Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

M'sia mungkin adakan pilihan raya tahun ini: Penganalisis

Beri 'manisan' semasa Belanjawan sebelum ekonomi dijangka kian buruk
Sep 17, 2022 | 05:30 AM



RAKYAT Malaysia mungkin akan keluar mengundi tahun ini, dengan beberapa pihak dalam parti Perdana Menteri negara itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Umno, menggesa agar pilihan raya itu diadakan tidak lama lagi.



Baru-baru ini, empat gabungan politik di Malaysia - BN (Barisan Nasional), PN (Perikatan Nasional), PH (Pakatan Harapan) dan GTA (Gerakan Tanah Air) - juga telah mengadakan mesyuarat berskala besar sebagai persiapan pilihan raya yang mungkin datang mengejut.



Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang mesti diadakan sebelum September 2023.



Datuk Ismail Sabri bagaimanapun berkata pakatan pemerintahnya memerlukan lebih masa.



Meskipun demikian, beberapa penganalisis politik yang dihubungi Berita Harian berkata terdapat beberapa tanda yang menunjukkan kemungkinan pilihan raya itu akan diadakan lebih awal sebelum September tahun depan.



Malah, profesor pengajian Asia di Universiti Tasmania, Australia, Profesor James Chin, menganggarkan bahawa PRU mungkin diadakan sebelum akhir tahun ini.



Menggariskan antara faktor yang mungkin mendorong PRU itu diadakan awal, beliau berkata:



"Ekonomi dijangka menjadi semakin buruk tahun ini dan mereka enggan ia jadi isu besar maka sebab itu mereka ingin adakan PRU tahun ini.



"Satu lagi isu besar ialah (masalah) dalaman Umno yang dinamik. Kelompok Encik Najib Tun Razak dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (Presiden Umno)... tahu ini mungkin satu-satunya cara mereka dapat selamatkan diri. Mereka berpandangan bahawa Umno atau BN akan menang besar."



Pembentangan Belanjawan 2023 pada 7 Oktober - tiga minggu lebih awal dari tarikh sebenar - juga dilihat sebagai petanda besar Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Malaysia mungkin diadakan sebelum hujung tahun ini.



"Teorinya ialah pasukan Umno akan ketengahkan banyak 'manisan' semasa Belanjawan dan selepas itu, PRU diadakan," ujar Profesor Chin.



Profesor Madya Eugene Tan dari Universiti Pengurusan Singapura (SMU) pula menganggarkan PRU Malaysia akan berlangsung dalam tempoh enam bulan akan datang, dengan berkemungkinan besar juga berlangsung menjelang akhir tahun ini.



"Dengan mood rakyat semakin baik selepas sekatan Covid-19 dilonggarkan, sekiranya kerajaan tidak ambil peluang ini, maka mereka terlepas peluang untuk menikmati kesejahteraan dan rasa positif ini yang mungkin tidak akan bertahan lama," kata Dr Tan.



Menerusi laman Facebook beliau semalam, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno dan pertemuan 'Top Five Umno' - untuk membincangkan tarikh PRU15 - dijadualkan semula untuk berlangsung pada 30 September selepas pertemuan tersebut, yang pada awalnya dijadual malam ini.



Ia ditangguh berikutan Datuk Ismail Sabri yang juga Naib Presiden Umno perlu menghadiri perasmian Sukan Malaysia (Sukma).



Meskipun tarikh PRU15 masih belum diketahui, Datuk Ismail Sabri memberi bayangan Ahad lalu bahawa "semakin hari ia semakin dekat".



Penganalisis kanan ehwal antarabangsa di Solaris Strategies Singapore, Dr Mustafa Izzuddin, turut akur PRU Malaysia mungkin diadakan tahun ini disebabkan tekanan politik yang terus diberi kepada Datuk Ismail Sabri oleh anggota partinya dan parti pembangkang.



"Bagaimanapun, beliau (Datuk Ismail Sabri) sendiri mungkin tidak mahu mengadakannya tahun ini kerana tempoh beliau memegang jawatan sebagai Perdana Menteri terlalu pendek.



"Sekiranya sentimen rakyat untuk mengadakan PRU tahun ini berpecah belah dan beliau masih boleh mengekalkan majoriti di Parlimen, maka beliau mungkin tidak akan tergesa-gesa mengumumkan pilihan raya.



"Ini bermakna rakyat Malaysia mungkin akan keluar mengundi bagi PRU15 pada separuh pertama atau suku pertama tahun depan," kata Dr Mustafa.



Jika PRU15 diadakan awal, beliau berkata ini mungkin tidak ideal bagi kerajaan kerana mereka baru mentadbir selama sekitar dua tahun sahaja dan tiada jaminan mereka akan kembali mentadbir kerajaan selepas pilihan raya itu.



Tambahnya, pilihan raya ini juga akan memaparkan pertarungan hebat personaliti berbanding perbahasan isu.



Bagi Profesor Chin, antara isu utama yang dijangka dibentangkan BN semasa berkempen adalah kestabilan.



Sementara itu, pihak pembangkang pula dijangka mengutarakan tentang mandat mereka yang 'dicuri' pada 2018.



"(BN akan mengutarakan bahawa) sepanjang lebih 60 tahun... tanpa 2018, (negara) stabil tanpa banyak drama seperti yang dihadapi kerajaan sekarang.



"Bagi pihak pembangkang, pastinya isu utama ialah bahawa mandat (mereka) dicuri pada 2018 dan mereka tidak diberi tempoh lima tahun yang penuh (untuk berkhidmat).



"(Jadi mereka akan berkata) kalau ingin lihat perubahan di Malaysia, (rakyat) perlu kembalikan mandat kepada mereka," ujarnya. - Laporan tambahan IRMA KAMARUDIN dan FARID HAMZAH




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >