Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Palestin tolak cadangan Trump pindah paksa warga Gaza

Jan 27, 2025 | 11:57 AM
Sepanduk yang bertulis dalam bahasa Arab “saling menyokong” tergantung pada tiang ketika rakyat Palestin yang dipindahkan menunggu di sepanjang jalan Salah al-Din di Nuseirat, berhampiran koridor Netzarim yang disekat, untuk melintasi ke bahagian utara Jalur Gaza pada 26 Januari.
Sepanduk yang bertulis dalam bahasa Arab “saling menyokong” tergantung pada tiang ketika rakyat Palestin yang dipindahkan menunggu di sepanjang jalan Salah al-Din di Nuseirat, berhampiran koridor Netzarim yang disekat, untuk melintasi ke bahagian utara Jalur Gaza pada 26 Januari. - Foto AFP

GAZA: Pemimpin Palestin, Encik Mahmud Abbas, dan kumpulan bersenjata Hamas pada 26 Januari menegaskan mereka akan menentang sebarang cadangan pemindahan paksa rakyat Gaza, selepas Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, mengemukakan pelan untuk “membersihkan” wilayah yang dilanda peperangan itu.

“Rakyat Palestin tidak akan meninggalkan tanah dan tempat suci mereka,” ujar Encik Abbas dalam kenyataannya.

Penolakan yang tegas terhadap idea pemindahan yang dikemukakan oleh Encik Trump, yang disifatkan sebagai ancaman terhadap hak rakyat Palestin untuk tetap tinggal di tanah air mereka.

Anggota Biro Politik Hamas, Encik Bassem Naim, berkata rakyat Palestin akan menggagalkan projek sedemikian, seperti mana mereka menggagalkan rancangan serupa untuk pemindahan dan penciptaan tanah air alternatif sejak beberapa dekad lalu.

Jihad Islam, yang turut bertempur bersama Hamas di Gaza, menyifatkan idea tersebut sebagai menjijikkan.

Encik Trump, dalam kenyataannya, telah mencadangkan agar negara jiran seperti Mesir dan Jordan menerima rakyat Palestin dari Gaza akibat keadaan yang semakin teruk di wilayah itu.

“Saya ingin Mesir menerima orang-orang ini. Dan saya ingin Jordan menerima mereka,” kata Encik Trump pada 25 Januari.

Bagi rakyat Palestin, sebarang percubaan pemindahan mengingatkan mereka akan peristiwa kelam yang dikenali sebagai “Nakba” pada 1948 iaitu pemindahan besar-besaran rakyat Palestin ketika Israel ditubuhkan.

“Kami tidak akan meninggalkan Gaza atau Palestin, tidak kira apa pun yang berlaku,” kata Encik Rashad al-Naji, seorang penduduk Gaza yang kini menjadi pelarian akibat perang.

Cadangan Encik Trump turut mendapat reaksi keras dari dunia antarabangsa.

Menteri Luar Jordan, Encik Ayman Safadi, menegaskan bahawa “Jordan menentang pemindahan rakyat Palestin, dan pendirian kami tidak akan berubah. Jordan untuk rakyat Jordan, dan Palestin untuk rakyat Palestin”.

Liga Arab juga menolak cadangan Encik Trump, dengan menyatakan bahawa “pemindahan paksa rakyat Palestin dari tanah mereka hanya boleh dianggap sebagai pembersihan etnik.”

Mereka memberi amaran bahawa sebarang usaha untuk mengusir rakyat Palestin dari Gaza akan mencabuli hak mereka yang tidak boleh dicabut.

Di Mesir, Kementerian Luar negara itu turut menegaskan bahawa mereka menolak sebarang pelanggaran terhadap hak-hak Palestin yang tidak boleh ditarik balik.

Negara-negara ini menegaskan bahawa cadangan tersebut adalah ancaman terhadap keseluruhan hak asasi manusia rakyat Palestin dan menuntut pengiktirafan hak mereka untuk tetap tinggal di tanah mereka.

Menteri Kewangan Israel, Encik Bezalel Smotrich, yang sebelum ini menentang perjanjian gencatan senjata dan menyokong penubuhan semula penempatan Israel di Gaza menyifatkan cadangan tersebut sebagai idea yang hebat.

Pentadbiran Encik Biden sebelum ini menentang pemindahan penduduk Gaza keluar dari wilayah itu, sebaliknya menyokong penduduk Gaza kembali ke kediaman mereka selepas tercapainya keamanan dan penyelesaian dua negara. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg