Singapura telah menyumbang produk prostetik bernilai $250,000 bagi membantu mangsa amputasi Palestin yang terjejas akibat konflik di Gaza.
Sumbangan itu merangkumi penyelesaian prostetik lengkap yang akan memanfaatkan 100 mangsa amputasi, kata Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, dalam catatannya di Facebook pada 12 November.
Usaha tersebut adalah sebahagian daripada inisiatif Jordan, ‘Restoring Hope’, atau Mengembalikan Harapan, yang bertujuan menyediakan anggota prostetik kepada mereka yang terjejas akibat perang berterusan itu.
Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan (MOH), pemilihan komponen prostetik yang akan memanfaatkan mangsa amputasi dewasa dan kanak-kanak dibuat berdasarkan perundingan bersama pakar prostetik daripada Hospital Tan Tock Seng (TTSH) dan rakan sejawat mereka di Jordan.
Pasukan MOH kini berada di Jordan untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan bagi meneliti cara Singapura dapat terus menyalurkan sokongan perubatan.
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, yang mewakili Singapura, menyaksikan majlis penyerahan simbolik di Amman, Jordan, bersama Menteri Kesihatan Jordan, Dr Ibrahim Al-Budour.
Sumbangan itu disalurkan melalui Pertubuhan Amal Jordan Hashemite (JHCO) pada 11 November.
“Keperluan di Gaza amat besar, terutama dalam usaha membangunkan semula prasarana kesihatan dan perkhidmatan pemulihan,” ujar Dr Faishal pada majlis itu.
“Kami juga dimaklumkan Gaza hanya mempunyai lapan pakar prostetik untuk menghasilkan dan memasang anggota tiruan.”
Justeru, bekalan prostetik tersebut akan membantu memenuhi sebahagian daripada keperluan mendesak itu, serta membuka jalan bagi kerjasama perubatan jangka panjang dengan Jordan, tambahnya.
Sebagai sebahagian daripada usaha susulan, Pasukan Semakan Keperluan Singapura, yang terdiri daripada tujuh pegawai MOH, turut ditempatkan di Jordan bagi meninjau bidang sokongan perubatan lain yang boleh diterokai.
Ini berikutan kejayaan misi sebelum ini yang melibatkan pasukan perubatan khas terdiri daripada tiga anggota ke Hospital Institut Nasser di Kahirah, Mesir, bagi membantu pesakit Palestin yang menerima rawatan di sana.
Dalam satu hantaran Facebook pada 12 November, Dr Faishal berkata:
“Sumbangan ini bukan sekadar bantuan perubatan. Ia memberi semula harapan, maruah dan keupayaan kepada mereka yang sedang membina semula kehidupan.
“Ia juga mencerminkan komitmen berterusan Singapura dalam memberikan bantuan kemanusiaan yang bermakna, terutama pada saat krisis.”
Menurutnya, setakat ini, Singapura telah menyalurkan 10 pakej bantuan bernilai lebih AS$18 juta ($23.5 juta) dalam bentuk sokongan kemanusiaan dan kewangan kepada Gaza.
Bantuan tersebut merangkumi makanan, bekalan perubatan dan keperluan asas lain, termasuk penyerahan cek bernilai AS$500,000 daripada pemerintah Singapura kepada Program Makanan Sedunia (WFP) di Palestin yang disaksikan Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, pada 4 November.
Dalam pada itu, organisasi seperti Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) terus memberi kesan dengan menyalurkan makanan dan bantuan perubatan, serta bekerjasama dengan rakan kongsi untuk menubuhkan klinik bergerak, tempat perlindungan dan dapur bagi keluarga di Gaza, kata Dr Faishal.
Dr Faishal menekankan Singapura tetap komited sepenuhnya untuk memainkan peranan dalam menyokong pemulihan Gaza.
“Jalan pemulihan pasti panjang dan mencabar, namun dengan belas kasihan dan kerjasama kukuh, kita boleh bantu membina semula kehidupan mereka (rakyat Gaza) dan mengembalikan harapan,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg