Topik diikuti
Pergi ke BHkuMuktamar Nahdlatul Ulama bermula, perebutan kepimpinan jadi tumpuan
Nahdlatul Ulama (NU), pertubuhan Islam terbesar di Indonesia, memulakan Muktamar ke-35 di Jombang, Jawa Timur, pada 27 Ogos, dengan perebutan jawatan pengerusi bagi tempoh lima tahun akan datang menjadi tumpuan utama.
Muktamar lima hari yang berlangsung di Pondok Pesantren Bahrul Ulum itu dibuka Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, dan turut dihadiri Naib Presiden, Encik Gibran Rakabuming Raka, serta beberapa anggota Kabinet.
Pertemuan itu berlangsung di tengah-tengah gesaan ulama kanan NU supaya pemerintah dan kuasa politik luar tidak campur tangan dalam pemilihan pucuk pimpinan pertubuhan berpengaruh tersebut.
Menteri Agama Indonesia, Profesor Nasaruddin Umar, yang sebelum ini disebut-sebut sebagai antara calon berpotensi menerajui NU, bagaimanapun mengesahkan beliau tidak akan bertanding.
Keputusan itu sekali gus menamatkan spekulasi mengenai kedudukannya selepas timbul khabar angin bahawa beliau mungkin melepaskan jawatan sebagai menteri untuk menyertai persaingan tersebut.
Profesor Nasaruddin berkata beliau mahu memberi tumpuan kepada tugasnya sebagai Menteri Agama kerana menyedari tanggungjawab jawatan itu amat besar dan luas di Indonesia, negara dengan penduduk Islam terbesar di dunia.
“Masih banyak yang perlu kita selesaikan. Oleh itu, perkara terbaik bagi saya, bagi kemajuan kementerian dan NU pada masa depan, adalah untuk saya memberi tumpuan kepada Kementerian Agama tanpa perlu meninggalkan komitmen saya kepada Nahdlatul Ulama,” katanya di Jombang pada malam 27 Ogos.
Dengan Profesor Nasaruddin tidak bertanding, perhatian kini beralih kepada beberapa tokoh lain.
Antara nama yang disebut sebagai calon ialah Timbalan Pengerusi NU, Encik Zulfa Mustofa; Pengerusi NU Jawa Timur, Encik Abdul Hakim Mahfudz; serta penyandang pengerusi, Encik Yahya Cholil Staquf.
Encik Yahya, yang dipilih pada Muktamar NU 2021, dipercayai mahu mempertahankan jawatannya selepas mengharungi krisis kepercayaan terhadap kepimpinannya pada penghujung 2025.
Krisis itu akhirnya membawa kepada keputusan mempercepatkan penganjuran Muktamar ke-35.
Menjelang pemilihan, mantan Naib Presiden Indonesia yang juga ulama kanan NU, Encik Ma’ruf Amin, menggesa pemerintah supaya tidak mencampuri proses menentukan kepimpinan baharu.
“Pemerintah perlu kekal neutral supaya NU dapat menyelesaikan urusannya sendiri mengikut mekanismenya,” katanya selepas pertemuan ulama kanan NU di Pondok Pesantren Lirboyo, Kediri, Jawa Timur.
Seorang lagi ulama kanan NU, Encik Muhibbul Aman Aly, berkata ulama turut meminta pemerintah, kuasa politik dan semua pihak di luar pertubuhan itu menghormati kebebasan NU serta perjalanan muktamar.
Menurut beliau, sebarang tindakan yang boleh dianggap sebagai tekanan, usaha mempengaruhi keputusan atau campur tangan dalam proses pemilihan perlu dielakkan.
Ulama NU, katanya, yakin Encik Prabowo akan memastikan pemerintah kekal neutral dan menghormati kebebasan ulama dalam menentukan kepimpinan pertubuhan itu.
“Jika terdapat pegawai, menteri atau pihak lain yang mengambil tindakan yang boleh dianggap sebagai mencampuri proses muktamar, kami berharap Presiden akan mengambil tindakan tegas,” katanya.
Encik Prabowo dalam ucapan perasmiannya menolak dakwaan bahawa beliau atau pemerintahannya mencampuri persaingan kepimpinan NU.
“Saya tidak mengatur semua ini. Saya juga tidak memahaminya, tetapi kita terima semuanya,” katanya.
Beliau sebaliknya memberi penghargaan kepada NU dan barisan ulamanya atas sumbangan besar mereka kepada pembangunan negara serta perjuangan kemerdekaan Indonesia.
Encik Prabowo turut mengetengahkan lagu Syubbanul Wathon sebagai contoh semangat patriotisme dan nasionalisme yang sudah lama menjadi sebahagian daripada sejarah NU.
Lagu ciptaan K.H. Abdul Wahab Chasbullah itu dihasilkan lebih sedekad sebelum Indonesia mengisytiharkan kemerdekaan pada 1945.
“Para ulama mempunyai keberanian mencipta lagu yang begitu patriotik dan nasionalis. Lagu ini sudah wujud lebih sedekad sebelum pengisytiharan kemerdekaan,” katanya.
Menurut Encik Prabowo, aspirasi pengasas NU adalah untuk melihat rakyat Indonesia bangkit sebagai sebuah bangsa yang bermaruah, adil dan makmur.
Sementara itu, Encik Yahya menegaskan NU akan terus bekerjasama rapat dengan pemerintah dalam melaksanakan program pembangunan yang memberi manfaat kepada anggotanya.
“Jika Nahdlatul Ulama sebagai sebuah pertubuhan benar-benar mahu membawa manfaat nyata dan kesejahteraan kepada anggotanya, tiada jalan lain, pertubuhan ini mesti bekerjasama dengan pemerintah,” katanya.
NU mempunyai pengaruh besar dalam masyarakat dan politik Indonesia. Encik Yahya menganggarkan pengikut NU merangkumi kira-kira 57 peratus atau 120 juta daripada sekitar 244 juta penduduk Islam di negara itu.
Menurutnya, lebih 2.23 juta pemimpin dan anggota NU dari seluruh Indonesia sudah mendaftar untuk mengambil bahagian dalam muktamar tersebut.
Sidang pleno pada 28 Ogos akan menentukan peraturan muktamar serta membincangkan laporan pertanggungjawaban kepimpinan semasa.
Pada 29 Ogos, peserta dijadual memilih anggota badan pemilihan yang dikenali sebagai Ahlul Halli Wal Aqdi (AHWA), yang dijangka terdiri daripada ulama kanan NU dan memainkan peranan penting dalam menentukan kepimpinan baharu.
Sidang pleno terakhir pada malam 29 Ogos dijadual menentukan pengerusi NU bagi penggal 2026-2031.
Keputusan itu bukan sahaja menentukan sama ada Encik Yahya memperoleh mandat untuk penggal kedua, malah bakal membentuk hala tuju NU sepanjang lima tahun akan datang ketika pertubuhan berusia lebih satu abad itu terus memainkan peranan penting dalam kehidupan agama, sosial dan politik Indonesia.
