Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pembantu Netanyahu: Pelan Gaza Biden ‘bukan terbaik’ tetapi diterima Israel

Jun 3, 2024 | 1:14 PM
Pembantu Perdana Menteri Israel, berkata negaranya kini bersetuju dengan pelan Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden, untuk menamatkan perang yang telah memusnahkan Gaza.
Pembantu Perdana Menteri Israel, berkata negaranya kini bersetuju dengan pelan Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden, untuk menamatkan perang yang telah memusnahkan Gaza. - Foto AFP

BAITULMAKDIS: Seorang pembantu Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu mengesahkan pada 2 Jun bahawa Israel telah menerima perjanjian rangka kerja untuk menamatkan perang Gaza yang dimajukan oleh Presiden Amerika Syarikat Joe Biden, meskipun beliau menyifatkan ia sebagai cacat dan memerlukan lebih banyak penelitian.

Dalam temu bual dengan Sunday Times Britain, Encik Ophir Falk, ketua penasihat dasar luar Encik Netanyahu, berkata cadangan Encik Biden adalah “satu perjanjian yang kami setujui – ia bukan perjanjian yang baik tetapi kami mahu kesemua tebusan dibebaskan.

“Terdapat banyak butiran yang perlu diselesaikan,” katanya, sambil menambah bahawa syarat Israel, termasuk “pembebasan tebusan dan pemusnahan Hamas sebagai pertubuhan pengganas genosid” tetap tidak berubah.

Encik Biden, yang sokongan awalnya terhadap serangan Israel telah memberi laluan kepada kecaman terbuka terhadap angka kematian orang awam yang tinggi dalam operasi Israel itu, pada 31 Mei menyiarkan apa yang disifatkannya sebagai rancangan tiga fasa yang dikemukakan oleh pemerintah Encik Netanyahu untuk menamatkan perang.

Fasa pertama memerlukan gencatan senjata dan pemulangan beberapa tebusan yang ditahan oleh Hamas, selepas itu pihak-pihak terlibat akan berunding mengenai pemberhentian permusuhan terbuka dan dalam fasa ketiga, semua baki tebusan akan dibebaskan, kata Encik Biden.

Susunan itu nampaknya membayangkan bahawa Hamas akan terus memainkan peranan dalam pengaturan tambahan yang diutarakan oleh Mesir dan Qatar – potensi pertembungan dengan keazaman Israel untuk meneruskan kempen menghapuskan kumpulan militan Palestin yang disokong Iran.

Encik Biden telah memuji beberapa cadangan gencatan senjata sejak beberapa bulan lalu, setiap satu dengan rangka kerja yang serupa dengan yang digariskan pada 31 Mei, tetapi semua gagal.

Perkara utama ialah desakan Israel bahawa ia akan membincangkan soal gencatan sementara sehingga Hamas dimusnahkan.

Hamas, yang tidak menunjukkan tanda-tanda untuk berundur, berkata ia akan membebaskan tebusan melainkan perang ditamatkan secara kekal.

Encik Falk mengulangi pendirian Encik Netanyahu bahawa “tidak akan ada gencatan senjata kekal sehingga semua matlamat kami tercapai”.

Hamas telah mengalu-alukan inisiatif Encik Biden, walaupun seorang pegawai kanan kumpulan itu, Encik Sami Abu Zuhri, berkata pada 2 Jun bahawa “Hamas terlalu besar untuk dipintas atau diketepikan oleh Encik Netanyahu atau Presiden Biden”.

Hamas mahukan pengakhiran yang terjamin kepada serangan Gaza, penarikan semua pasukan penceroboh, pergerakan bebas untuk rakyat Palestin dan bantuan pembinaan semula. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg