Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Militia disokong Iran di Iraq sedia lucut senjata elak ancaman Trump

Bakal jadi sasaran serangan udara AS jika gagal berbuat demikian
Apr 7, 2025 | 4:30 PM
Pegawai Amerika Syarikat telah memberi amaran kepada pemerintah Iraq bahawa jika mereka tidak bertindak untuk membubarkan kumpulan militia, Amerika boleh menyasarkan kumpulan itu melalui serangan udara.
Pegawai Amerika Syarikat telah memberi amaran kepada pemerintah Iraq bahawa jika mereka tidak bertindak untuk membubarkan kumpulan militia, Amerika boleh menyasarkan kumpulan itu melalui serangan udara. - Foto REUTERS

BAGHDAD: Beberapa kumpulan militia yang disokong Iran di Iraq bersedia untuk melucutkan senjata buat kali pertama bagi mengelak ancaman konflik yang semakin memuncak dengan pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, kata 10 komander kanan dan pegawai Iraq.

Langkah untuk meredakan ketegangan itu berikutan amaran berulang yang dikeluarkan secara peribadi oleh pegawai Amerika kepada pemerintah Iraq sejak Encik Trump mengambil alih kuasa pada Januari.

Demikian menurut sumber yang termasuk enam komander tempatan empat militia utama.

Para pegawai memberitahu Baghdad bahawa melainkan ia bertindak membubarkan militia yang beroperasi di buminya, Amerika boleh menyasarkan kumpulan itu dengan serangan udara, kata mereka.

Anggota politik kanan Syiah yang rapat dengan perikatan pemerintah Iraq, Encik Izzat al-Shahbndar, menyatakan bahawa perbincangan antara Perdana Menteri Encik Mohammed Shia al-Sudani dengan beberapa pemimpin militia adalah “sangat lancar” dan kumpulan itu cenderung mematuhi gesaan Amerika supaya melucutkan senjata.

“Puak-puak itu tidak bersikap keras kepala atau berpendirian untuk meneruskan pasukan mereka sekarang,” kata beliau sambil menambah bahawa kumpulan itu “sedar sepenuhnya” mereka boleh menjadi sasaran Amerika.

Enam komander militia yang ditemu bual di Baghdad dan wilayah selatan, yang tidak mahu nama mereka disiarkan untuk membincangkan keadaan sensitif itu, adalah daripada kumpulan Kataib Hezbollah, Nujabaa, Kataib Sayyed al-Shuhada dan Ansarullah al-Awfiyaa.

“Trump bersedia untuk membawa peperangan terhadap kami ke tahap yang lebih teruk, kami tahu itu dan kami mahu mengelak senario buruk seperti itu,” kata seorang komander Kataib Hezbollah, militia Syiah yang paling berkuasa.

Para komander berkata sekutu dan penaung utama mereka, pasukan tentera Pengawal Revolusi Iran (IRGC), telah merestui keputusan yang mereka fikirkan perlu bagi mengelak daripada terlibat dalam konflik dengan Amerika dan Israel.

Militia itu adalah sebahagian daripada Penentang Islam di Iraq, kumpulan yang memayungi kira-kira 10 puak bersenjata Syiah tegar yang secara kolektif memerintah sekitar 50,000 anggota dan mempunyai peluru berpandu jarak jauh dan senjata antipesawat.

Kumpulan penentang, tonggak utama rangkaian pasukan proksi serantau Iran, telah mengaku bertanggungjawab atas berpuluh-puluh serangan peluru berpandu dan dron ke atas Israel dan tentera Amerika di Iraq dan Syria sejak perang Gaza meletus kira-kira 18 bulan lalu.

Encik Farhad Alaaeldin, penasihat hal ehwal luar Sudani, berkata Perdana Menteri komited untuk memastikan semua senjata di Iraq berada di bawah kawalan negara melalui dialog membina dengan pelbagai kumpulan militia.

Kedua-dua pegawai keselamatan Iraq selanjutnya berkata Encik Sudani mendesak pelucutan senjata daripada semua militia Penentang Islam di Iraq, yang taat setia kepada IRGC atau Pasukan Quds Iran dan bukannya Baghdad.

Encik Shahbndar berkata pemerintah Iraq masih belum memuktamadkan perjanjian dengan pemimpin militan, dengan mekanisme pelucutan senjata masih dalam perbincangan.

Pilihan yang dipertimbangkan termasuk menukar kumpulan itu menjadi parti politik dan menyepadukan mereka ke dalam angkatan tentera Iraq, tambahnya. – Reuters.

Laporan berkaitan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg