WASHINGTON: Syarikat teknologi Meta telah menyekat akses kepada akaun berita popular @Muslim di Instagram untuk pengguna di India, atas permintaan pemerintah negara itu, menurut pengasas akaun berkenaan, Ameer Al-Khatahtbeh, pada 7 Mei.
Tindakan ini mencetuskan tuduhan penapisan maklumat, ketika ketegangan ketenteraan antara India dan Pakistan terus memuncak.
Akaun @Muslim yang mempunyai lebih 6.7 juta pengikut merupakan antara sumber berita berasaskan komuniti Muslim yang paling berpengaruh di Instagram. Kini, pengguna di India yang cuba mengakses akaun itu akan menerima mesej: “Akaun tidak tersedia di India. Ini kerana kami mematuhi permintaan undang-undang untuk menyekat kandungan ini.”
Encik Ameer Al-Khatahtbeh, yang juga Ketua Pengarang akaun tersebut, berkata beliau menerima ratusan mesej dan e-mel daripada pengikut di India yang tidak lagi dapat melihat kandungan akaun @Muslim.
“Meta telah menyekat akaun @Muslim atas permintaan sah pemerintah India. Ini jelas satu bentuk penapisan,” katanya dalam kenyataan media. “Apabila platform dan pemerintah cuba membungkam suara media, itu membuktikan kami sedang menjalankan tugas kami untuk mempersoal dan menegur pihak berkuasa.”
Beliau turut memohon maaf kepada pengikut di India dan menggesa Meta untuk mengembalikan akses kepada akaun tersebut. “Kami akan terus menyuarakan kebenaran dan berdiri teguh untuk keadilan,” tegasnya.
Meta enggan memberikan komen langsung kepada media, namun jurucakap syarikat itu merujuk kepada halaman dasar mereka yang menyatakan kandungan boleh disekat apabila pemerintah menganggap sesuatu bahan bertentangan dengan undang-undang tempatan.
Sekatan ini berlaku di tengah-tengah krisis diplomatik dan ketenteraan yang semakin meruncing antara India dan Pakistan, dua negara bersenjata nuklear. Ketegangan meningkat selepas India melancarkan serangan peluru berpandu terhadap Pakistan, sebagai tindak balas terhadap serangan ke atas pelancong di Kashmir pada April, yang mengorbankan 26 orang.
India menuduh Pakistan menyokong militan di sebalik serangan tersebut, tuduhan yang dinafikan keras oleh Islamabad. Sebagai balasan, Pakistan berikrar untuk membalas serangan India dan mendakwa akan menuntut bela atas kematian orang awam.
Sehingga kini, lebih 43 nyawa telah terkorban akibat pertempuran rentas sempadan yang tercetus sejak dua minggu lalu.
Selain sekatan ke atas akaun @Muslim, India juga telah menyekat akses kepada lebih sedozen saluran YouTube dari Pakistan yang didakwa menyebarkan kandungan bersifat provokatif, termasuk saluran berita arus perdana.
Akaun Instagram milik bekas Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan, turut tidak dapat diakses oleh pengguna India. Begitu juga dengan selebriti dan bintang sukan Pakistan, termasuk pelakon Fawad Khan dan penyanyi Atif Aslam, serta pemain kriket ternama seperti Babar Azam, Mohammad Rizwan, Shahid Afridi dan Wasim Akram.
Langkah ini dilihat sebagai sebahagian daripada pendekatan menyeluruh India untuk menyekat pengaruh dan naratif dari Pakistan dalam ruang digitalnya.
Ketegangan ini turut menyaksikan peningkatan mendadak dalam penyebaran maklumat palsu di media sosial, termasuk penggunaan video palsu dan imej lapuk dari konflik lain yang dikaitkan secara salah dengan serangan India.
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, pada 7 Mei menggesa kedua-dua negara agar segera menghentikan pertempuran. “Jika saya boleh membantu menghentikan keganasan ini, saya sedia melakukannya,” katanya kepada wartawan. - Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg