Mexico dilanda gelombang keganasan apabla raja dadah ‘El Mencho’ dibunuh tentera

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mexico dilanda gelombang keganasan apabla raja dadah ‘El Mencho’ dibunuh tentera

Feb 23, 2026 | 4:24 PM

Mexico dilanda gelombang keganasan apabla raja dadah ‘El Mencho’ dibunuh tentera

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Pemandangan kereta dan sebuah trak yang hangus terbakar, dipercayai dibakar oleh kumpulan jenayah terancang sebagai tindak balas terhadap operasi menangkap sasaran keselamatan berkeutamaan tinggi, di lebuh raya berhampiran Acatlan de Juarez, negeri Jalisco, Mexico pada 22 Februari 2026. Tentera Mexico mengumumkan mereka telah membunuh raja dadah berpengaruh Nemesio “El Mencho” Oseguera dalam operasi yang mencetuskan gelombang keganasan di pelbagai bahagian negara pada hari yang sama. Lelaki bersenjata bertindak balas dengan menyekat lebih 20 jalan di barat Jalisco, termasuk kawasan Tapalpa, menggunakan kenderaan yang dibakar, dan keganasan turut merebak ke negeri lain.
Pemandangan kereta dan sebuah trak yang hangus terbakar, dipercayai dibakar oleh kumpulan jenayah terancang sebagai tindak balas terhadap operasi menangkap sasaran keselamatan berkeutamaan tinggi, di lebuh raya berhampiran Acatlan de Juarez, negeri Jalisco, Mexico pada 22 Februari 2026. Tentera Mexico mengumumkan mereka telah membunuh raja dadah berpengaruh Nemesio “El Mencho” Oseguera dalam operasi yang mencetuskan gelombang keganasan di pelbagai bahagian negara pada hari yang sama. Lelaki bersenjata bertindak balas dengan menyekat lebih 20 jalan di barat Jalisco, termasuk kawasan Tapalpa, menggunakan kenderaan yang dibakar, dan keganasan turut merebak ke negeri lain. - Foto AFP

GUADALAJARA: Tentera Mexico mengumumkan mereka berjaya membunuh raja dadah berpengaruh Nemesio “El Mencho” Oseguera dalam satu operasi keselamatan yang mencetuskan gelombang keganasan di beberapa wilayah negara itu.

Menurut kenyataan rasmi tentera, Oseguera, 59 tahun, ketua Kartel Generasi Baharu Jalisco (CJNG), cedera dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan di bandar Tapalpa, negeri Jalisco, sebelum meninggal dunia ketika diterbangkan ke Mexico City untuk rawatan. Amerika Syarikat sebelum ini menawarkan ganjaran AS$15 juta (S$18.97 juta) bagi penangkapannya.

Serangan balas oleh kumpulan bersenjata kartel berlaku hampir serta-merta. Lebih 20 jalan utama di barat Jalisco disekat menggunakan kenderaan dibakar termasuk lori dan kereta, manakala keganasan turut merebak ke negeri jiran.

Tentera memaklumkan enam suspek anggota kartel turut terbunuh dan tiga anggota tentera cedera dalam operasi itu. Pihak berkuasa juga menahan dua lagi suspek serta merampas pelbagai senjata berat termasuk pelancar roket yang mampu menjatuhkan pesawat dan memusnahkan kenderaan perisai.

Presiden Mexico Cik Claudia Sheinbaum menggesa rakyat bertenang dan berkata kerajaan pusat sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa negeri. “Keadaan sedang dipantau rapi dan semua agensi keselamatan telah digerakkan,” katanya.

Jalisco, yang dijadual menjadi tuan rumah empat perlawanan Piala Dunia musim panas ini, segera membatalkan semua acara besar dan menutup sekolah secara fizikal.

Di ibu negeri Guadalajara, jalan raya hampir kosong apabila kedai, farmasi dan stesen minyak ditutup. Penduduk tempatan bergegas mencari perlindungan selepas kumpulan bersenjata muncul di beberapa kawasan.

Cik Maria Medina, pekerja stesen minyak yang dibakar penyerang, berkata beliau nyaris menjadi mangsa penculikan. “Saya fikir mereka mahu menculik kami. Saya lari ke gerai taco berhampiran untuk berlindung bersama orang lain,” katanya kepada AFP.

Keganasan turut dilaporkan di negeri Michoacan, kawasan pengaruh CJNG, serta bandar peranginan Puerto Vallarta.

Kartel Jalisco yang ditubuhkan pada 2009 berkembang menjadi antara organisasi pengedaran dadah paling ganas di Mexico, menurut Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat. Washington mengklasifikasikannya sebagai organisasi pengganas dan menuduhnya menyeludup kokain, heroin, methamphetamine serta fentanyl ke Amerika.

Penolong Setiausaha Negara Amerika Encik Christopher Landau memuji operasi tersebut dan menyifatkan Oseguera sebagai “antara ketua kartel paling berdarah dan kejam”. “Ini perkembangan besar untuk Mexico, Amerika Syarikat, Amerika Latin dan dunia,” katanya.

Operasi itu berlaku ketika Presiden Amerika Donald Trump meningkatkan tekanan terhadap Mexico bagi mengekang aliran dadah, khususnya fentanyl, ke Amerika. Encik Trump berulang kali mengancam mengenakan tarif terhadap eksport Mexico kerana mendakwa usaha pemerintah Cik Sheinbaum masih tidak mencukupi.

Selepas keganasan tercetus, Jabatan Negara Amerika menasihatkan rakyatnya di beberapa kawasan Mexico supaya “berlindung di tempat masing-masing sehingga diberitahu kelak”. Canada turut mengeluarkan amaran perjalanan susulan laporan tembak-menembak dan letupan di Jalisco, Guerrero dan Michoacan.

Beberapa syarikat penerbangan Amerika dan Canada membatalkan puluhan penerbangan ke Mexico berikutan keadaan keselamatan yang tidak menentu.

Kematian Oseguera menandakan salah satu kejayaan terbesar pihak berkuasa Mexico sejak penahanan pemimpin Kartel Sinaloa Joaquin “El Chapo” Guzman dan Ismael Zambada, namun keganasan susulan menunjukkan pengaruh kartel masih jauh daripada berakhir. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg