Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Murid sekolah di Jawa Tengah maut dibuli rakan

Oct 14, 2025 | 2:09 PM
buli, jawa tengah, murid buli indonesia maut
Seorang anggota Dewan Rakyat Indonesia berkata tindakan perlu diambil terhadap sekolah yang gagal melindungi pelajar daripada dibuli.  - Foto fail

JAKARTA: Seorang pelajar sekolah menengah di Grobogan, Jawa Tengah, dilaporkan meninggal dunia selepas didakwa diserang oleh rakan sekelasnya.

Ia sekali lagi menonjolkan kegagalan pemerintah menangani masalah buli dan keganasan di sekolah Indonesia.

Angga Bagus Perwira, 12 tahun, ditemui mati di dalam kelasnya di Sekolah Menengah Pertama (SMP) Geyer, di Grobogan, Jawa Tengah, pada 11 Oktober kira-kira 11 pagi.

Menurut rakan sekelas, Angga pernah terlibat dalam dua pertengkaran berasingan dengan rakan sebaya pada awal hari itu, sebelum mengalami sawan dan akhirnya meninggal dunia.

Datuknya, Encik Pujiyo, berkata bedah siasat mendedahkan terdapat beberapa kecederaan, terutama di kepala Angga.

“Doktor forensik menemui gegaran di kededua belah kepalanya, darah beku di otaknya dan patah tulang di pangkal lehernya,” kata Encik Pujiyo pada 12 Oktober.

Angga, anak sulung daripada dua beradik, dibesarkan oleh datuk dan neneknya sejak kecil.

Menurut Encik Pujiyo, Angga telah berulang kali mengadu tentang dibuli secara fizikal dan lisan oleh rakan sekelasnya pada minggu-minggu sebelum kematiannya.

“Sebelum kejadian, Angga jatuh sakit akibat ejekan dan penderaan fizikal berterusan yang dihadapinya di sekolah.

Pada satu ketika, dia terlalu takut untuk menghadiri kelas. Dia hanya bersetuju untuk balik ke kelasnya selepas kami melaporkan masalah buli itu kepada pihak sekolah,” ujar datuknya.

Namun, masalah buli tetap berterusan di sekolah tersebut walau aduan telah dibuat.

Encik Pujiyo berkata pihak sekolah gagal mengambil tindakan sewajarnya dan memantau keadaan dengan betul, membenarkan masalah buli itu berterusan.

Beliau telah melaporkan kepada polis dan berharap keadilan dapat ditegakkan untuk Angga.

“Undang-undang mesti dikuatkuasakan seadil dan setegas mungkin, jadi ada kesan pencegahan,” ujar beliau.

Ketua unit siasatan jenayah di Polis Grobogan, Encik Rizky Ari Budianto, berkata pihak berkuasa sedang menyiasat dakwaan buli yang menyebabkan kematian Angga.

“Kami telah menyoal beberapa saksi, termasuk rakan sekelas dan guru mangsa,” kata beliau.

Anggota Suruhanjaya Dewan Rakyat, Encik Habib Syarief, yang menyelia hal ehwal pendidikan dan belia, menggesa Kementerian Pendidikan, Kebudayaan, Penyelidikan dan Teknologi supaya mengambil tindakan terhadap sekolah yang gagal melindungi pelajar daripada dibuli.

Data daripada Jaringan Pemantau Pendidikan Indonesia (JPPI) merekodkan sebanyak 573 kes buli di sekolah dan pondok pesantren seluruh negara pada 2024 – seganda lebih tinggi daripada 285 kes yang dilaporkan pada 2023. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg