TOKYO: Sebuah kapal angkasa Jepun sedang dalam perjalanan ke salah satu bulan Marikh atau ‘Mars’ pada 20 Oktober, dalam misi pertama dunia untuk mengambil contoh di sana.

Misi itu mungkin membantu mengungkap asal usul sistem suria dan kehidupan di bumi.

Roket H3 yang membawa kapal angkasa tanpa pemandu Martian Moons eXploration (MMX) itu dilancarkan ke langit dari Pusat Angkasa Tanegashima pada 4.41 pagi waktu tempatan (3.41 pagi waktu Singapura), menurut siaran langsung Agensi Penerokaan Aeroangkasa Jepun (JAXA).

Lebih sejam kemudian, JAXA mengumumkan menerusi siaran langsung bahawa kapal penyiasat tersebut berjaya dipisahkan daripada H3 dan “memulakan perjalanannya menuju sistem Marikh”.

“Saya sudah lama mengimpikan hari ini, oleh itu, saya sangat gembira,” kata saintis JAXA, Cik Mari Aida.

“Sekarang saya berasa lega sekali,” tambah beliau.

Selepas pemisahan itu, JAXA berkata ia menerima isyarat daripada kapal angkasa tersebut seperti yang dijangka, sekali gus mengesahkan kapal itu berfungsi dengan baik.

Walaupun hari masih awal di Jepun, ribuan orang menonton siaran langsung itu dan menulis mesej penyuntik semangat.

Kapal angkasa itu dijangka tiba berhampiran Marikh sekitar Ogos 2027, dan akan mengelilingi Phobos, salah satu bulan Marikh. 

Marikh mempunyai dua bulan kecil: Phobos dan Deimos.

Sebuah kenderaan penjelajah Perancis-Jerman yang dinamakan IDEFIX – nama Perancis bagi anjing watak kartun Asterix – akan menjadi kenderaan pertama yang bergerak merentasi Phobos. 

Penjelajah itu akan membuat pemerhatian permukaan bagi memastikan pendaratan yang selamat.

Setelah MMX tiba di Phobos, ia akan mengumpulkan sekurang-kurangnya 10 gram bahan daripada permukaannya sepanjang tiga tahun yang dirancang di sekitar Planet Merah itu.

Misi itu bertujuan menjadi perjalanan pergi balik pertama ke kawasan Marikh.

Ia merupakan kerjasama dengan agensi angkasa Amerika Syarikat dan Eropah, serta banyak universiti dan syarikat teknologi.

Para saintis berharap misi itu akan membuka jalan kepada penerokaan Marikh oleh manusia kelak.

“Contoh daripada MMX akan membawa sains yang mengubah paradigma tentang sistem Marikh untuk generasi akan datang, lebih-lebih lagi ketika Pentadbiran Penerbangan dan Angkasa Lepas Kebangsaan (Nasa) bersiap untuk menghantar manusia pertama ke Marikh,” kata pentadbir Direktorat Misi Sains Nasa, Encik Nicky Fox, dalam mesej semangat yang disiarkan menerusi siaran langsung JAXA.

JAXA berharap misi itu akan menjelaskan bagaimana Marikh dan dua bulannya terbentuk, satu maklumat penting untuk memahami bagaimana sistem suria tercipta.

Satu teori tentang asal usul bulan-bulan itu – hipotesis “hentaman besar” – menyatakan bahawa bulan-bulan itu terbentuk selepas sebuah objek angkasa melanggar Marikh.

Hipotesis “tangkapan” pula mengatakan bahawa bulan-bulan tersebut sebenarnya asteroid yang ditarik oleh graviti Marikh. – AFP.