KAHERAH: Polis Mesir menahan enam wartawan sebuah wadah semakan fakta dan kewartawanan penyiasatan selepas pihak berkuasa menuduh organisasi itu menyebarkan maklumat palsu bagi pihak Ikhwanul Muslimin, kumpulan yang diharamkan di negara itu.

Kementerian Dalam Negeri Mesir pada 1 Oktober mendakwa wadah berita Matsaddash bekerjasama dengan Ikhwanul Muslimin untuk menyebarkan berita palsu dan memesongkan fakta dalam usaha menggugat kestabilan negara.

Matsaddash, yang bermaksud “Jangan Percaya” dalam bahasa Arab, menafikan tuduhan itu dan sebaliknya menerbitkan laporan semakan fakta bagi menjawab satu demi satu dakwaan pemerintah.

Enam wartawan yang ditahan ialah Abu Emeira, Abdallah Qadry, Islam Barakat, Omar Helal, Mohamed Mahmoud dan Mohamed Adel.

Menurut Inisiatif Mesir bagi Hak Peribadi (EIPR) yang menyediakan bantuan guaman kepada mereka, keenam-enam wartawan itu membentuk keseluruhan pasukan pemberitaan Matsaddash.

Kumpulan hak asasi itu berkata mereka ditahan pada 28 September dan 29 September, namun lokasi mereka selepas penahanan belum diketahui.

“Wartawan Matsaddash yang kini tidak diketahui keberadaan mereka dikenali dalam kalangan pengamal media di rantau ini, manakala laporan yang dihasilkan mereka menerusi portal itu mendapat pengiktirafan kerana bersifat profesional dan tepat,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.

Menurut EIPR, operasi penahanan bermula lewat malam 28 September apabila anggota keselamatan menyerbu kediaman beberapa wartawan di Port Said dan Gharbiya di utara Mesir.

Kumpulan itu mendakwa penahanan dilakukan tanpa waran dan pegawai berpakaian biasa turut merampas peralatan elektronik milik wartawan serta anggota keluarga yang tinggal bersama mereka.

Dua lagi wartawan dilaporkan ditahan di sebatang jalan di Kaherah.

Kementerian Dalam Negeri berkata pasukan keselamatan sebelum itu memantau apa yang disifatkannya sebagai rancangan Ikhwanul Muslimin untuk menggugat kestabilan Mesir menerusi penyebaran pembohongan dan khabar angin.

Menurut kementerian itu, siasatan kemudian mengesan Matsaddash yang didakwa menyiarkan berita palsu dan memesongkan fakta.

Pihak berkuasa turut mendakwa wadah berkenaan adalah sebahagian daripada jawatankuasa media Ikhwanul Muslimin serta dikendalikan dan dibiayai dari luar Mesir.

Pemerintah Mesir mengharamkan Ikhwanul Muslimin dan menetapkannya sebagai pertubuhan pengganas.

Kumpulan itu turut diharamkan di beberapa negara Arab lain.

Kementerian itu turut mengaitkan Matsaddash dengan Encik Abdelrahman Mansour, seorang aktivis hak asasi yang kini menetap di luar negara dan pernah menjadi antara pemimpin belia ketika kebangkitan Arab pada 2011.

Pihak berkuasa Mesir menyifatkan Encik Mansour sebagai seorang buruan yang mempunyai hubungan dengan Ikhwanul Muslimin.

Namun, Matsaddash menolak semua tuduhan tersebut dan berkata tiada wartawannya mempunyai kaitan dengan kumpulan berkenaan.

Matsaddash yang ditubuhkan pada 2018 itu menegaskan semua kakitangannya tinggal dan bekerja di Mesir serta tidak menerima pembiayaan asing.

Menurut Matsaddash, gaji dan kontrak pekerjanya diproses melalui saluran perbankan Mesir dan tertakluk kepada prosedur kewangan negara itu.

Ia turut berkata tiga daripada enam wartawan berkenaan pernah disiasat pihak berkuasa sebelum ini, tetapi tiada bukti ditemukan yang mengaitkan mereka dengan parti politik atau kumpulan berkepentingan antarabangsa.

“Membuat tuduhan sedemikian tanpa mengemukakan sebarang bukti bukan sahaja menjejaskan reputasi Matsaddash, malah mencemarkan profesionalisme wartawan Mesir yang menjalankan tugas mereka secara terbuka,” kata organisasi berita itu.

Matsaddash turut menggunakan laporan terdahulunya untuk menyangkal dakwaan bahawa ia berfungsi sebagai wadah propaganda Ikhwanul Muslimin.

Menurut organisasi itu, ia baru-baru ini menerbitkan video yang menyanggah dakwaan yang disiarkan beberapa media yang mempunyai kaitan dengan Ikhwanul Muslimin.

Terdahulu Matsaddash juga menerbitkan semakan fakta terhadap maklumat yang disifatkannya sebagai palsu dan boleh menjejaskan Presiden Mesir, Encik Abdel Fattah al-Sisi.

Kementerian Dalam Negeri setakat ini belum memberikan respons terhadap penjelasan Matsaddash atau gesaan kumpulan hak asasi supaya enam wartawan berkenaan dibebaskan.

Penahanan itu sekali lagi mencetuskan perhatian terhadap keadaan kebebasan media di Mesir.

Menurut Jawatankuasa Melindungi Wartawan (CPJ), sebanyak 19 wartawan sudah berada dalam tahanan di Mesir sebelum enam wartawan Matsaddash ditangkap menjadikan negara itu antara yang mempunyai jumlah wartawan dipenjarakan tertinggi di dunia.

CPJ dan beberapa pertubuhan hak media lain minggu ini menggesa pihak berkuasa membebaskan enam wartawan tersebut.

CPJ berkata Matsaddash sebelum ini turut berdepan apa yang disifatkannya sebagai kempen memburuk-burukkan organisasi itu dengan tujuan menyekat kegiatan kewartawanannya.

Tekanan terhadap wadah itu bukan perkara baru.

Pada Ogos 2023, seorang editor Matsaddash ditahan pegawai keselamatan selama 48 jam tanpa waran sebelum dibebaskan, menurut EIPR.

Penahanan terbaru bagaimanapun memberi kesan lebih besar kerana keenam-enam mereka merupakan keseluruhan pasukan wartawan Matsaddash, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kemampuan wadah itu meneruskan operasi pemberitaan dan semakan fakta ketika kes terhadap kakitangannya masih disiasat. - Agensi berita