GAZA: Mesir dan Kesatuan Eropah (EU) sedang merangka langkah baru untuk memperluas latihan polis Palestin yang bakal ditempatkan di Gaza sebagai sebahagian daripada pelan damai 20 perkara Presiden Amerika Syarikat Donald Trump untuk wilayah itu.
Perkembangan itu didedahkan oleh dua diplomat dan seorang pegawai asing yang dimaklumkan tentang rundingan berkenaan.
Menurut mereka, pasukan polis baru ini masih berada pada peringkat konsep dan belum dimuktamadkan secara terperinci.
“Saiz, komposisi, struktur komando, kawasan operasi dan tanggungjawab pasukan ini masih dalam perbincangan,” kata seorang diplomat Eropah, yang menegaskan bahawa banyak perkara kekal belum jelas walaupun rangka pelan sudah diluluskan di peringkat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Pelan Encik Trump kini mempunyai asas undang-undang antarabangsa yang lebih kukuh selepas disokong melalui ketetapan Majlis Keselamatan PBB, yang antara lain membenarkan penubuhan Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF) sementara di Gaza.
Ketetapan itu memberi mandat kepada ISF untuk membantu mengawal sempadan, memastikan proses gencatan senjata, melindungi orang awam dan operasi kemanusiaan serta bekerjasama dengan “pasukan polis Palestin yang baru dilatih dan disaring”.
Sebelum perang, Gaza dianggarkan mempunyai 5,000 hingga 10,000 anggota polis di bawah pentadbiran Hamas, yang menguasai Jaluran Gaza sejak 2007.
Di bawah pelan Encik Trump, Hamas sepatutnya melepaskan kuasa, dan masyarakat antarabangsa mahu menggantikan struktur keselamatan itu dengan pasukan bersenjata Palestin yang bertanggungjawab ke atas penguatkuasaan undang-undang harian bagi kira-kira dua juta penduduk.
Namun begitu, banyak persoalan masih timbul: sejauh mana pasukan baru ini mampu menggantikan pengaruh Hamas, dari mana sumber anggotanya dan apakah mandat sebenar mereka di lapangan.
Walaupun belum jelas, Mesir dan EU dilihat berlumba-lumba untuk memainkan peranan utama dalam membentuk pasukan tersebut melalui latihan dan sokongan teknikal.
Sumber diplomatik menjelaskan bahawa Kahirah dan Brussels melihat projek polis ini sebagai saluran penting untuk mempengaruhi perancangan Amerika terhadap pengurusan Gaza pascaperang, termasuk kemungkinan bahawa pasukan itu kelak akan menjadi aktor politik yang berpengaruh.
“Kami mahu menghantar warga Gaza sendiri yang benar-benar memahami masyarakat mereka,” kata seorang diplomat Arab. “Mereka tahu kawasan, mereka tahu siapa penduduknya. Itu sangat penting dalam mana-mana pasukan polis.”
Menurut pegawai diplomatik yang sama, Mesir dan Jordan sudah lama terlibat dalam latihan keselamatan untuk pegawai Palestin, tetapi konflik di Gaza mempercepatkan keperluan untuk melahirkan lebih ramai anggota yang boleh mengisi kekosongan keselamatan selepas perang.
Mesir dilaporkan sudah memulakan latihan kumpulan pertama anggota polis Palestin.
Pada Ogos lalu, Menteri Luar Mesir, Encik Badr Abdelatty, mengumumkan selepas perbincangan dengan Perdana Menteri Penguasa Palestin (PA), Encik Mohammad Mustafa, bahawa Mesir dan Jordan sedang mempersiapkan anggota keselamatan Palestin untuk menguruskan Gaza dan mengelakkan kekosongan keselamatan selepas perang.
Encik Mustafa kemudian memberitahu Reuters bahawa sekitar 5,500 rakyat Palestin telah dicalonkan untuk dilatih di Mesir, dengan sasaran keseluruhan sekurang-kurangnya 10,000 anggota polis bagi pasukan baru Gaza.
Laporan lain menyebut bahawa lebih 500 anggota telah selesai menjalani latihan di Kahirah pada Mac dan sejak September, kursus dua bulan bersambung untuk melatih ratusan lagi rekrut.
Di Jordan, latihan dijalankan dengan kerjasama Penguasa Palestin dan Koordinator Keselamatan Amerika (USSC), tetapi infrastruktur di negara itu terhad untuk melatih lebih daripada kira-kira 3,000 pegawai.
Amerika, menurut diplomat Arab itu, melihat cadangan Mesir untuk menggunakan akademi polisnya sebagai pelengkap penting kepada program Jordan.
Delegasi USSC disebut telah berulang kali melawat Mesir pada 2024 untuk menyelaraskan usaha latihan ini.
Kesatuan Eropah kini mahu meningkatkan penglibatannya dalam latihan polis Palestin.
Wakil Tinggi EU bagi Dasar Luar dan Keselamatan, Cik Kaja Kallas, memberitahu media bahawa EU “sedang membincangkan sama ada misi sokongan polis EU boleh mengetuai latihan polis Palestin,” sambil mengalu-alukan komitmen Perancis untuk menghantar 100 jurulatih polis.
Seorang diplomat Eropah mengesahkan bahawa EU bercadang melatih sehingga 3,000 anggota polis Palestin di bawah program yang menyerupai misi sedia ada di Tebing Barat, Misi Sokongan Polis Kesatuan Eropah bagi Palestin (EUPOL COPPS).
Latihan itu dijangka dibiayai melalui bajet Dasar Luar dan Keselamatan Bersama (CFSP) EU, manakala gaji anggota polis akan ditanggung oleh Penguasa Palestin yang banyak bergantung kepada dana Eropah.
Diplomat itu menambah bahawa EU mahu menggunakan dua misi awamnya – EUPOL COPPS dan Misi Bantuan Sempadan EU (EUBAM ) di Rafah dengan mandat yang mungkin diperluas sebagai sebahagian daripada pelaksanaan pelan Trump, walaupun butirannya masih belum jelas.
Salah satu cabaran paling sensitif ialah soal siapa yang layak menyertai pasukan polis baru ini.
Mesir, EU, Israel dan Amerika dikatakan mahu memastikan anggota yang dilatih bukan daripada kalangan penyokong atau anggota Hamas.
Pegawai yang bercakap dengan media menegaskan bahawa hanya calon yang telah “ditapis dan disahkan bebas daripada kaitan dengan Hamas” akan diterima.
Namun, laporan lain memetik seorang pegawai Palestin tanpa nama yang mendakwa sebahagian anggota polis Hamas mungkin terus berkhidmat dalam struktur baru, sesuatu yang hampir pasti mengundang bantahan Israel.
Seorang penganalisis Israel, Encik Michael Milshtein, pula lebih skeptikal terhadap keberkesanan pendekatan ini.
Beliau memberi amaran bahawa mewujudkan pasukan baru tidak semestinya mampu mengatasi pengaruh Hamas dalam masa terdekat.
“Selagi Hamas masih mempunyai kuasa ketenteraan dan politik di Gaza, sukar untuk membayangkan pasukan baru ini benar-benar mengambil alih kawalan,” katanya.
Namun begitu, para diplomat berpendapat bahawa satu-satunya cara jangka sederhana untuk mengurangkan pengaruh Hamas ialah mewujudkan alternatif yang boleh diterima rakyat Gaza.
Seorang diplomat Arab menyatakan: “Cara terbaik untuk mengakhiri kawalan Hamas ialah membawa satu pilihan lain yang diyakini rakyat. Pasukan polis ini bukan Hamas, dan itu sendiri sudah satu permulaan.” – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg