Modi ke Israel perkukuh hubungan pertahanan dan perdagangan, cetus kritikan dalam negara

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Modi ke Israel perkukuh hubungan pertahanan dan perdagangan, cetus kritikan dalam negara

Feb 25, 2026 | 3:43 PM

Modi ke Israel perkukuh hubungan pertahanan dan perdagangan, cetus kritikan dalam negara

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
modi, israel, hubungan pertahanan
Perdana Menteri India Narendra Modi (kiri) dan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu (kanan) menandatangani buku pelawat di Tanah Perkuburan Tentera India Perang Dunia Pertama bagi menghormati askar India yang terkorban, di bandar pesisir Haifa, Israel, pada 6 Julai 2017. - Foto REUTERS

NEW DELHI: Perdana Menteri India Narendra Modi berlepas ke Israel untuk lawatan rasmi dua hari bagi memperkukuh kerjasama dengan rakan strategik utama dalam perdagangan dan pertahanan, langkah yang turut mengundang kritikan dalam negara.

Dalam kenyataan sebelum berlepas, Encik Modi menegaskan hubungan kedua-dua negara kini berada pada tahap kukuh dan semakin berkembang. “Negara kita berkongsi perkongsian strategik yang teguh dan pelbagai dimensi,” katanya. “Hubungan kita telah meningkat dengan ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini.”

Sepanjang lawatan, beliau dijadual bertemu Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan Presiden Isaac Herzog serta berucap di Knesset, parlimen Israel.

Hubungan India-Israel berkembang pesat dalam sektor pertahanan, pertanian, teknologi dan keselamatan siber, walaupun New Delhi masih mengekalkan hubungan diplomatik dengan negara Asia Barat lain.
Perbincangan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) India-Israel turut dimulakan minggu ini, dengan kerajaan India menyatakan nilai perdagangan barangan antara kedua negara mencecah AS$3.62 bilion (S$4.58 bilion) bagi tahun kewangan 2024-2025.

Encik Modi berkata beliau akan berbincang dengan Encik Netanyahu mengenai langkah memperluas kerjasama. “Kami akan membincangkan cara memperkukuh lagi kerjasama antara kedua negara,” katanya.

Hubungan diplomatik penuh antara India dan Israel bermula pada 1992 dan semakin erat selepas Encik Modi mengambil alih jawatan pada 2014. Pada 2017, beliau menjadi perdana menteri India pertama melawat Israel, diikuti kunjungan balas Encik Netanyahu ke India setahun kemudian. Kedua-dua pemimpin sering menyifatkan satu sama lain sebagai “sahabat”.

Kerjasama strategik ini turut dikaitkan dengan projek Koridor Ekonomi India-Asia Barat-Eropah yang diumumkan pada 2023, melibatkan rangkaian kereta api, pelabuhan, tenaga dan data melalui negara termasuk Arab Saudi dan Israel. Namun projek tersebut terbantut selepas serangan Hamas pada 7 Oktober dan perang di Gaza yang menyusul.

India turut mempunyai kepentingan ekonomi langsung di Israel. Konglomerat besar India, Adani Group, mengendalikan pelabuhan Haifa di Mediterranean, manakala teknologi dron tentera Israel memainkan peranan penting ketika konflik India-Pakistan pada Mei 2025.

Lawatan Encik Modi bagaimanapun menerima kritikan daripada pembangkang India yang mahu isu Gaza dibangkitkan secara terbuka.

Pemimpin kanan Parti Kongres, Encik Priyanka Gandhi, berkata beliau berharap Encik Modi menyentuh penderitaan rakyat Palestin ketika berucap di parlimen Israel. “Saya berharap beliau menyebut pembunuhan ribuan lelaki, wanita dan kanak-kanak tidak bersalah di Gaza,” katanya menerusi media sosial.

India mempunyai kira-kira 220 juta penduduk Muslim dalam populasi keseluruhan 1.4 bilion, menjadikan dasar Asia Barat negara itu sensitif dari sudut domestik.

Walaupun mempererat hubungan dengan Israel, India pada masa sama mengekalkan hubungan kukuh dengan negara Teluk dan Iran. New Delhi turut membangunkan pelabuhan Chabahar di Iran sebagai pintu perdagangan ke Afghanistan dan mengekalkan hubungan dengan pihak berkuasa Taliban.

Pendekatan ini mencerminkan strategi keseimbangan India di Asia Barat - memperluas kerjasama keselamatan dan teknologi dengan Israel sambil mengekalkan kepentingan tenaga, perdagangan dan geopolitik dengan dunia Arab dan Iran.

Lawatan Modi ke Israel dilihat sebagai usaha memperkukuh kepentingan strategik jangka panjang negara itu, namun pada masa sama menguji keupayaan New Delhi mengekalkan keseimbangan diplomatik di rantau yang semakin bergolak. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg