NEW DELHI: Ribut dan hujan lebat yang melanda Asia Selatan sejak musim monsun bermula pada Jun lalu telah menyebabkan kematian lebih daripada 600 orang di seluruh rantau ini, dengan India, Nepal, dan Pakistan paling teruk terjejas.
Di India, sekurang-kurangnya 250 orang terkorban akibat bencana berkaitan cuaca, yang sering berlaku ketika musim tengkujuh dari Jun hingga September. Musim tengkujuh kali ini dilaporkan lebih dahsyat, dipercayai akibat daripada perubahan iklim dan pemanasan global.
Hujan ribut di beberapa kawasan telah menyebabkan banjir besar dan tanah runtuh, yang dijangka berterusan dalam minggu-minggu akan datang.
Menurut pakar kaji cuaca, selepas negara itu dilanda gelombang haba yang melampau pada Mei dan Jun, yang mencatat suhu sehingga 49.2 darjah Celsius di New Delhi.
Minggu ini, Jabatan Kaji Cuaca India mengeluarkan amaran mengenai hujan lebat yang dijangka melanda kebanyakan negeri di selatan dan timur laut, dengan puluhan orang dilaporkan terkorban pada bulan Ogos.
Selain itu, bencana tanah runtuh di Kerala pada bulan Julai lalu mengorbankan lebih 200 nyawa, apabila kampung-kampung dan ladang teh musnah dalam kejadian tersebut.
Di Nepal, bencana alam yang serupa telah meragut nyawa sekurang-kurangnya 171 orang sejak pertengahan Jun, termasuk 109 yang terperangkap dalam tanah runtuh.
Selain itu, lebih 40 orang dilaporkan hilang dan lebih 200 lagi cedera. Pasukan penyelamat masih giat mencari dua buah bas yang hanyut ke dalam sungai di daerah Chitwan pada 12 Julai lalu, yang dikhuatiri telah mengorbankan sekitar 50 penumpang.
Pakistan juga tidak terkecuali daripada kesan buruk musim monsun ini, dengan 178 orang, termasuk 92 kanak-kanak, dilaporkan terkorban sepanjang bulan Julai. Di wilayah barat laut Khyber Pakhtunkhwa, amaran mengenai risiko banjir glasier dikeluarkan minggu ini, menambahkan lagi kebimbangan terhadap keselamatan penduduk.
Tragedi ini mengingatkan kita kepada banjir besar pada tahun 2022 yang melanda Pakistan, yang mengorbankan lebih 1,700 nyawa dan menyebabkan 33 juta orang kehilangan tempat tinggal.
Kejadian-kejadian ini membuktikan betapa besarnya kesan perubahan iklim terhadap bencana alam di Asia Selatan, yang memerlukan tindakan segera dari segi pencegahan dan pengurusan bencana. - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg