JOHOR BAHRU: Jabatan Perhutanan Negeri Johor akan menutup beberapa lokasi ekopelancongan di seluruh Johor, bagi memastikan keselamatan orang ramai, berikutan musim tengkujuh atau Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka melanda bermula 19 November.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Encik Ling Tian Soon, berkata penutupan itu membabitkan Taman Eko Rimba (TER); Hutan Taman Negeri (HTN); trek pendakian, trek sukan lasak dan Suaka Burung Panti.
“Lokasi-lokasi ini ditutup kepada pengunjung mulai 15 November 2024 sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak, kecuali TER Gunung Arong dan Trek Pendakian Gunung Arong yang akan ditutup pada 16 Disember 2024 sehingga dimaklumkan kelak,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Menurut beliau Perbadanan Taman Negara Johor turut mengumumkan bahawa terdapat penutupan yang dilaksanakan di kawasan eko-pelancongan di bawah seliaan mereka.
Katanya ia membabitkan Air Terjun Gunung Ledang yang ditutup bermula 14 Oktober lalu hingga 31 Disember depan, bagi memberi laluan kepada kerja naik taraf.
“Selain itu, Taman Negara Endau-Rompin dan Taman Negara Gunung Ledang Hutan Lagenda masing-masing akan ditutup bermula 1 Disember ini hingga diberitahu kelak,” katanya.
Encik Ling berkata keputusan itu diambil sebagai langkah proaktif untuk melindungi keselamatan pengunjung serta meminimumkan risiko akibat fenomena cuaca buruk seperti hujan lebat dan banjir.
“Kita menyeru supaya semua pihak sentiasa berwaspada terhadap risiko musim tengkujuh dan mematuhi sebarang arahan pihak berkuasa.
“Pada masa sama, Kerajaan Johor sangat mengalu-alukan kedatangan orang ramai apabila lokasi-lokasi ini dibuka semula nanti.
“Kita yakin pengalaman di kawasan ekopelancongan ini akan terus memberi kepuasan kepada pengunjung selepas penambahbaikan dilaksanakan,” katanya.
Pada 15 November lalu, tiga pegawai Jabatan Kerja Raya (JKR) lemas ketika melakukan aktiviti water rafting (mengharung jeram) di Sungai Jahang, Gopeng, Perak, selepas bot yang mereka naiki terbalik akibat kejadian kepala air.
Susulan itu, semua aktiviti riadah dan sukan air outdoor di pusat rekreasi membabitkan kawasan sungai di Gopeng dan Kampar, Perak, dihentikan serta-merta.
Jabatan Perhutanan Pahang (JPNP) turut menutup sementara Taman Eko Rimba dan Hutan Taman Negeri serta kawasan eko-pelancongan di Pahang, susulan musim MTL.
Turut dilarang, aktiviti rekreasi dalam hutan simpan kekal (HSK) membabitkan kegiatan seperti perkhemahan, memancing, perkelahan dan pendakian.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg