Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Misi PBB: Kededua pihak di Sudan lakukan penyeksaan

Sep 6, 2024 | 7:20 PM
Banyak keluarga yang kehilangan tempat tinggal akibat serangan Pasukan Sokongan Pantas (RSF) di wilayah El Gezira dan Sennar di Sudan, dan mencari perlindungan di tapak pemindahan Omar ibn al-Khattab, di wilayah Kassala.
Banyak keluarga yang kehilangan tempat tinggal akibat serangan Pasukan Sokongan Pantas (RSF) di wilayah El Gezira dan Sennar di Sudan, dan mencari perlindungan di tapak pemindahan Omar ibn al-Khattab, di wilayah Kassala. - Foto REUTERS

GENEVA: Kededua pihak yang terjerumus dalam perang saudara di Sudan telah melakukan penganiayaan dan penyeksaan yang mungkin menyamai jenayah perang.

Justeru, kuasa dunia perlu menghantar pasukan pengaman dan memperluas sekatan senjata untuk melindungi rakyat Sudan, demikian menurut satu misi yang menerima mandat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 6 September.

Kededua tentera Sudan dan Pasukan Sokongan Pantas (RSF) separa tentera telah menyerang orang awam, menggunakan penyeksaan dan membuat tangkapan sewenang-wenangnya, menurut laporan misi tersebut.

Laporan setebal 19 muka surat itu dihasilkan berdasarkan 182 temu bual dengan mangsa yang terselamat, serta saudara mara dan saksi mereka.

“Penemuan yang cukup serius ini menekankan tindakan segera yang diperlukan untuk melindungi orang awam,” kata pengerusi misi mencari fakta PBB itu, Encik Mohamed Chande Othman.

Beliau menggesa satu pasukan pengaman bebas dan tidak berat sebelah dikerahkan ke negara itu dengan segera.

Kededua pihak yang bertelagah di Sudan telah menolak tuduhan Amerika Syarikat dan kumpulan hak asasi manusia pada masa lalu, dan sebaliknya saling menuduh satu sama lain melakukan penyeksaan terhadap rakyat Sudan.

Misi PBB itu menggesa langkah memperluas sekatan senjata PBB yang sedia ada, yang kini hanya dilaksanakan di wilayah barat Darfur.

Peperangan yang bermula di Khartoum pada April 2023 itu telah merebak ke 14 daripada 18 wilayah di Sudan.

Kes penyeksaan yang dilaporkan mungkin menyamai jenayah perang atau jenayah terhadap kemanusiaan, ujar misi itu.

Menurut misi itu, ia juga menemui alasan munasabah untuk mempercayai bahawa RSF dan militia sekutunya telah melakukan jenayah perang tambahan, termasuk perhambaan seks dan pengambilan askar kanak-kanak dalam konflik itu.

Pasukan mencari fakta itu menyatakan ia telah beberapa kali cuba menghubungi pihak berkuasa Sudan tetapi tidak mendapat respons.

Konflik tersebut bermula apabila persaingan antara tentera Sudan dengan RSF, yang sebelum ini berkongsi kuasa selepas melakukan satu rampasan kuasa, meletus menjadi satu peperangan terbuka.

Selepas peperangan selama 17 bulan, rakyat Sudan kini mengalami kebuluran yang semakin buruk, dengan ramai penduduk kehilangan tempat tinggal dan penyakit yang merebak, menurut beberapa agensi bantuan kemanusiaan.

Laporan oleh misi PBB itu adalah yang pertama sejak misi itu ditubuhkan pada Oktober 2023 oleh Majlis Hak Asasi Manusia PBB di Geneva. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg