Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemilik Miss Universe di Mexico, Thailand disiasat atas penipuan, jual dadah

Nov 27, 2025 | 3:42 PM
Pengarah Miss Universe Thailand, Encik Nawat Itsaragrisil (kanan), dan presiden pertandingan itu, Encik Raul Rocha Cantu, semasa acara tersebut.
Pengarah Miss Universe Thailand, Encik Nawat Itsaragrisil (kanan), dan presiden pertandingan itu, Encik Raul Rocha Cantu, semasa acara tersebut. - Foto AFP

MEXICO CITY: Pertandingan ratu cantik Miss Universe dilanda skandal baru sejurus selepas ia berakhir, apabila rakan kongsi pemilikannya dari Mexico dituduh terlibat dalam pemerdagangan dadah dan senjata, manakala rakan kongsi dari Thailand pula berdepan dakwaan penipuan.

Pertandingan Miss Universe 2025 berakhir minggu lalu di Thailand dengan kemenangan Miss Mexico, selepas satu acara penuh drama termasuk pertengkaran terbuka antara pemenang tersebut dengan hos pertandingan.

Seorang pegawai mahkamah Thailand mendedahkan pada 26 November satu waran tangkap telah dikeluarkan sehari sebelumnya terhadap rakan pemilik pertandingan itu, tokoh media, Cik Anne Jakapong Jakrajutatip, atas dakwaan penipuan melibatkan AS$930,000 ($1.2 juta).

Seorang pakar bedah plastik menuduh Cik Jakapong melakukan penipuan dan menyembunyikan maklumat ketika memujuknya untuk melabur dalam JKN Global Group, syarikat yang memiliki sebahagian hak pertandingan, lapor The Straits Times (ST).

Pada hari yang sama, pejabat pendakwa persekutuan Mexico berkata rakan pemilik lain pertandingan itu, usahawan Mexico, Encik Raul Rocha Cantu, sedang disiasat atas pemerdagangan senjata, dadah dan bahan api.

“Maklumat penting sedang diperoleh yang akan membolehkan pejabat pendakwa persekutuan meneruskan dan mendalami siasatan ini,” kata agensi itu dalam satu kenyataan.

Waran tangkap telah dikeluarkan terhadap 13 suspek namun mereka tidak dinamakan.

Media Mexico melaporkan, Encik Rocha Cantu, adalah antara individu yang dicari polis.

Media tempatan turut menuduh beliau mempunyai urusan perniagaan dengan bapa Miss Universe yang baru dinobatkan, Cik Fatima Bosch.

Bapa Cik Fatima, Encik Bernando Bosch, seorang eksekutif kanan di syarikat minyak negara Pemex, menafikan sebarang kaitan.

Cik Fatima mendapat pujian meluas selepas mengetuai bantahan keluar dewan secara dramatik semasa sesi pertemuan antara para peserta dengan pengarah pertandingan dari Thailand, Encik Nawat Itsaragrisil.

Encik Nawat dirakam menegurnya kerana didakwa gagal memuat naik kandungan promosi, malah memanggilnya “dumbhead” (dungu).

Cik Fatima menerima sokongan ramai, termasuk daripada presiden wanita pertama negaranya, Cik Claudia Sheinbaum.

Pada 25 November, ratu cantik berusia 25 tahun itu mendedahkan beliau telah menerima “hinaan, serangan, malah ugutan bunuh” akibat dakwaan berkaitan bapanya dengan pertandingan.

Miss Universe dahulunya dimiliki oleh Presiden Amerika, Encik Donald Trump.

JKN Global Group milik Jakapong membelinya pada 2022 dengan harga AS$20 juta, sebelum menjual separuh pegangan kepada Legacy Holding Group USA, milik Encik Rocha Cantu, dengan harga AS$16 juta. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg