Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Muslim AS yang undi Trump kecewa Kabinet pro-Israel

Harapkan Trump pilih pegawai prokeamanan tetapi tidak berlaku
Nov 16, 2024 | 2:21 PM
Sokongan Muslim untuk Encik Trump membantunya memenangi negeri Michigan dan mungkin adalah faktor kemenangannya di beberapa negeri lain, menurut pakar strategi.
Sokongan Muslim untuk Encik Trump membantunya memenangi negeri Michigan dan mungkin adalah faktor kemenangannya di beberapa negeri lain, menurut pakar strategi. - Foto REUTERS

WASHINGTON: Pemimpin Islam Amerika Syarikat yang menyokong calon presiden daripada Republikan, Encik Donald Trump, bagi membantah sokongan pentadbiran Presiden Joe Biden buat Israel dalam perangnya ke atas Gaza dan serangannya ke atas Lebanon, amat kecewa dengan pilihan Kabinet Encik Trump, kata mereka kepada Reuters.

“Trump menang kerana kami dan kami tidak berpuas hati mengenai pilihan Setiausaha Negaranya dan yang lain,” kata Encik Rabiul Chowdhury, seorang pelabur Philadelphia yang mempengerusikan kempen Tinggalkan Harris di Pennsylvania dan mengasaskan bersama kumpulan ‘Muslims sokong Trump’.

Sokongan penduduk Muslim untuk Encik Trump membantunya memenangi pilihan raya di Michigan dan mungkin berperanan besar membantunya menang di negeri lain, ujar pakar strategi.

Encik Trump memilih senator Republikan, Encik Marco Rubio, seorang penyokong setia Israel, sebagai Setiausaha Negara.

Encik Rubio berkata awal tahun ini beliau tidak akan menyeru gencatan senjata di Gaza, dan beliau percaya Israel harus memusnahkan “setiap elemen” Hamas.

“Orang-orang ini adalah haiwan ganas,” tambahnya.

Encik Trump juga mencalonkan Encik Mike Huckabee, bekas gabenor Arkansas dan konservatif teguh pro-Israel yang menyokong pendudukan Israel di Tebing Barat dan menganggap penyelesaian dua negara di Palestin “tidak boleh dilaksana”, sebagai duta baru ke Israel.

Beliau memilih wakil Republikan, Cik Elise Stefanik, yang menggelar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) “kumbahan anti-Semitisme” kerana mengutuk kematian di Gaza, untuk berkhidmat sebagai duta Amerika ke PBB.

Encik Rexhinaldo Nazarko, pengarah eksekutif Rangkaian Pelibatan dan Pemerkasaan Muslim Amerika (Ameen), berkata pengundi Muslim berharap Encik Trump akan memilih pegawai Kabinet yang berusaha ke arah keamanan, namun tidak ada tanda-tanda itu berlaku.

“Kami sangat kecewa,” katanya. “Nampaknya pentadbiran ini dipenuhi sepenuhnya oleh neokonservatif dan sangat pro-Israel, orang-orang properang, yang merupakan satu kegagalan pada pihak bakal presiden Trump bagi gerakan prokeamanan dan antiperang.”

Encik Nazarko berkata masyarakat akan terus mendesak agar suara mereka didengari mengenai menamatkan perang di Gaza, selepas mengundi membantu Encik Trump menang.

“Sekurang-kurangnya kami kini terserlah,” tambahnya.

Encik Hassan Abdel Salam, seorang bekas profesor di University of Minnesota, Twin Cities, dan pengasas bersama kempen Tinggalkan Harris, yang menyokong calon Parti Hijau, Cik Jill Stein, berkata rancangan Encik Trump dalam mengisi pentadbirannya tidak mengejutkan, malah terbukti lebih ekstrem daripada yang dikhuatiri beliau.

“Beliau seolah-olah menyokong Zionis secara melampau,” katanya. “Kami sentiasa sangat ragu-ragu... Jelas sekali, kami masih menunggu untuk melihat arah pentadbiran itu, tetapi nampaknya masyarakat kami telah dipermainkan.”

Kempen Encik Trump tidak segera membalas e-mel meminta mereka mengulas.

Beberapa penyokong Encik Trump yang berketurunan Arab dan Muslim berkata mereka berharap Encik Richard Grenell, bekas pemangku pengarah perisikan negara Encik Trump, akan memainkan peranan penting selepas beliau mengetuai usaha berbulan-bulan untuk mendekati masyarakat Islam dan Arab Amerika. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg