Serangan udara Israel ke atas Doha, ibu kota Qatar, pada 9 September adalah pencabulan kedaulatan Qatar secara terang-terangan.
Menurut jurucakap Kementerian Ehwal Luar (MFA) pada 10 September, tindakan Israel itu “amat buruk dan berbahaya” kerana ia boleh menjejas rundingan gencatan senjata serta pembebasan tebusan di Gaza yang sedang diusahakan.
Ini di samping menggugat usaha Qatar demi mendapatkan perjanjian sedemikian.
“Singapura berganding bahu secara solidariti bersama Qatar,” tambah MFA.
Ternyata serangan udara maut Israel yang menyasarkan pegawai Hamas di Doha itu turut mencetuskan gelombang kecaman antarabangsa dan menambah tekanan diplomatik terhadap Tel Aviv.
Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dijadual mengadakan mesyuarat tergempar pada 10 September, selepas Algeria dan Pakistan menggesa badan dunia itu membincangkan pelanggaran serius terhadap kedaulatan Qatar.
Menurut sumber diplomatik PBB, anggota majlis akan menerima taklimat daripada pegawai kanan PBB mengenai perkembangan terkini dan risiko besar akibat peningkatan konflik Israel.
Setiausaha Agung PBB, Encik Antonio Guterres, mengecam serangan tersebut sebagai “pelanggaran terang-terangan terhadap kedaulatan dan integriti wilayah Qatar”.
Tentera Israel mendakwa melancarkan serangan menyasarkan beberapa pemimpin kanan Hamas pada 9 September selepas berlaku beberapa letupan di ibu negara Qatar yang turut menempatkan biro politik kumpulan itu.
Tindakan Israel menyasarkan kediaman yang menempatkan pemimpin Biro Politik Hamas itu disifatkan sebagai pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa.
Arab Saudi, Amiriah Arab Bersatu (UAE), Jordan dan Mesir antara negara yang paling awal mengecam tindakan Israel.
Mereka menyifatkan serangan itu sebagai kejam dan melanggar undang-undang antarabangsa serta Piagam PBB.
“Kami menegaskan tindakan Israel ini boleh menjejas keselamatan dan kestabilan rantau.
“Masyarakat antarabangsa perlu mengecam dan menghentikan pelanggaran terbabit,” kata Kementerian Luar Arab Saudi dalam kenyataan yang disiarkan Agensi Berita Saudi (SPA).
Putera Mahkota Mohammed bin Salman turut menghubungi Amir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani, bagi melahirkan perpaduan penuh Arab Saudi.
“Arab Saudi berdiri teguh bersama Qatar dan bersedia menyediakan segala bantuan untuk melindungi keselamatan dan kedaulatannya,” katanya.
Raja Jordan, Abdullah II, dalam kenyataan berasingan, menegaskan: “Keselamatan Qatar adalah keselamatan Jordan.”
Jurucakap Kementerian Luar Jordan, Encik Fuad Majali, memberi amaran serangan itu berisiko mencetuskan konflik lebih besar.
Menteri Luar UAE, Sheikh Abdullah bin Zayed Al-Nahyan, pula menyifatkan serangan Israel sebagai “pelanggaran pengecut dan berbahaya” terhadap sebuah negara berdaulat.
Kementerian Luar Qatar menegaskan pihaknya tidak akan bertolak ansur dengan sebarang ancaman terhadap keselamatan negara itu.
Mesir turut mengecam tindakan tersebut dan menyifatkannya sebagai “contoh berbahaya yang menjejas usaha sejagat mengurangkan ketegangan di rantau ini”.
Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan Liga Dunia Islam turut mengeluarkan kenyataan mengecam keras serangan Israel itu.
Presiden Turkey, Encik Recep Tayyip Erdogan, berkata serangan itu bukan sahaja melanggar undang-undang antarabangsa, malah “mengancam keselamatan dan keamanan negara sahabat Qatar”.
Tunisia turut menyifatkan tindakan Israel sebagai “pengkhianatan yang hina” dan menegaskan sokongan penuh terhadap Doha.
Di Washington, semakin ramai anggota Kongres Demokrat menyuarakan bantahan.
Ahli Dewan Perwakilan Amerika Syarikat, Encik Mark Pocan, berkata: “Serangan ini jelas menunjukkan Netanyahu langsung tidak berminat menamatkan perang atau melindungi orang awam.”
Beberapa negara lain termasuk Australia, Indonesia, Malaysia, Jepun dan New Zealand, turut menyertai kecaman terhadap Israel.
Mereka menggesa Majlis Keselamatan PBB memastikan Tel Aviv bertanggungjawab atas tindakannya itu.
Jurucakap Kementerian Luar Qatar, Encik Majed al-Ansari, berkata Doha sedang mengambil langkah diplomatik dan undang-undang.
“Kami bekerjasama rapat dengan Amerika untuk mengelakkan pencerobohan seperti ini berulang,” katanya.
Presiden Amerika, Encik Donald Trump, memberi teguran luar biasa kepada Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, berhubung serangan itu.
Encik Trump menegaskan beliau tidak terbabit dalam serangan itu, yang dilakukan oleh Israel ke atas sebuah negara Teluk yang juga sekutu rapat Amerika.
Naib Presiden Amerika, Encik JD Vance, mengakui Encik Trump berang dengan serangan Israel tetapi berkata ada “hikmah terselindung” kerana beberapa anggota Hamas terbunuh.
Di London, puluhan Anggota Parlimen Britain menyuarakan kebimbangan menjelang lawatan Presiden Israel Isaac Herzog.
Mereka menegaskan Britain mempunyai tanggungjawab undang-undang antarabangsa untuk tidak memberi pengiktirafan politik kepada individu yang terlibat dalam dakwaan genosid.
Sementara di Gaza, tentera Israel meneruskan serangan udara, termasuk di kem pelarian Bureij, yang mengorbankan dan mencederakan ramai penduduk.
Di Tebing Barat, agensi berita Wafa melaporkan tentera Israel merobohkan dua rumah di Kafr Abush, selatan Tulkarem, dan di Tubas.
Rumah itu milik keluarga dua tahanan Palestin serta seorang suspek yang terbunuh ketika menyerang pos pemeriksaan tentera Israel pada 2024.
Di Jenin, tentera Israel mengepung sebuah rumah di kejiranan al-Marah.
Tindakan merobohkan rumah-rumah Palestin ini meningkat selepas kejadian tembakan di Baitulmakdis Timur, yang meragut lima nyawa pada 8 September. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg