YANGON: Presiden Myanmar yang disokong tentera, Encik Min Aung Hlaing, menegaskan bahawa pentadbirannya tidak akan mematuhi semua arahan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), yang minggu lalu memutuskan bahawa pasukan keselamatan negara itu melakukan genosid terhadap masyarakat Rohingya.

Dalam kenyataan terbuka pertamanya sejak keputusan itu diumumkan, Encik Min Aung Hlaing menolak penghakiman mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu, sambil mendakwa penggunaan istilah genosid telah menjejaskan reputasi Myanmar.

ICJ mendapati tindakan tentera Myanmar terhadap masyarakat minoriti Rohingya, yang kebanyakannya beragama Islam, pada 2017, termasuk pembunuhan ribuan orang awam, pembakaran ratusan kampung dan keganasan seksual secara meluas, merupakan perbuatan genosid.

Keputusan bersejarah itu merupakan kali pertama dalam sejarah 80 tahun ICJ sebuah negara didapati bertanggungjawab melakukan genosid.

Meskipun keputusan ICJ adalah muktamad, mengikat dan tidak boleh dirayu, mahkamah itu mempunyai keupayaan yang amat terbatas untuk menguatkuasakan penghakimannya.

Encik Min Aung Hlaing, yang mengetuai angkatan tentera Myanmar ketika operasi ketenteraan terhadap masyarakat Rohingya dilancarkan pada 2017, menyifatkan kes tersebut sebagai “tuduhan berat sebelah” terhadap negaranya.

Bekas jeneral itu turut mengetuai rampasan kuasa tentera pada 2021 yang menggulingkan pemerintah pimpinan Cik Aung San Suu Kyi, sekali gus mencetuskan perang saudara yang berterusan sehingga kini.

Beliau dilantik sebagai presiden tahun ini menyusuli pilihan raya yang diadakan dengan pelbagai sekatan.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

Menurut akhbar kendalian pemerintah, Global New Light of Myanmar, Encik Min Aung Hlaing berkata penggunaan istilah genosid telah menjejaskan reputasi negaranya dengan serius.

“Sebagai pemimpin negara, beliau menganggap dirinya bertanggungjawab terhadap segala perkara yang berlaku di negara ini dan tidak akan menerima sebarang tindakan yang menjejaskan kepentingan negara,” lapor akhbar itu.

Dalam satu mesyuarat pada 25 November, Encik Min Aung Hlaing berkata Myanmar akan mengambil langkah yang sewajarnya sebagai sebuah negara bertanggungjawab, tetapi tidak akan mematuhi tuntutan yang dianggap tidak sesuai.

Bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan arahan mahkamah yang tidak akan dipatuhi pentadbirannya.

ICJ mengarahkan Myanmar menghentikan pelanggaran berterusan terhadap Konvensyen Genosid serta segera menyiasat, mendakwa dan menghukum individu yang disyaki terlibat dalam operasi ketenteraan pada 2017.

Myanmar juga dikehendaki memberikan jaminan bahawa pencabulan sedemikian tidak akan berulang.

Mahkamah turut mengarahkan pihak berkuasa Myanmar memudahkan kepulangan pelarian Rohingya secara selamat, sukarela dan bermaruah, termasuk mereka yang kehilangan tempat tinggal di dalam negara dan yang berlindung di luar negara.

Pemerintah Myanmar juga perlu memulangkan atau menggantikan harta benda masyarakat Rohingya yang musnah atau dirampas, membantu mengesan individu yang hilang serta menyediakan khidmat pemulihan fizikal dan psikologi kepada mangsa.

Selain itu, Myanmar dikehendaki melindungi masyarakat Rohingya daripada diskriminasi dan penganiayaan.

ICJ turut memutuskan bahawa masyarakat Rohingya berhak menerima pampasan yang sewajarnya bagi penderitaan dan kerugian yang dialami akibat genosid tersebut.

Myanmar diberikan tempoh dua tahun untuk mengemukakan laporan mengenai langkah yang telah diambil, termasuk cadangan jumlah dan kaedah pembayaran pampasan.

Mahkamah kemudian akan menentukan sama ada pampasan yang dicadangkan itu mencukupi.

Myanmar sebelum ini berulang kali mempertahankan tindakan pasukan keselamatannya di utara negeri Rakhine antara 2016 dengan 2018, dengan mendakwa operasi tersebut bertujuan memerangi kumpulan pemberontak.

Kementerian Ehwal Luar Myanmar sebelum ini menegaskan bahawa operasi tersebut tidak dilaksanakan dengan niat melakukan genosid, sebaliknya mempunyai skop dan tempoh yang terhad.

Namun, ICJ mendapati kira-kira 10,000 penduduk Rohingya dibunuh dalam operasi ketenteraan pada 2017, selain keganasan seksual terhadap wanita dan keganasan melampau terhadap kanak-kanak.

Mahkamah turut mendapati kampung masyarakat Rohingya dimusnahkan secara sistematik sebelum kawasan tersebut diduduki penduduk bukan Rohingya.

Operasi ketenteraan itu memaksa lebih 730,000 penduduk Rohingya melarikan diri ke Bangladesh.

Jumlah pelarian Rohingya di Bangladesh kini meningkat kepada sekitar 1.2 juta orang, dengan lebih sejuta daripada mereka menetap di Cox’s Bazar, kawasan penempatan pelarian terbesar di dunia.

Usaha membawa pulang pelarian itu turut berdepan cabaran besar berikutan sebahagian besar negeri Rakhine kini dikuasai Tentera Arakan, sebuah kumpulan pemberontak etnik yang memerangi tentera Myanmar.

Sementara itu, Britain pada 23 November mengumumkan sekatan terhadap lima individu susulan keputusan ICJ tersebut.

Setiausaha Luar Britain, Encik Ed Miliband, berkata sekatan itu dikenakan terhadap Encik Min Aung Hlaing dan empat lagi pegawai kanan tentera Myanmar.

Dalam perkembangan berkaitan, 14 negara mengeluarkan kenyataan bersama menggesa Myanmar mematuhi sepenuhnya keputusan ICJ.

Negara tersebut ialah Australia, Belgium, Britain, Canada, Cyprus, Republik Czech, Estonia, Iceland, Latvia, Luxembourg, New Zealand, Portugal, Sepanyol dan Gambia.

Menteri luar negara berkenaan menegaskan bahawa Myanmar telah melanggar tanggungjawabnya di bawah Konvensyen Genosid.

“Kami menegaskan bahawa keputusan mahkamah itu mengikat Myanmar dan menyeru Myanmar supaya mematuhi sepenuhnya tanggungjawabnya di bawah undang-undang antarabangsa, termasuk keputusan mahkamah tersebut,” menurut kenyataan bersama itu. – Agensi berita

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti