Topik diikuti
Pergi ke BHkuMyanmar lulus hukuman mati terhadap dalang pusat penipuan dalam talian
Myanmar lulus hukuman mati terhadap dalang pusat penipuan dalam talian
Kerjasama dengan negara asing akan turut diperkukuh bagi banteras jenayah siber rentas sempadan
Myanmar lulus hukuman mati terhadap dalang pusat penipuan dalam talian
NAYPYIDAW: Parlimen Myanmar yang disokong tentera meluluskan undang-undang baharu yang memperuntukkan hukuman mati terhadap individu yang menculik, menahan atau menggunakan kekerasan bagi memaksa mangsa bekerja di pusat penipuan dalam talian, dalam langkah paling tegas negara itu bagi membanteras jenayah siber yang semakin berleluasa.
Rang Undang-Undang Antipenipuan Dalam Talian diluluskan selepas mendapat sokongan ahli Dewan Rendah dan Dewan Tinggi dalam sidang bersama di ibu negara Naypyidaw pada 28 Julai.
Speaker Parlimen Kesatuan, Encik Aung Lin Dwe, mengumumkan kelulusan undang-undang itu menerusi siaran langsung televisyen.
Ahli Parlimen Dewan Rendah, Encik Aye Chan, mengesahkan hukuman mati yang dicadangkan dalam draf rang undang-undang sebelum ini dikekalkan dalam versi akhir yang diluluskan.
“Tiada banyak perubahan ketara dibuat selepas perbincangan antara Dewan Rendah dan Dewan Tinggi. Bahagian penting rang undang-undang itu kekal seperti yang dicadangkan,” katanya kepada AFP.
Undang-undang baharu itu memperuntukkan hukuman penjara antara 10 tahun hingga seumur hidup serta hukuman mati terhadap individu yang melakukan keganasan, penyeksaan, penahanan secara haram atau layanan kejam terhadap mangsa bagi memaksa mereka terbabit dalam kegiatan penipuan dalam talian.
Sekiranya perbuatan itu menyebabkan kematian mangsa, mahkamah diwajibkan menjatuhkan hukuman mati.
Selain itu, individu yang mengendalikan pusat penipuan dalam talian atau terbabit dalam penipuan mata wang digital, termasuk mata wang kripto, boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup.
Undang-undang itu juga memberi kuasa kepada mahkamah untuk merampas aset hasil kegiatan jenayah, memulangkan wang yang dirampas kepada mangsa serta memusnahkan peralatan yang digunakan dalam operasi jenayah siber.
Myanmar sejak beberapa tahun lalu menjadi antara pusat utama sindiket penipuan dalam talian di Asia Tenggara, dengan kumpulan jenayah rentas sempadan mengeksploitasi perang saudara yang berlarutan untuk membina kompleks penipuan yang dikawal ketat di beberapa kawasan negara itu.
Sindiket berkenaan menyasarkan mangsa di seluruh dunia menerusi penipuan pelaburan mata wang kripto, skim pelaburan palsu dan penipuan percintaan.
Walaupun industri haram bernilai berbilion dolar itu menarik pekerja yang menyertainya secara sukarela kerana gaji lumayan, ramai warga asing yang diselamatkan mendedahkan mereka sebenarnya diperdagangkan ke Myanmar sebelum dipaksa bekerja di pusat penipuan berkenaan.
Mangsa turut mendakwa diseksa, dipukul dan dikurung sekiranya gagal mencapai sasaran penipuan yang ditetapkan pengendali sindiket.
Rang undang-undang itu adalah undang-undang pertama diluluskan di bawah pemerintah baharu Myanmar yang dipimpin bekas ketua junta tentera, Min Aung Hlaing.
Beliau mengetuai rampasan kuasa pada 2021 yang menggulingkan pemerintah dipilih rakyat pimpinan Cik Aung San Suu Kyi, sekali gus mencetuskan perang saudara yang masih berterusan sehingga kini.
Pada April lalu, Encik Min Aung Hlaing mengangkat sumpah sebagai Presiden awam selepas pilihan raya yang dikawal ketat, tanpa penyertaan ik Suu Kyi yang masih ditahan serta parti Liga Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD).
Pilihan raya itu dikritik hebat oleh negara Barat dan kumpulan pemantau demokrasi yang menyifatkannya sebagai tidak bebas dan hanya bertujuan meningkatkan legitimasi pemerintah yang disokong tentera.
Ramai penganalisis turut melihat Parlimen baharu Myanmar sekadar menjadi badan yang meluluskan dasar pemerintah tanpa perbahasan yang bermakna kerana majoriti kerusinya dikuasai wakil pro-tentera.
Rang undang-undang itu dikemukakan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri Myanmar pada 3 Jun oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Leftenan Jeneral Nyunt Win Swe.
Beliau berkata undang-undang itu bertujuan menghalang rangkaian penipuan dalam talian daripada terus berkembang di Myanmar, memperkukuh kerjasama dengan negara asing, membanteras jenayah siber rentas sempadan serta melindungi kestabilan dan kedaulatan negara.
Di bawah undang-undang baharu itu, Myanmar akan menubuhkan Jawatankuasa Pusat Antipenipuan Dalam Talian, jawatankuasa di peringkat wilayah serta sebuah Pusat Antipenipuan.
Badan-badan itu akan menyelaras usaha pencegahan, siasatan, perkongsian maklumat, pembekuan transaksi kewangan dan kerjasama dengan agensi penguat kuasa luar negara.
Undang-undang itu turut mewujudkan sistem perkongsian maklumat melibatkan bank, institusi kewangan, syarikat telekomunikasi dan agensi pemerintah bagi mempercepatkan pengesanan aktiviti jenayah siber.
Pihak berkuasa juga diberi kuasa menahan warga asing yang berada secara haram di Myanmar jika disyaki terbabit dalam operasi penipuan dalam talian, selain merampas wang, aset dan keuntungan yang diperoleh daripada kegiatan berkenaan.
Kesalahan yang lebih ringan boleh dikenakan hukuman penjara sekurang-kurangnya setahun serta denda, manakala kesalahan serius membawa hukuman penjara sehingga seumur hidup atau hukuman mati.
Pelaksanaan undang-undang itu dijangka memperkukuh usaha Myanmar membanteras sindiket penipuan dalam talian yang semakin berkembang di negara berkenaan, namun pemerhati berpendapat keberkesanannya masih bergantung kepada kemampuan pemerintah menguatkuasakan undang-undang di kawasan yang masih bergolak akibat konflik bersenjata. – Agensi berita.