Mudik Lebaran Indonesia mula awal melalui jalan raya, kereta api, laut, udara

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mudik Lebaran Indonesia mula awal melalui jalan raya, kereta api, laut, udara

Mar 16, 2026 | 12:18 PM

Mudik Lebaran Indonesia mula awal melalui jalan raya, kereta api, laut, udara

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
mudik lebaran, indonesia
Penumpang turun dari sebuah feri di Pelabuhan Perak di Surabaya pada 15 Mac 2026 ketika orang ramai pulang ke kampung halaman masing-masing menjelang Aidilfitri. - Foto AFP

JAKARTA: Perjalanan pulang ke kampung sempena Aidilfitri di Indonesia, yang dikenali sebagai mudik, semakin rancak apabila lebuh raya keluar dari Jakarta, stesen kereta api, pelabuhan dan lapangan terbang mula mencatat peningkatan jumlah penumpang kira-kira seminggu sebelum Hari Raya.

Kementerian Pengangkutan Indonesia menganggarkan sebanyak 143.9 juta perjalanan akan berlaku sepanjang tempoh cuti Aidilfitri 2026, bersamaan hampir separuh daripada jumlah penduduk negara itu.

Fenomena mudik dianggap sebagai antara pergerakan manusia bermusim terbesar di dunia, apabila jutaan warga Indonesia pulang ke kampung halaman untuk menyambut Aidilfitri bersama keluarga.

Menteri Pengangkutan Indonesia, Encik Dudy Purwagandhi, berkata angka tersebut diperoleh melalui kajian mobiliti nasional yang dijalankan sebelum musim perjalanan perayaan bermula.

Pemerintah menjangkakan sekitar 143.9 juta perjalanan sepanjang tempoh mudik tahun ini (2026),” katanya.

Menurut beliau, walaupun kemuncak perjalanan dijangka berlaku pada minggu ini dengan Aidilfitri dijangka jatuh pada 20 atau 21 Mac, tanda awal gelombang mudik sudah mula kelihatan sejak 13 Mac.

Data trafik menunjukkan kenderaan dari Jakarta menuju ke Jawa Tengah dan Jawa Timur mula meningkat sejak awal pagi 14 Mac.

Bagi menampung jumlah pergerakan yang besar, pemerintah Indonesia menyediakan kapasiti pengangkutan tambahan di seluruh negara.

Encik Dudy berkata sebanyak 31,000 bas, 840 kapal laut, 254 feri, 372 pesawat dan 3,687 perkhidmatan kereta api disediakan bagi menyokong perjalanan pulang ke kampung.

Selain itu, pemerintah turut memperkenalkan program perjalanan mudik percuma bagi membantu rakyat yang ingin pulang ke kampung halaman.

“Pihak berkuasa juga menyediakan program mudik percuma melalui pengangkutan darat, laut dan kereta api yang menyasarkan 113,262 penumpang serta 12,140 motosikal,” katanya.

Dalam masa yang sama, beberapa pengendali lebuh raya termasuk Jasa Marga, Astra Infra, Waskita Toll Road dan Hutama Karya menawarkan diskaun tol sehingga kira-kira 30 peratus di laluan tertentu bagi menggalakkan perjalanan lebih awal.

Insentif tersebut bermula pada 15 Mac untuk perjalanan keluar dari bandar, manakala potongan untuk perjalanan pulang dijadual bermula pada 26 Mac.

Menurut kementerian, kereta persendirian kekal sebagai pilihan utama rakyat Indonesia untuk pulang ke kampung.

Kira-kira 76.24 juta orang dijangka menggunakan kereta persendirian, diikuti motosikal seramai 24.1 juta orang dan bas sebanyak 23.3 juta penumpang.

Beberapa hab pengangkutan utama dijangka menjadi paling sibuk sepanjang tempoh ini termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, lintasan feri Merak–Bakauheni, Stesen Pasar Senen dan Terminal Bas Pulogebang.

Bagi mengurangkan kesesakan, pemerintah turut memperkenalkan dasar bekerja dari mana-mana (WFA) pada 16 dan 17 Mac bagi membolehkan orang ramai memulakan perjalanan lebih awal.

Dasar sama akan dilaksanakan semula antara 25 hingga 27 Mac ketika jutaan penduduk dijangka kembali ke bandar selepas cuti Aidilfitri.

Ketua Polis Negara Indonesia, Encik Listyo Sigit Prabowo, berkata keselamatan perjalanan akan diselaraskan melalui Operasi Ketupat 2026.

Operasi itu melibatkan seramai 161,243 anggota keselamatan daripada pelbagai agensi.

“Operasi ini bertujuan memastikan perjalanan mudik berjalan lancar dan selamat,” katanya.

Pihak berkuasa juga menasihatkan orang ramai menggunakan laluan yang disahkan selamat daripada bencana alam serta mengelakkan perjalanan ketika hujan lebat.

Seorang pengembara yang mahu pulang ke Magelang di Jawa Tengah, Amam, berkata beliau memilih untuk memulakan perjalanan lebih awal bagi mengelakkan kesesakan teruk.

“Saya bertolak selepas sahur supaya perjalanan lebih selesa dan tidak terlalu panas,” katanya.

Menurut pihak berkuasa, jumlah pergerakan dijangka terus meningkat dalam beberapa hari akan datang ketika jutaan rakyat Indonesia memulakan perjalanan pulang ke kampung sempena Aidilfitri. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg