JAKARTA: Dalam beberapa minggu terakhir pada Ogos, nama ‘Mulyono’ telah menjadi sebutan hangat di media sosial, terutama di wadah X.
Nama tersebut merujuk kepada nama lahir Presiden Joko Widodo, atau lebih dikenali sebagai Jokowi.
Fenomena itu muncul di tengah bantahan besar-besaran terhadap cadangan pindaan Undang-Undang Pemilihan Kepala Daerah (Pilkada) di Indonesia pada Ogos 2024.
Bagi ramai rakyat, mereka mungkin tidak tahu bahawa sebelum dikenali sebagai Jokowi, beliau dilahirkan dengan nama ‘Mulyono’.
Nama itu, yang diberikan oleh ibu bapanya ketika kecil, mempunyai kisah tersendiri dalam sejarah hidup Presiden Indonesia yang ketujuh.
Namun, apa yang menjadikan nama itu lebih menarik ialah bagaimana ia diangkat sebagai simbol dalam wacana politik masa kini, lapor Kompas.com.
Dalam budaya masyarakat Jawa, nama seseorang dipercayai membawa pengaruh terhadap nasib dan masa depannya.
Nama ‘Mulyono’, yang bermaksud ‘mulia’, pada asalnya diberikan kepada Encik Jokowi semasa lahir.
Namun, sebagai seorang kanak-kanak, Jokowi sering sakit.
Ibu bapanya, yang khuatir dengan keadaan kesihatannya, memutuskan untuk menukar namanya kepada Joko Widodo, yang membawa makna ‘lelaki muda yang sejahtera’.
Perubahan nama itu adalah harapan bagi masa depan yang lebih cerah dan sihat bagi anak mereka.
Menurut kolumnis terkenal, Encik Cak Abror, dalam sebuah artikel yang ditulis pada Jun 2023 bertajuk, ‘Selamat Ulang Tahun, Presiden Mulyono’, tidak ramai yang mengenali nama ‘Mulyono’, tetapi semua rakyat Indonesia mengenali Jokowi.
Ini menggambarkan transformasi hidup Jokowi, daripada seorang kanak-kanak yang sering sakit kepada pemimpin yang kini dihormati di seluruh dunia.
Dalam sebuah wawancara khusus dengan Pemimpin Redaksi saluran televisyen Indonesia SCTV, Cik Retno Pinasti, dalam program, Point Of View, pada September 2023, Encik Jokowi turut mengesahkan asal usul namanya.
“Iya, waktu kecil saya diberi nama ‘Mulyono’ dan sakit-sakitan (sering sakit). Ibu saya akhirnya menukar nama saya kepada Joko Widodo,” katanya, lapor merdeka.com.
Nama ‘Mulyono’ yang kembali menjadi perbincangan di media sosial kini bukan sekadar merujuk kepada zaman kanak-kanak Encik Jokowi, malah ia diangkat sebagai simbol kekuatan dan ketabahan dalam perjalanan hidup beliau.
Namun ia kini mendapat makna baru dalam kalangan warga siber yang menggunakan nama tersebut sebagai simbol bantahan terhadap tindakan politik Encik Jokowi.
Nama ‘Mulyono’ digunakan secara sinis untuk melambangkan kekecewaan dan kemarahan rakyat terhadap kepimpinannya.
Bantahan itu timbul susulan dakwaan bahawa Encik Jokowi cuba membina dinasti politik melalui pelbagai ruang undang-undang yang memberi manfaat kepada anggota keluarganya.
Ramai juga warga siber menggunakan nama itu untuk mengingatkan orang ramai tentang perjalanan luar biasa seorang lelaki yang bermula daripada kehidupan sederhana di Solo, Jawa Tengah, kepada menjadi presiden salah sebuah negara terbesar di dunia.
“Nama ‘Mulyono’ menggambarkan permulaan yang sederhana dan bagaimana Encik Jokowi berjaya mengatasi cabaran dalam hidup untuk mencapai kejayaan sebagai presiden.
“Ia adalah simbol kekuatan dan ketekunan,” lapor Antara dalam sidang pengarangnya..
Sepanjang dua penggal sebagai presiden, Encik Jokowi telah mencapai pelbagai kejayaan yang tidak boleh dinafikan.
Salah satu pencapaian terbesar beliau adalah dalam bidang pembangunan prasarana.
Beliau memimpin pelbagai projek besar, termasuk pembinaan ribuan kilometer jalan tol, pelabuhan dan lapangan terbang di seluruh Indonesia.
Usaha itu bukan sahaja memperkukuh ekonomi negara, malah membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan mempertingkatkan mobiliti rakyat.
Dalam ucapan terakhirnya pada Ogos 2024, Encik Jokowi menyatakan dengan bangga pencapaian dalam membina 2,700 kilometer jalan tol baru, 50 pelabuhan dan lapangan terbang, serta 1.1 juta hektar terusan pengairan.
Walaupun sasaran pertumbuhan ekonomi sebanyak 7 peratus tidak tercapai, kadar pertumbuhan 5 peratus tetap dianggap pencapaian yang stabil di tengah-tengah cabaran peringkat sejagat.
Encik Jokowi telah membuktikan bahawa kepimpinan bukan hanya tentang daripada mana seseorang itu datang, malah tentang bagaimana visi dan usaha untuk membawa perubahan.
Nama ‘Mulyono’ mungkin merujuk kepada masa lalu yang sederhana, tetapi ‘Joko Widodo’ adalah bukti kejayaan dalam memacu pembangunan Indonesia ke hadapan, lapor The Jakarta Post. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg