Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Johor mahu atasi kesesakan di 77 lokasi ‘panas’ JB sebelum RTS siap

Nov 26, 2024 | 12:23 PM
Kerajaan Johor mengambil pelbagai langkah untuk menangani masalah kesesakan trafik di Johor Bahru.
Kerajaan Johor mengambil pelbagai langkah untuk menangani masalah kesesakan trafik di Johor Bahru. - Foto fail BERNAMA

JOHOR BAHRU: Sebanyak 77 kawasan ‘titik panas’ kesesakan di kawasan Greater Johor Bahru dan sekitarnya telah dikenal pasti Jawatankuasa Khas Penyuraian Trafik Johor.

Pelbagai langkah telah diambil kerajaan Johor dalam memastikan isu kesesakan tidak akan memburuk, terutama selepas siapnya projek Sistem Transit Rapid (RTS) yang menghubungkan Johor Bahru dan Singapura, merentasi Selat Tebrau, pada 2026.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Encik Mohamad Fazli Mohammad Salleh, berkata jawatankuasa itu sudah menyediakan pelan penyelesaian jangka pendek, sederhana dan panjang untuk dilaksana bagi mengatasi masalah kesesakan trafik itu.

“Bagi penyelesaian jangka pendek, pengurusan semula lalu lintas telah dibuat di beberapa kawasan termasuk dengan bantuan polis trafik untuk membuat kawalan, pembukaan dan penutupan jalan serta penggunaan flexible post (tiang anjal) bagi mengelak kenderaan yang memotong barisan di persimpangan.

“Kerajaan negeri melalui Pengangkutan Awam Johor (PAJ) juga akan bekerjasama dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bagi meningkatkan lagi kekerapan bas di kawasan Bandaraya Johor Bahru.

“Melalui program Mybas dan Bas Muafakat Johor, ia akan memudahkan pergerakan pengguna, selain mengurangkan jumlah kenderaan di pusat bandar.

“Insya-Allah, bermula 2025, laluan bas ini akan diintegrasikan dengan mengambil kira taburan pengguna,” katanya, lapor portal MalaysiaGazette.

Encik Mohamad Fazli menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Skudai, Cik Marina Ibrahim (Parti Tindakan Demokratik), mengenai jaminan kerajaan Johor bagi memastikan trafik di sekitar Bandaraya Johor Bahru serta sekitar Greater JB tidak akan terbeban dengan projek RTS di sidang Dewan Undangan Negeri Johor.

Mengulas lanjut, Encik Mohamad Fazli berkata projek RTS yang dijangka siap pada penghujung 2026 dan mula beroperasi pada 2027, bakal memudahkan perjalanan pengembara dari Malaysia dan Singapura merentasi sempadan kedua-dua negara itu.

Dianggarkan lebih 10,000 pengguna akan menggunakan khidmat RTS dalam tempoh sejam bagi perjalanan sepanjang empat kilometer.

Dalam pada itu, Encik Mohamad Fazli berkata selain RTS, kerajaan negeri merancang untuk memperkasa pengangkutan awam lain seperti bas bagi menggalak penggunaan pengangkutan awam dan mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan persendirian.

Selain itu, katanya, kerajaan negeri juga berhasrat menyediakan lebih banyak kemudahan Park-and-Ride (P&R) di sekitar stesen RTS dan di beberapa kawasan strategik lain bagi membolehkan penduduk dari kawasan luar bandar meletakkan kenderaan mereka dan menggunakan pengangkutan awam ke pusat bandar.

“Kemudahan P&R di luar pusat bandar adalah satu pendekatan berkesan untuk mengurangkan kesesakan trafik di pusat bandar.

“Dalam konteks projek RTS Link, kemudahan P&R boleh menjadi huraian yang berkesan untuk memudahkan penduduk tempatan dan pelawat mengakses sistem pengangkutan awam tanpa perlu membawa kenderaan mereka ke pusat bandar,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg