LOS ANGELES: Mogok pekerja penjagaan kesihatan besar-besaran tercetus di Amerika Syarikat, melibatkan lebih 75,000 pekerja Kaiser Permanente, sebuah entiti penjagaan kesihatan tidak mencari untung terbesar di negara itu.
Ini mengikuti rentetan mogok pekerja di Hollywood dan sektor automotif Detroit sebelumnya.
Antara isu utama mereka ialah aduan mengenai kekurangan gaji dan masa bekerja yang panjang, khususnya di tengah-tengah inflasi yang sedang meningkat.
Cik Armando Velasco, seorang teknisyen X-ray, berkata pandemik Covid-19, banyak tenaga kerja telah berkurangan, meninggalkan beban yang semakin meningkat kepada mereka yang masih bekerja.
Cik Kathy Lozoya, seorang jururawat, pula menegaskan kesukaran hidup dengan kos sara hidup tinggi di selatan California.
“Meskipun Kaiser Permanente mencatat keuntungan berbilion-bilion dolar, pekerja barisan hadapan mendesak syarikat untuk berkongsi faedah tersebut. Kami mahukan kontrak adil agar kami boleh hidup dengan selesa,” tegas Cik Lozoya.
Mogok tiga hari ini dijangka memberi kesan kepada cawangan Kaiser di Washington DC, Virginia, California, Colorado, Oregon, dan Washington. Namun ia menegaskan pusatnya akan tetap beroperasi meskipun masa menunggu dijangka bertambah panjang.
Jurucakap Kaiser mengesahkan perbincangan dengan pihak pekerja masih berterusan, dengan beberapa peruntukan khusus telah dicapai bersama Gabungan Kesatuan Kaiser Permanente.
Namun, kesatuan itu menegaskan ini adalah salah satu mogok pekerja penjagaan kesihatan terbesar dalam sejarah Amerika, yang menuntut kenaikan gaji dan perlindungan daripada kontraktor kecil.
Jika tuntutan mereka tidak dipenuhi, kesatuan itu mengancam akan memulakan lagi mogok pada November. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg