JOHOR BAHRU: Mereka yang pergi melancong atau bersantai di sekitar kawasan perairan diingatkan supaya berhati-hati sepanjang musim hujan ini kerana jumlah kes lemas semakin meningkat, dengan 19 insiden telah dilaporkan pada November sahaja.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Nor Hisham Mohammad, berkata hujan lebat boleh menyebabkan sungai di hilir melimpah ruah dalam masa beberapa minit sahaja.
Menurut beliau, perkara yang sama telah berlaku kepada 40 individu, termasuk 21 kanak-kanak, yang sedang melawat kawasan gua popular di Kampung Gua Ikan di Dabong, Kelantan, pada 21 November.
“Mereka terperangkap lebih dari satu jam selepas paras air naik dengan cepat dalam beberapa minit.
“Apabila mereka masuk ke dalam, paras air hanya setinggi buku lali, tetapi ia (kemudian) naik hingga ke paras pinggang,” jelas Datuk Nor Hisham, sambil menambah bahawa semua mangsa berjaya diselamatkan.
Beliau berkata bahawa pada 2024 sahaja, sebanyak 258 kes lemas telah dilaporkan di serata Malaysia.
“Sungai dan pantai terus menjadi lokasi utama kes lemas. Orang ramai perlu berhati-hati apabila menuju ke tempat-tempat sebegitu,” kata beliau.
“Kes lemas semakin meningkat sejak Ogos, dengan ramai mangsa berumur bawah 40 tahun,” tambah Datuk Nor Hisham.
Beliau turut menggesa ibu bapa supaya sentiasa memantau keberadaan anak-anak mereka, terutamanya ketika keluar bersama rakan-rakan.
Ditanya mengenai operasi semasa banjir, beliau berkata jabatannya telah mengenal pasti dan sedang memantau 4,619 kawasan berisiko banjir di serata negara.
Datuk Nor Hisham berkata setakat ini, terdapat sekitar 95 mangsa banjir di Perak dan Terengganu, yang telah ditempatkan di pusat pemindahan.
Beliau juga menggesa orang ramai supaya berhati-hati dengan pokok yang tumbang semasa hujan lebat atau ribut, kerana terdapat sekurang-kurangnya 15 kes sebegitu setiap hari di serata Malaysia.
“Sebahagian besar kejadian sebegitu berlaku di Perak, Selangor, dan Johor,” katanya.
Mengulas mengenai operasi menyelamat di Kelantan pada 21 November, Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Dabong, Encik Mohd Aiman Aminuddin, berkata 40 orang tersebut sedang dalam perjalanan dari Terengganu menggunakan keretapi.
“Tempat tersebut adalah sebahagian daripada lawatan mereka dan ketika mereka tiba, keadaan kelihatan tenang,” katanya, sambil menambah bahawa dalam beberapa minit, paras air meningkat secara tiba-tiba.
Encik Mohd Aiman berkata jabatannya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada 3.24 petang dan pasukan penyelamat tiba di lokasi enam minit kemudian.
“Kami mengerahkan tujuh anggota ke tempat kejadian. Pasukan tersebut menggunakan bot untuk menyelamatkan mangsa dan operasi itu berakhir pada 5.13 petang,” katanya. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg