Mudik lebaran percuma ringankan beban rakyat di tengah tekanan ekonomi
Mudik lebaran percuma ringankan beban rakyat di tengah tekanan ekonomi
Perjalanan pulang sempena Hari Raya di Indonesia merupakan satu operasi besar yang diberi perhatian serius oleh pemerintah dan rakyat setiap tahun.
Tahun 2026 ini, lebih 100 juta orang dijangka melakukan perjalanan merentasi kepulauan Indonesia hampir pada waktu yang sama, melalui perjalanan jauh melibatkan pelbagai bandar, pulau serta jenis pengangkutan untuk pulang ke kampung halaman dan menyambut Aidilfitri bersama keluarga.
Menteri Pengangkutan, Encik Dudy Purwagandhi, berkata seramai 143.91 juta orang atau 50.6 peratus daripada jumlah penduduk Indonesia dijangka melakukan perjalanan sepanjang musim perayaan ini.
“Angka ini menurun sebanyak 1.75 peratus berbanding kajian tahun 2025 iaitu sekitar 146 juta. Namun, realiti sebenar pada 2025 mencecah 154 juta. Ini menunjukkan mobiliti masyarakat semasa Aidilfitri biasanya melebihi anggaran kajian,” katanya dalam mesyuarat kabinet pada 13 Mac 2026.
Kebiasaannya, orang ramai membuat persiapan perjalanan berbulan-bulan lebih awal, termasuk menempah tiket kerana harga akan meningkat dan tempat duduk cepat habis. Namun dalam keadaan ekonomi semasa, kos perjalanan menjadi beban besar, khususnya bagi keluarga yang ingin pulang bersama.
Seiring semangat Ramadan yang menekankan amalan memberi dan membantu, banyak institusi pemerintah serta syarikat swasta menawarkan program “mudik percuma” kepada pekerja, pelanggan dan pihak berkepentingan dalam sektor masing-masing.
“Ini kali pertama saya menyertai program mudik percuma. Alhamdulillah ia sangat membantu kerana keadaan ekonomi kami tidak begitu baik,” kata seorang peserta, Cik Dwi Puspita Sari. Beliau yang berusia 44 tahun berkata telah kehilangan pekerjaan pada Julai 2024 dan masih belum mendapat kerja baharu, manakala suaminya turut diberhentikan pada Mac 2025 dan kini bekerja sebagai pemandu ojek.
Cik Dwi bersama suaminya, Encik Irwan Sulistyo, serta tiga anak remaja mereka melakukan perjalanan dari Cinere, Depok ke kampung halaman suaminya berhampiran Candi Prambanan di Klaten, Jawa Tengah menerusi program mudik percuma yang disediakan oleh syarikat milik negara, Agrinas Palma.
“Kami bernasib baik kerana program ini terbuka kepada orang awam. Saya tidak dapat mendaftar program mudik percuma bank kerana hanya membenarkan empat penumpang bagi setiap akaun,” katanya.
Bagi mendapatkan lima tempat duduk, mereka terpaksa mendaftar menggunakan dua nombor telefon berbeza untuk menempah tempat. Pendaftaran dibuka seawal 18 Februari dan pengesahan diperoleh tiga minggu kemudian.
Keluarga itu juga akan pulang semula ke Jakarta dengan menaiki kereta api menggunakan tiket kelas ekonomi bersubsidi yang hanya berharga 74,000 rupiah (S$5.60) seorang, berbanding harga biasa sekitar 300,000 rupiah. “Ia juga sangat mencabar untuk mendapatkan tiket. Kami sudah bersedia di hadapan komputer sebaik pendaftaran dibuka pada jam 12 tengah malam,” katanya.
Seorang lagi peserta, Cik Sri Mulyani, 46 tahun, turut menyertai program mudik percuma yang dianjurkan oleh sebuah rangkaian kedai serbaneka untuk pulang ke kampung arwah suaminya di Surakarta bersama dua anak remajanya.
Bas mereka berlepas pada 18 Mac dari Kompleks Sukan Bung Karno di Jakarta, lokasi utama pelepasan pelbagai program mudik percuma.
Menurut data syarikat lebuh raya milik negara, Jasa Marga, kira-kira 8,400 kenderaan direkodkan keluar dari Jakarta setiap jam pada hari tersebut, kebanyakannya menuju ke arah timur melalui lebuh raya Trans-Jawa.
“Aliran trafik mudik 2026 telah mencapai 34 peratus, dengan sekitar 1.2 juta kenderaan meninggalkan Jakarta daripada jumlah keseluruhan yang dianggarkan 3.5 juta setakat ini,” kata Presiden Pengarah Jasa Marga, Encik Rivan Achmad Purwantono.
Cik Sri berkata perjalanan kali ini amat bermakna kerana merupakan kali pertama mereka pulang sejak 2023 selepas kematian suaminya pada Disember 2022. “Anak-anak sudah dua tahun tidak menziarahi kubur ayah mereka dan tidak bertemu keluarga sebelah ayah. Dua Aidilfitri sebelum ini kami sambut di sekitar Jakarta,” katanya.
Walaupun dinamakan mudik percuma, Cik Sri menjelaskan bahawa terdapat syarat tertentu untuk menyertai program tersebut. “Peserta perlu menjadi ahli program kesetiaan pelanggan sekurang-kurangnya setahun dan berbelanja sekurang-kurangnya 350,000 rupiah termasuk membeli produk penaja,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata barangan yang dibeli memang diperlukan dan program tersebut tetap memberi manfaat besar.
Menteri Pengangkutan Encik Dudy berkata kereta persendirian masih menjadi pilihan utama dengan 76.24 juta pengguna, diikuti motosikal dan bas. Bagi memastikan kelancaran perjalanan, pemerintah menyediakan 31,000 bas, 840 kapal laut, 254 feri, 372 pesawat dan 3,687 unit kereta api.
Selain itu, program mudik percuma turut disediakan melalui pengangkutan darat, laut dan rel yang menyasarkan 113,262 penumpang serta 12,140 motosikal. “Kami juga menyediakan program mudik percuma bagi kawasan yang terjejas bencana di Sumatera termasuk Aceh, Sumatera Utara dan Sumatera Barat,” katanya.
Setiausaha Agung kementerian, Encik Arif Toha Tjahjagama, berkata program ini bertujuan mengurangkan kos perjalanan dan risiko kemalangan. “Program ini bukan sahaja membantu masyarakat, khususnya golongan yang memerlukan, untuk pulang dengan kos lebih rendah, tetapi juga mengurangkan penggunaan motosikal bagi perjalanan jarak jauh yang berisiko tinggi,” katanya.

