Topik diikuti
Pergi ke BHkuMufti Besar Saudi gesa tentera sedia berkorban nyawa perangi Houthi
Arab Saudi, Turkey dan Pakistan tingkat kerjasama bagi hadapi serangan Houthi melalui Perjanjian Pertahanan Bersama Makkah
Mufti Besar Saudi gesa tentera sedia berkorban nyawa perangi Houthi
RIYADH: Mufti Besar Arab Saudi, Sheikh Saleh bin Fawzan Al-Fawzan, menggesa anggota tentera negara itu supaya bersedia mengorbankan nyawa dalam memerangi kumpulan Houthi yang disokong Iran sehingga kumpulan tersebut disingkirkan daripada tampuk kuasa di Yaman.
Seruan luar biasa yang disampaikan menerusi kenyataan disiarkan Agensi Berita Arab Saudi (SPA) pada lewat 24 September itu ditujukan khusus kepada anggota tentera yang ditempatkan di kawasan sempadan negara berkenaan.
Kenyataan tersebut dibuat ketika pertempuran antara Arab Saudi dengan Houthi semakin memuncak sejak beberapa minggu lalu dengan kumpulan itu melancarkan serangan peluru berpandu dan dron terhadap wilayah Saudi, manakala Riyadh membalas dengan serangan udara.
Sheikh Saleh menegaskan bahawa mempertahankan negara dan melindungi wilayahnya daripada sebarang pencerobohan merupakan tanggungjawab besar anggota tentera.
“Melindungi negara yang agung ini dan menghukum sesiapa sahaja yang cuba menceroboh walaupun seinci wilayahnya merupakan antara kewajipan terbesar dan amalan pengabdian paling mulia, yang kerananya nyawa dan jiwa boleh dikorbankan demi mendapatkan keredaan Allah,” katanya.
Beliau turut menekankan tanggungjawab mempertahankan tempat suci umat Islam, termasuk Makkah, serta menyeru anggota tentera supaya sentiasa bersedia, mematuhi arahan pemerintah dan melaksanakan tugas dengan penuh disiplin.
“Anda mengikuti jejak langkah para sahabat Nabi dalam mempertahankan tempat suci umat Islam,” katanya.
Sheikh Saleh turut menyeru supaya pemerintah Yaman yang diiktiraf masyarakat antarabangsa dan disokong Arab Saudi dapat mengembalikan penguasaannya ke seluruh negara itu.
Beliau turut mendoakan agar Arab Saudi dan Yaman dilindungi daripada sebarang ancaman serta kumpulan Houthi bersama pihak yang menyokongnya dapat ditewaskan sepenuhnya.
Seruan itu menyusuli peningkatan serangan Houthi yang turut mengancam keselamatan Makkah serta kemudahan tenaga dan laluan perdagangan penting Arab Saudi.
Pada 24 September, tentera Arab Saudi memintas dan memusnahkan enam peluru berpandu balistik yang dilancarkan Houthi ke arah bandar Taif dan Yanbu.
Jurucakap gabungan tentera pimpinan Arab Saudi, Mejar Jeneral Turki Al-Malki, berkata sebarang peningkatan serangan oleh kumpulan tersebut akan ditangani dengan tegas.
Pihak berkuasa turut mengeluarkan amaran kecemasan di beberapa kawasan, termasuk Makkah, Jeddah, Yanbu dan Tabuk sebelum mengumumkan bahawa ancaman telah berakhir.
Houthi pula mendakwa melancarkan serangan peluru berpandu dan dron terhadap sasaran sensitif di Riyadh serta kemudahan syarikat minyak Saudi Aramco di Yanbu.
Yanbu merupakan pelabuhan minyak penting di Laut Merah, khususnya ketika penghantaran minyak melalui Selat Hormuz terganggu akibat konflik serantau.
Pada masa sama, Arab Saudi, Turkey dan Pakistan meningkatkan kerjasama pertahanan bagi menghadapi serangan Houthi.
Menteri luar ketiga-tiga negara mengadakan pertemuan di New York pada 24 September di bawah Perjanjian Pertahanan Bersama Makkah.
Mereka mengecam serangan terhadap Makkah serta kemudahan awam dan ekonomi Arab Saudi, selain membincangkan rancangan mengadakan mesyuarat tergempar ketua turus angkatan tentera bagi menentukan bentuk bantuan kepada Riyadh.
Perjanjian yang dimeterai pada 7 Ogos itu menetapkan bahawa serangan terhadap mana-mana negara anggota dianggap sebagai serangan terhadap ketiga-tiganya.
Perkembangan tersebut berlaku ketika pertempuran di Yaman semakin sengit selepas gencatan senjata yang sebahagian besarnya bertahan sejak 2022 mula runtuh pada Julai lalu.
Houthi telah menguasai kawasan pesisir Laut Merah di Yaman, sekali gus meningkatkan ancaman terhadap Selat Bab el-Mandeb, laluan perdagangan antarabangsa yang penting bagi penghantaran minyak.
Pertempuran antara Houthi dengan tentera pemerintah Yaman yang disokong Arab Saudi turut berterusan di beberapa kawasan, termasuk wilayah Taiz.
Kemaraan Houthi dan serangan terhadap prasarana tenaga Arab Saudi meningkatkan kebimbangan mengenai keselamatan laluan perdagangan serta kemungkinan konflik Yaman berkembang menjadi peperangan serantau yang lebih luas.
Sementara itu, Presiden Iran, Encik Masoud Pezeshkian, cuba menjauhkan Teheran daripada tindakan ketenteraan Houthi dengan menegaskan bahawa kumpulan tersebut bertanggungjawab terhadap tindakannya sendiri.
Kenyataan itu dibuat ketika Iran turut berdepan konflik dengan Amerika Syarikat dan Israel, manakala Arab Saudi memperkukuh kerjasama pertahanan dengan sekutu serantaunya.
Krisis terkini itu menimbulkan persoalan sama ada Riyadh akan memperluas operasi ketenteraannya di Yaman atau terus mengutamakan kerjasama pertahanan dan usaha diplomatik bagi mengekang ancaman Houthi. – Agensi berita.