerika Syarikat jika ia enggan menerima ratusan ribu rakyat Palestin dari Gaza, demikian bunyi satu mesej yang disampaikan kepada Kahirah daripada Presiden Amiriah Arab Bersatu (UAE), kata sumber yang dipetik laman web agensi berita The New Arab atau Al-Araby Al-Jadeed.

Sumber diplomatik Mesir mendedahkan demikian berikutan lawatan singkat Presiden UAE Mohammed bin Zayed Al Nahyan ke Kahirah pada hujung minggu termasuk perbincangannya dengan pegawai Amerika di Gaza mengenai serangan Israel ke atas Gaza pada minggu lalu.

Encik Al Nahyan telah bertemu dengan Presiden Amerika, Encik Donald Trump, semasa lawatannya ke Washington baru-baru ini.

Encik Trump telah mencadangkan pemindahan secara paksa penduduk Palestin dari Gaza yang dilanda perang ke negara jiran Mesir dan Jordan, sesuatu yang ditolak oleh kedua-dua negara Arab itu, dan telah diselar sebagai tindakan pembersihan etnik di wilayah itu.

Kahirah mencadangkan pelan balas yang akan menyaksikan pembinaan semula Gaza secara berperingkat dan pemulihan pemerintahannya, tetapi Encik Trump dan Israel menolaknya.

Syria, Sudan dan Somalia juga telah dicadangkan sebagai pilihan lain, tetapi mereka juga telah menolaknya.

Pertemuan Encik Al Nahyan dengan Presiden Mesir Encik Abdel Fattah al-Sisi di Kahirah dilaporkan sebagai sebahagian daripada tekanan berterusan Washington terhadap Mesir agar menerima pemindahan penduduk Palestin ke Sinai, yang bersempadan dengan Gaza dan selatan Israel.

Menurut sumber Mesir, mesej yang diterima oleh Encik Sisi menyatakan bahawa ini peluang terakhir untuk mencapai manfaat bersama dengan membenarkan sebahagian penduduk Gaza ke Mesir sebagai pertukaran bagi sokongan kewangan dan menyuntik berbilion dolar ke dalam ekonomi Mesir yang bermasalah.

Jika Kahirah menolak tawaran tersebut dan berkeras menolak rancangan kontroversi Encik Trump, bantuan ekonomi yang dimaksudkan untuk Mesir akan dialihkan ke negara lain, kata sumber itu.

Cadangan Amerika di Gaza termasuk memindahkan antara 500,000 dengan 700,000 rakyat Palestin ke Sinai Utara.

Sumber itu menjelaskan bahawa Amerika dan Israel pada masa ini memberi tumpuan kepada Mesir untuk rancangan pemindahan, dan kemudiannya akan memberi tumpuan kepada Jordan bagi memindahkan rakyat Palestin dari Tebing Barat yang diduduki Israel, sesuatu yang ditentang keras oleh Amman.

Kementerian Luar Israel telah pun menubuhkan sebuah direktorat bagi memudahkan pemindahan keluar secara “sukarela” rakyat Palestin, dan ramai pegawai kanan Israel telah menggesa penaklukan penuh Gaza – dan Tebing Barat – dan pembinaan semula petempatan Israel.

Pemerintah Mesir pada 24 Mac mengulangi penolakan sepenuhnya terhadap dakwaan media yang menyatakan ia telah menerima cadangan untuk memindahkan penduduk Gaza sebagai pertukaran untuk bantuan ekonomi Amerika.

Kahirah telah pun menafikan dakwaan itu pada 21 Mac.

“Mesir mengulangi semula pendiriannya yang tegas dan berprinsip menolak sebarang percubaan untuk memindahkan saudara Palestin kita secara paksa atau sukarela dari Jaluran Gaza ke mana-mana lokasi di luarnya, khususnya ke Mesir,” kata Perkhidmatan Maklumat Negaranya (SIS). – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg