Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

M’sia bentuk agensi selia pusat pemeriksaan bagi tingkat kecekapan

Jan 31, 2025 | 5:37 PM
Fasa pertama melibatkan kira-kira 22 pusat pemeriksaan di seluruh Malaysia termasuk Tambak Johor Bahru dan Linkedua.
Fasa pertama melibatkan kira-kira 22 pusat pemeriksaan di seluruh Malaysia termasuk Tambak Johor Bahru dan Linkedua. - Foto The Straits Times

JOHOR BAHRU: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) yang baru ditubuhkan dijangka beroperasi secara rasmi mulai 1 Februari, mengambil alih 114 pusat pemeriksaan sempadan di seluruh negara secara berperingkat.

Fasa pertama melibatkan sekitar 22 pusat pemeriksaan, termasuk pusat pemeriksaan paling sibuk di Malaysia – Tambak Johor dan Linkedua. Dua lagi pusat pemeriksaan di Johor ialah Pelabuhan Tanjung Pelepas dan Pelabuhan Pasir Gudang.

Seorang pegawai Kementerian Dalam Negeri berkata fungsi dan peranan AKPS, yang pembentukannya diusahakan sejak 2018, serupa Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) Singapura.

“Dua pegawai wanita dari Jabatan Kastam telah dilantik sebagai ketua AKPS bagi Bangunan Kastam, Imigresen dan Kuarantin (BSI) di Tambak Johor dan Bangunan Sultan Iskandar dan Kastam, Imigresen dan Kuarantin Sultan Abu Bakar (KSAB) di Linkedua,” kata pegawai itu.

Mereka ialah Cik Roszita Dim bagi BSI dan Cik Nor Fazilah Zainal untuk KSAB.

Pegawai itu berkata AKPS akan mengambil alih, secara berperingkat, pelbagai pelabuhan di seluruh Malaysia, termasuk 56 di laut, 30 darat dan 28 pusat pemeriksaan udara.

“Sarawak mempunyai bilangan pusat pemeriksaan terbanyak (34), diikuti Johor (16) dan Sabah (14),” katanya, sambil menambah bahawa pembentukan AKPS diusahakan sejak 2018.

Pegawai itu berharap dengan adanya agensi sempadan sehenti itu, kesesakan di dua sempadan darat dengan Singapura dapat dikurangkan hasil penyelarasan agensi terlibat.

“Matlamat utamanya ialah menjadi agensi penguatkuasaan tunggal bagi kawalan sempadan di semua pusat pemeriksaan kita di seluruh negara,” kata pegawai itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri Johor, Encik Fazli Salleh, mengesahkan AKPS akan beroperasi di empat lokasi di Johor mulai 1 Februari.

“Kami berharap peralihan akan berjalan lancar di kedua-dua pusat pemeriksaan kami dengan Singapura. Kerajaan negeri berharap ini dapat membantu mengurangkan kesesakan di pusat pemeriksaan,” katanya, sambil menambah bahawa pada masa ini lebih 20 agensi mengendalikan peranan berbeza di BSI. – The Star.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg