Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Serbuan di pusat penipuan Myanmar dorong sindiket pindah tapak, rekrut pekerja baru

Nov 4, 2025 | 4:17 PM
Orang ramai dari pelbagai negara yang bekerja di kompleks KK Park di Myanmar menaiki kenderaan selepas menyeberangi Sungai Moei ke Thailand, sementara askar Thai mengawal kawasan di Daerah Mae Sot, Wilayah Tak pada 24 Oktober 2025. Lebih daripada 1,000 orang dilaporkan melarikan diri dari Myanmar ke Thailand minggu ini selepas tentera Myanmar menyerbu salah satu pusat penipuan terbesar di negara itu.
Orang ramai dari pelbagai negara yang bekerja di kompleks KK Park di Myanmar menaiki kenderaan selepas menyeberangi Sungai Moei ke Thailand, sementara askar Thai mengawal kawasan di Daerah Mae Sot, Wilayah Tak pada 24 Oktober 2025. Lebih daripada 1,000 orang dilaporkan melarikan diri dari Myanmar ke Thailand minggu ini selepas tentera Myanmar menyerbu salah satu pusat penipuan terbesar di negara itu. - Foto AFP

BANGKOK: Serbuan besar-besaran ke atas salah satu pusat penipuan dalam talian paling terkenal di Myanmar mencetuskan kekecohan apabila ratusan pekerja yang melarikan diri bergegas mencari kerja baharu di pusat-pusat penipuan berdekatan, menurut pakar dan sumber dalaman yang dipetik oleh AFP.

Fenomena pusat penipuan siber kini berkembang pesat di seluruh Asia Tenggara, memperdaya mangsa dengan taktik cinta palsu (romance scam) dan pelaburan kripto, mengakibatkan kerugian berbilion dolar setiap tahun.

Serbuan hujung Oktober di KK Park, kompleks penipuan besar di wilayah sempadan Myanmar, menyebabkan lebih 1,500 orang melarikan diri ke Thailand, manakala ramai lagi kekal di Myanmar untuk mencari peluang di pasaran gelap.

Seorang warga China yang bekerja secara sukarela di pusat penipuan itu memberitahu AFP bahawa ratusan bekas pekerja KK Park telah tiba di kompleksnya yang terletak kira-kira tiga kilometer jauhnya pada 23 Oktober.

“Ada yang akan diambil oleh ketua yang jujur, ada juga yang akan diperalat oleh sindiket lain. Semuanya bergantung pada nasib,” katanya, enggan mendedahkan identiti demi keselamatan diri.

Beliau turut berkongsi lokasi langsung melalui aplikasi mesej yang mengesahkan dia berada di Myanmar berhampiran sempadan Thailand.

Menurutnya, pekerja baru dijanjikan gaji lumayan sehingga AS$1,400 (S$1,822) sebulan bagi menarik mereka menyertai operasi penipuan baharu yang muncul selepas serbuan.

Pakar jenayah rentas sempadan, Encik Jason Tower dari Inisiatif Global Menentang Jenayah Terancang Rentas Sempadan menjelaskan bahawa ramai bekas penipu di KK Park kini telah “direkrut semula” oleh kumpulan lain.

“Ada yang hanya berpindah ke lokasi baru untuk meneruskan kerja menipu. Bagi mereka, ini hanyalah pekerjaan,” katanya kepada AFP.

Menurut laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kerugian akibat penipuan siber di Asia Timur dan Asia Tenggara pada tahun 2023 mencecah AS$37 bilion, dan jumlah global dipercayai jauh lebih tinggi.

Wilayah sempadan Myanmar yang tidak stabil dan sukar dikawal menjadikannya lokasi ideal untuk pusat penipuan siber. Junta tentera yang merampas kuasa pada 2021 didakwa menutup mata terhadap aktiviti ini, kerana sebahagian keuntungan disalurkan kepada militia tempatan yang menyokong mereka.

Namun, pemerintah tentera turut ditekan oleh China, sekutu rapatnya, agar bertindak tegas kerana ramai rakyat China turut menjadi mangsa dan pekerja dalam rangkaian penipuan tersebut.

Pada Oktober lalu, junta Myanmar mendakwa telah menawan sekitar 200 bangunan di KK Park dan menemui lebih 2,000 individu terlibat dalam aktiviti penipuan. Namun, penganalisis percaya operasi itu lebih bersifat simbolik.

“Serbuan itu mungkin hanya untuk menunjukkan tindakan di mata dunia, bukan untuk menghentikan operasi sepenuhnya,” kata Encik Tower.

Tindakan tersebut menyebabkan ribuan orang dari 28 negara melarikan diri ke Thailand termasuk 500 warga India dan 200 warga Filipina, menurut pihak berkuasa tempatan Thailand.

Pihak berkuasa kini berdepan tugas sukar membezakan antara mangsa pemerdagangan manusia dan penipu yang menyertai secara sukarela.

Seorang lelaki warga Filipina yang enggan namanya disiarkan menceritakan detik cemas ketika melarikan diri dari KK Park pada 22 Oktober bersama 30 rakan senegara ketika militia pro-junta tiba untuk menjalankan operasi.

“Semua orang berlari keluar. Itu satu-satunya peluang kami untuk melarikan diri,” katanya.
Beliau mendakwa telah diperdaya dan dijual ke pusat penipuan tersebut, sebelum berjaya menyeberang ke Thailand dengan menaiki bot kecil.

Menurut anggaran pakar, sekitar 20,000 orang bekerja di KK Park sebelum serbuan, kebanyakannya warga China. Ini bermakna hanya kurang 10 peratus berjaya melarikan diri.
Pekerja yang tinggal bukan semestinya atas kerelaan sendiri.

Sumber China yang masih berada di Myanmar memberitahu AFP bahawa kumpulan bersenjata tempatan kini “menjual” penipu yang menganggur kepada operasi baru dengan harga sehingga AS$70,000 setiap seorang.

“Setiap malam saya dengar bunyi letupan, tetapi semua itu hanya lakonan bukan tindakan sebenar untuk menghentikan aktiviti ini,” katanya.

Aktivis hak asasi dari Rangkaian Masyarakat Sivil bagi Bantuan Mangsa Pemerdagangan Manusia, Encik Jay Kritiya, menegaskan bahawa masalah ini tidak akan selesai selagi ketua-ketua sindiket China yang mengawal operasi tidak ditangkap.

“Mereka mesti ditangkap, didakwa di mahkamah, dan segala aset mereka dirampas. Itulah makna sebenar ‘tindakan tegas’,” katanya kepada AFP.

Walaupun serbuan terbaru memberi gambaran tindakan tegas, pakar percaya rangkaian penipuan rentas sempadan di Myanmar masih beroperasi dengan meluas kini dalam bentuk yang lebih tersembunyi, licik, dan menguntungkan. - AFP

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg