Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Guru, kanak-kanak tadika terperangkap kepala air diselamatkan

Nov 22, 2024 | 12:07 PM
Anggota penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Dabong, Kuala Krai, Kelantan, menjalankan operasi menyelamatkan rombongan sekolah yang terperangkap dalam kejadian kepala air di Gua Ikan, Dabong, Kuala Krai, Kelantan, pada 21 November.
Anggota penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Dabong, Kuala Krai, Kelantan, menjalankan operasi menyelamatkan rombongan sekolah yang terperangkap dalam kejadian kepala air di Gua Ikan, Dabong, Kuala Krai, Kelantan, pada 21 November. - Foto JABATAN BOMBA DAN PENYELAMAT MALAYSIA

KUALA KRAI (Kelantan): Seramai 40 orang termasuk 18 kanak-kanak yang menyertai rombongan sekolah berdepan detik cemas selepas mereka terperangkap dalam kejadian kepala air di Gua Ikan, Dabong, di Kuala Krai, Kelantan, pada 21 November.

Dalam kejadian pada 3.24 petang itu, kesemua mangsa yang terdiri daripada kanak-kanak yang berusia antara enam dengan lapan tahun bersama 21 dewasa dipercayai guru yang mengiringi berjaya diselamatkan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Kepala air ialah fenomena berbahaya yang biasa berlaku pada musim tengkujuh, apabila gelombang air besar dan paras air sungai meningkat selepas hujan berpanjangan.

Kejadian berkenaan disedari seorang kakitangan Majlis Daerah Dabong (MDB), Cik Siti Nor Atirah Osman, 24 tahun, yang menerima panggilan telefon daripada seorang guru wanita pada 3.20 petang.

Menurut Cik Siti Nor Atirah, guru terbabit yang dalam keadaan cemas memaklumkan bahawa rombongan dari Kuala Berang, Terengganu, terperangkap selepas berlaku kejadian kepala air.

“Guru itu turut memaklumkan bahawa titi (jambatan kecil) yang merupakan laluan masuk ke Gua Ikan tenggelam selepas hujan lebat.

“Saya terus bergegas bersama beberapa kakitangan sebelum menghubungi pasukan bomba dan penyelamat.

“Kami tidak mengetahui rombongan berkenaan masuk ke Gua Ikan. Mereka sepatutnya memaklumkan kepada MDB sebelum masuk ke kawasan itu,” katanya, lapor Kosmo!.

Komander Operasi JBPM, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Aiman Aminuddin, berkata semua 40 mangsa yang terperangkap di dalam gua berkenaan akibat paras air sungai meningkat berjaya diselamatkan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Dabong.

Menurut kenyataan Pusat Pengurusan Operasi JBPM, panggilan kecemasan diterima pada 3.24 petang dan pasukan penyelamat tiba di lokasi sekitar enam minit kemudian.

“Alhamdulillah, semua mangsa berjaya diselamatkan menggunakan bot dan dibawa ke tempat selamat. Tiada sebarang kecederaan dilaporkan.

“Kami berterima kasih atas kerjasama semua pihak yang terlibat dalam operasi ini,” kata Encik Mohd Aiman.

Operasi menyelamat selesai pada 5.13 petang dan pihak bomba menasihati orang awam agar menghentikan semua kegiatan riadah dan sukan lasak terutama di kawasan berisiko tinggi mengalami banjir pada musim tengkujuh bagi mengelak kejadian tidak diingini. 

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg