GAZA/KAHIRAH: Penduduk Palestin yang sebelum ini terpaksa berpindah, dan pulang ke rumah mereka di Bandar Gaza minggu ini, menemui sebuah bandar dalam runtuhan selepas 15 bulan berperang.
Ramai yang cuba mendapatkan perlindungan di antara runtuhan itu dan mencari saudara-mara yang hilang, dalam satu perarakan pulang yang huru-hara.
Keadaan Bandar Gaza kelihatan jauh berbeza daripada kesibukan pusat bandar itu seperti sebelum perang, dengan banyak bangunan yang musnah akibat pengeboman Israel dan timbunan runtuhan dan serpihan konkrit kelihatan di mana-mana.
Ramai daripada mereka yang pulang, kebanyakan mereka sarat dengan harta peribadi yang masih ada selepas berbulan-bulan terpaksa dipindahkan ke sana ke mari ketika medan pertempuran beralih, telah berjalan sejauh 20 kilometer atau lebih di sepanjang lebuh raya pantai utara.
Pada 27 Januari, pihak berkuasa Hamas di Gaza berkata lebih 300,000 orang, atau hampir separuh daripada mereka yang dipindahkan dari utara semasa perang, telah menyeberang ke Bandar Gaza dan pinggir utara kawasan itu dari selatan.
Sedang mereka yang tiba di Gaza mencari tempat untuk menetap, puluhan ribu masih bergerak ke utara sedang pihak pengantara memulakan kerja awal dalam peringkat kedua rundingan gencatan senjata yang akan dimulakan minggu depan.
Tiga lagi tebusan Israel akan diserahkan pada 30 Januari oleh Hamas, dengan tiga lagi dijangka pada 1 Februari, sebagai pertukaran bagi sejumlah tahanan Palestin yang akan dibebaskan dari penjara Israel, dengan ada di antara mereka yang akan dibuang negeri.
Di Kahirah, satu pasukan Hamas peringkat tinggi yang diketuai oleh ketua majlis terkemuka kumpulan itu, Encik Mohammad Darwish, mengadakan perbincangan dengan pengantara dari Mesir, dan menyambut 70 tahanan Palestin yang tiba di Kahirah sebelum dipindahkan ke negara ketiga yang bersedia menjadi tuan rumah kepada mereka, kata satu kenyataan Hamas.
Ini termasuk Qatar, Turkey dan Algeria, menurut Hamas dan sumber lain.
Pada 28 Januari, Hamas berkata delegasi itu juga telah berbincang dengan pegawai Kahirah mengenai dakwaan bahawa Israel melanggar gencatan senjata.
Mereka juga membincangkan idea untuk mencapai perpaduan nasional dengan pihak yang bersaing, Pihak Berkuasa Palestin yang dipimpin oleh Presiden Mahmoud Abbas, termasuk cadangan Mesir untuk membentuk jawatankuasa untuk mengendalikan Gaza selepas perang.
Hamas, yang telah mengendalikan Gaza sejak 2007, dan pihak berkuasa yang dipimpin Encik Abbas, yang mempunyai pengaruh di Tebing Barat yang diduduki Israel, setakat ini gagal menamatkan perpecahan politik yang melemahkan aspirasi Palestin untuk mencapai kenegaraan.
Di bawah syarat gencatan senjata itu, yang dipersetujui pada Januari dengan pengantaraan Mesir dan Qatar serta sokongan Amerika Syarikat, 33 tebusan akan dibebaskan semasa gencatan senjata selama enam minggu, sebagai pertukaran bagi ratusan tahanan Palestin, yang kebanyakan mereka menjalani hukuman penjara seumur hidup di penjara Israel. Tujuh tebusan Israel dan 290 tahanan Palestin setakat ini telah ditukar.
Peringkat kedua, yang akan menentukan apa yang berlaku kepada lebih 60 tebusan Israel yang lain serta pengunduran penuh tentera Israel dari Gaza akan bermula pada 5 Februari.
Jika itu berjaya, perang akan berakhir sepenuhnya.
Ia juga akan membuka jalan kepada perbincangan mengenai pembinaan semula Gaza, yang kini sebahagian besarnya dimusnahkan oleh kempen Israel yang telah membunuh hampir 47,000 rakyat Palestin, menurut pihak berkuasa kesihatan Palestin. - Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg