GENEVA: Perang Israel-Hamas di Gaza telah merosakkan ekonomi wilayah Palestin dan mengancam kelangsungan hidupnya, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 25 November sambil menyeru campur tangan segera antarabangsa bagi mengatasi masalah tersebut.
Membina semula Jaluran Gaza akan menelan belanja lebih daripada AS$70 bilion ($91.26 bilion) dan boleh mengambil masa beberapa dekad, kata Suruhanjaya Perdagangan dan Pembangunan PBB (UNCTAD) dalam satu laporan terbarunya.
Ia turut memberi amaran bahawa perang dan sekatan Israel telah mencetuskan “keruntuhan yang belum pernah terjadi sebelumnya di seluruh ekonomi Palestin”.
“Operasi ketenteraan telah menjejas setiap tonggak penakatan hidup dengan ketara”, daripada makanan kepada tempat perlindungan kepada penjagaan kesihatan, “dan menjerumuskan Gaza ke dalam jurang buatan manusia”, katanya.
PBB menarik perhatian: “Kemusnahan sistematik yang berterusan itu menimbulkan keraguan yang ketara terhadap keupayaan Gaza untuk membentuk semula kehidupannya sebagai ruang dan masyarakat yang boleh didiami.”
Serangan kumpulan Hamas ke selatan Israel pada 7 Oktober 2023 telah membunuh 1,221 orang dan mencetuskan perang dua tahun yang dahsyat di Gaza.
Serangan balas Israel ke atas Gaza telah membunuh lebih 69,000 rakyat Palestin, menurut angka daripada Kementerian Kesihatan Gaza yang dianggap boleh dipercayai oleh PBB.
Perang juga telah memusnahkan sebahagian besar wilayah Palestin sehingga menyebabkan penduduk hidup berpindah-randah ke tempat lebih selamat dan hidup seadanya.
Meskipun perjanjian gencatan senjata telah dilaksanakan sejak Oktober, namun lebih dua juta penduduk terpaksa tinggal dalam khemah sementara untuk meneruskan kehidupan yang masih muram.
Skala kemusnahan yang berlaku di wilayah itu telah “mencetuskan krisis ekonomi, kemanusiaan, alam sekitar dan sosial, mendorongnya daripada kemerosotan pembangunan kepada kehancuran sepenuhnya”, kata laporan UNCTAD.
Walaupun “dalam senario optimistik kadar pertumbuhan dua digit hasil bantuan asing yang ketara, ia akan mengambil masa beberapa dekad bagi Gaza kembali ke tahap kehidupan sebelum Oktober 2023”, katanya.
UNCTAD menyeru “pelan pemulihan yang komprehensif”, menggabungkan “bantuan antarabangsa yang diselaraskan, pemulihan pemindahan fiskal, serta langkah untuk mengurangkan kekangan perdagangan, pergerakan dan pelaburan”.
Dengan seluruh penduduk Gaza menghadapi “kemiskinan yang melampau dan pelbagai dimensi”, agensi PBB itu juga menyeru pengenalan pendapatan asas kecemasan menerusi tunai bulanan kepada penduduk yang boleh diperbaharui dan tanpa syarat.
Laporan itu menunjukkan bahawa ekonomi Gaza menguncup sebanyak 87 peratus sepanjang 2023 hingga 2024, menjadikan hasil kasar dalam negeri per kapitanya hanya AS$161 – antara yang terendah di dunia.
Walaupun keadaannya tidaklah seteruk di Tebing Barat, laporan itu mendapati bahawa “keganasan, pengembangan penempatan yang dipercepatkan dan sekatan ke atas mobiliti pekerja telah merosakkan ekonomi” di sana juga.
“Ini mengakibatkan penurunan ekonomi terburuk sejak UNCTAD mula menyimpan rekod pada 1972,” ujar agensi itu. – AFP.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg