Singapura menghormati keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dalam kes yang dibawa Gambia terhadap Myanmar di bawah Konvensyen Genosid, menurut Kementerian Ehwal Luar (MFA) Singapura pada 24 November.

Pada 19 November, ICJ memutuskan bahawa Myanmar melakukan genosid, atau penghapusan bangsa, semasa kempen ketenteraannya di utara wilayah Rakhine pada 2017.

Dalam satu kenyataan media, kementerian itu menyatakan Singapura masih “amat prihatin terhadap keadaan keselamatan dan kemanusiaan di Myanmar, termasuk nasib masyarakat Rohingya, pelarian dan golongan yang terpaksa berpindah di dalam negara itu”.

Kementerian itu turut menegaskan semula “iltizam Singapura terhadap kedaulatan undang-undang antarabangsa dan penyelesaian pertikaian secara aman”.

MFA menambah bahawa ia sedang mengkaji kesan keputusan ICJ itu dan mengulangi gesaan Singapura sejak sekian lama agar diwujudkan keadaan yang membolehkan pelarian pulang ke negara asal dengan selamat, secara sukarela dan dengan penuh kehormatan.

Singapura, bersama Asean dan rakan antarabangsa lain, bersedia untuk terus membantu memenuhi keperluan kemanusiaan golongan yang terpaksa berpindah, kata MFA.

Kempen ketenteraan Myanmar di utara negeri Rakhine pada 2017 telah meragut nyawa sekurang-kurangnya 10,000 warga Rohingya dan memaksa lebih 700,000 anggota masyarakat minoriti Islam itu melarikan diri ke Bangladesh.

Keputusan ICJ pada 19 November itu menandakan kali pertama mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendapati sesebuah negara bertanggungjawab atas genosid.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

Mahkamah itu mengarahkan Myanmar supaya “membenarkan dan memudahkan mereka yang melarikan diri daripada keganasan agar dapat kembali ke tempat kediaman masing-masing dengan selamat, secara sukarela dan dengan penuh kehormatan”.

Jemaah hakim turut menggesa agar sesiapa yang disyaki melakukan genosid disiasat dan dihukum, manakala pampasan akan ditetapkan kemudian.