Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Di sebalik tindak balas Timur Tengah terhadap krisis India-Pakistan

Jun 2, 2025 | 5:30 AM
gencatan senjata india-pakistan, bangalore
Papan iklan di bandar Bangalore, India ini kelihatan tertera perkataan ‘Operasi Sindoor’, nama kod bagi kempen ketenteraan yang dilancarkan oleh India merentasi Pakistan. Gencatan senjata antara Pakistan dengan India berkuat kuasa pada 10 Mei selepas beberapa hari ketegangan ketenteraan. - Foto EPA-EFE

ABU DHABI: Ketegangan antara India dengan Pakistan yang tercetus semula pada 7 Mei dengan pelancaran, Operasi Sindoor, oleh Angkatan Tentera India menimbulkan kebimbangan mendalam dalam kalangan negara Timur Tengah.

Serangan peluru berpandu ke atas wilayah Pakistan yang didakwa sebagai tindak balas terhadap serangan berdarah di Pahalgam pada 22 April yang meragut 26 nyawa pelancong, memperlihat peningkatan konflik yang berisiko mencetuskan peperangan besar-besaran antara dua kuasa nuklear Asia Selatan.

Kebimbangan itu turut dirasai oleh negara Arab, khususnya di rantau Teluk yang menjalin hubungan ekonomi yang kukuh dengan India dan hubungan sejarah serta agama yang mendalam dengan Pakistan.

Dalam kerangka itu, reaksi negara Timur Tengah menjadi penting untuk dianalisis kerana ia mencerminkan perubahan dalam dasar luar mereka – daripada hanya menjadi pemerhati kepada pemain aktif dalam menangani krisis sejagat.

Dalam kalangan negara Timur Tengah, Israel dan Turkey tampil sebagai dua kutub yang memberikan tindak balas berbeza secara terang-terangan.

Duta Israel ke India, Encik Reuven Azar, menyatakan sokongan tegas kepada India dengan berkata:

“Israel menyokong hak India untuk mempertahankan diri. Pengganas harus tahu mereka tidak akan dapat lari daripada jenayah kejam terhadap orang awam.”

Kenyataan itu tidak menghairankan memandangkan Perdana Menteri India, Encik Narendra Modi, adalah antara pemimpin dunia pertama yang melahirkan sokongan kepada Israel selepas serangan 7 Oktober.

Tambahan pula, India didakwa menggunakan dron serangan buatan Israel (Harop) untuk menyerang Karachi dan Lahore, manakala Pakistan mendakwa telah menembak jatuh 25 unit dron tersebut.

Sebaliknya, Presiden Turkey, Encik Recep Tayyip Erdogan, menyatakan penghargaan kepada Perdana Menteri Pakistan, Encik Shehbaz Sharif, atas “sikap tenang dan berhemah” dalam menghadapi serangan.

Encik Erdogan turut menyokong gesaan Pakistan supaya siasatan antarabangsa dijalankan ke atas serangan di Pahalgam, sekali gus menolak secara tidak langsung dakwaan India terhadap Pakistan.

Negara seperti Iran, Oman dan Qatar pula mengambil pendekatan berhati-hati dengan menyeru gencatan senjata dan penyelesaian damai.

Namun, dalam kalangan sesetengah tokoh berpengaruh, wujud ungkapan simpati terhadap Pakistan.

Bekas Duta Iran ke Pakistan, Encik Abolfazl Zohrevand, menyatakan bahawa “arus ekstremis di India adalah hasil konspirasi Amerika-Israel” dan boleh menjadi ancaman kepada kestabilan Asia Selatan dan Asia Tengah.

Mufti Besar Oman, Ahmad bin Hamad al-Khalili, pula menyatakan: “Kami memberi salam penghormatan kepada Pakistan, negara Muslim saudara kami, yang berani menentang pencerobohan dengan iman dan keberanian.”

Pandangan itu menjelaskan mengapa kebanyakan negara Arab, walaupun mempunyai hubungan perdagangan kukuh dengan India, tidak menyatakan sokongan terbuka terhadap Operasi Sindoor.

Dengan ketiadaan campur tangan aktif daripada kuasa besar seperti Amerika dan China pada peringkat awal, Iran dan Turkey melihat peluang tampil sebagai pendamai.

Menteri Luar Iran, Encik Abbas Araghchi, menyatakan kesediaan negaranya menjadi pengantara selepas menghubungi rakan sejawatnya dari Pakistan, Encik Ishaq Dar.

Namun, lawatan Encik Araghchi ke Pakistan sebelum India mencetuskan kemarahan di New Delhi.

Ultra nasionalisme India seperti hos televisyen, Encik Gaurav Arya, melabel Encik Araghchi sebagai “anak khinzir”, satu kenyataan yang mencetuskan krisis diplomatik.

Kedutaan India di Teheran menjarakkan diri daripada kenyataan tersebut, tetapi kesan terhadap kewibawaan Iran sebagai pendamai sudah pun dirasai.

Bagi Turkey pula, walaupun secara terbuka menyokong Pakistan, para pegawainya menafikan penghantaran senjata kepada Islamabad.

India mendakwa Turkey menghantar enam pesawat yang membawa senjata, tetapi Ankara menyatakan hanya satu pesawat yang berhenti untuk mengisi minyak.

Menurut Dr Omair Anas dari Universiti Yildirim Beyazit, Ankara mahu menjadi “saluran diplomatik belakang tabir” bagi meredakan ketegangan.

Tatkala Iran dan Turkey gagal memainkan peranan besar dalam pengantaraan, negara Teluk seperti Arab Saudi, Amiriah Arab Bersatu (UAE) dan Kuwait meningkatkan usaha diplomasi mereka.

Encik Sharif mengadakan pertemuan dengan duta ketiga-tiga negara itu di Islamabad pada 2 Mei dan meminta mereka menekan India agar menamatkan serangan.

Arab Saudi dan UAE mempunyai rekod yang baik dalam pengantaraan konflik India-Pakistan.

Ketika krisis Kashmir pada 2019, UAE dan Arab Saudi memainkan peranan penting dalam meredakan ketegangan dengan menjadi perantara dalam lawatan silang pemimpin India dan Pakistan.

UAE juga pernah menganjurkan rundingan rahsia antara agensi perisikan kedua-dua negara pada 2021.

Semasa Operasi Sindoor, Menteri Luar Arab Saudi, Encik Adel al-Jubeir, melakukan lawatan ke India dan Pakistan secara berturut-turut sebagai tanda peranan diplomatik aktif Riyadh.

UAE pula meneruskan pendekatan diplomasi senyap dengan berunding serentak bersama kedua-dua pihak.

Penganalisis menjangkakan jika rundingan damai India-Pakistan diteruskan, negara Teluk akan menjadi tuan rumah yang ideal.

Mantan Duta India ke Jordan dan Libya, Encik Anil Trigunayat, berkata: “Saya rasa Riyadh boleh menjadi lokasi rundingan, walaupun kenyataan rasmi India tidak menyebut perkara itu.”

Namun keraguan tetap wujud.

Zamil Penyelidik di Pusat Penyelidikan Raja Faisal di Riyadh, Encik Umer Karim, berkata bahawa India mungkin tidak bersedia mengantarabangsakan proses diplomatik melalui pengantara pihak ketiga.

Tindak balas negara Timur Tengah terhadap krisis India-Pakistan menggambarkan satu peralihan penting dalam peranan diplomatik rantau itu.

Jika dahulu mereka dilihat hanya bergantung pada kuasa besar seperti Amerika untuk menangani krisis serantau dan antarabangsa, kini mereka tampil dengan daya usaha sendiri, sama ada melalui pendirian tegas seperti Israel dan Turkey, atau diplomasi halus seperti Majlis Kerjasama Teluk (GCC).

Dalam konteks peranan sejagat yang semakin kompleks, rantau Timur Tengah dan Afrika Utara (Mena) bukan sahaja mahu menjaga hubungan strategik dengan India dan Pakistan, malah mahu diiktiraf sebagai kuasa pendamai yang sah di peringkat antarabangsa.

Sebagaimana dinyatakan oleh seorang diplomat Teluk yang enggan dinamakan:

“Apa yang kita mahukan bukan sekadar kestabilan serantau, malah pengiktirafan bahawa dunia Arab kini juga mampu menyumbang kepada keamanan sejagat.” – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg