Topik diikuti
Pergi ke BHkuMyanmar sahkan 309,000 Rohingya di Bangladesh, isu keselamatan tangguh hantar pulang
YANGON: Pemerintah Myanmar mengesahkan hampir 309,000 pelarian Rohingya yang kini berada di kem pelarian di Bangladesh sebagai bekas penduduk wilayah Rakhine, tetapi menegaskan proses membawa mereka pulang hanya akan dimulakan apabila keadaan keselamatan di wilayah bergolak itu bertambah baik.
Kementerian Luar Myanmar berkata 308,797 daripada 828,824 nama yang dikemukakan Bangladesh sehingga 31 Julai lalu disahkan sebagai bekas penduduk Rakhine.
Secara keseluruhan, Myanmar berkata ia telah selesai memeriksa 426,545 nama dalam senarai yang diberikan Bangladesh.
Daripada jumlah itu, 113,507 individu tidak dapat disahkan, manakala 4,241 lagi dikenal pasti oleh pihak berkuasa Myanmar sebagai terbabit dalam apa yang disifatkannya sebagai kegiatan pengganasan.
Kementerian itu berkata Myanmar akan terus bekerjasama dengan Bangladesh bagi membolehkan mereka yang telah disahkan sebagai bekas penduduk Rakhine kembali apabila keadaan keselamatan mengizinkan.
“Proses penghantaran pulang akan diteruskan apabila keadaan keselamatan di Rakhine menjadi lebih stabil,” menurut kenyataan kementerian itu pada 15 Ogos.
Bagaimanapun, tiada tempoh masa diberikan mengenai bila proses tersebut boleh bermula.
Rakhine kini menjadi medan pertempuran sengit antara tentera Myanmar dengan Tentera Arakan (AA), kumpulan bersenjata etnik yang menuntut autonomi lebih luas bagi wilayah berkenaan.
AA telah menguasai sebahagian besar Rakhine selepas menawan banyak kawasan daripada tentera Myanmar dalam pertempuran sejak beberapa tahun lalu.
Konflik itu menjadikan usaha membawa pulang pelarian Rohingya semakin rumit meskipun Myanmar dan Bangladesh sudah beberapa kali cuba melaksanakan rancangan penghantaran pulang.
Kenyataan terbaru itu dibuat ketika krisis pelarian Rohingya memasuki tahun kesembilan.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lebih 700,000 Rohingya melarikan diri ke Bangladesh pada 2017 selepas tentera Myanmar melancarkan operasi keselamatan susulan serangan oleh kumpulan pemberontak Rohingya terhadap pos keselamatan di Rakhine.
Mereka menyertai ratusan ribu Rohingya yang sudah berada di Bangladesh selepas melarikan diri daripada beberapa gelombang keganasan terdahulu di Myanmar.
Skala dan keganasan operasi tentera pada 2017 mencetuskan tuduhan masyarakat antarabangsa, termasuk PBB, mengenai pembersihan etnik dan pembunuhan beramai-ramai.
Myanmar tidak mengiktiraf Rohingya sebagai salah satu daripada 135 kumpulan etnik rasmi negara itu dan merujuk mereka sebagai ‘Bengali’, yang membawa maksud mereka berasal dari Bangladesh.
Pemerintah Myanmar turut mempertikaikan dakwaan bahawa lebih sejuta penduduk dipindahkan dari Rakhine.
Menurut pihak berkuasa, lebih 540,000 orang menyeberang ke Bangladesh selepas keganasan pada 2017, manakala lebih 200,000 lagi kekal di utara Rakhine.
Myanmar dan Bangladesh pada 2018 mencapai persetujuan untuk melaksanakan proses penghantaran pulang dalam tempoh dua tahun.
Usaha itu bagaimanapun gagal menghasilkan kepulangan besar-besaran.
Percubaan pada 2018 dan 2019 juga tidak menghasilkan sebarang penghantaran pulang meskipun persiapan dibuat oleh kedua-dua negara.
Keadaan semakin rumit selepas tentera mengambil alih kuasa pada 2021 dan menggulingkan pemerintahan yang dipilih pimpinan Cik Aung San Suu Kyi, sekali gus mencetuskan penentangan bersenjata di seluruh negara.
Pertempuran antara tentera dengan AA kembali memuncak di Rakhine pada 2023, menyebabkan lebih ramai penduduk melarikan diri ke Bangladesh dan negara lain.
Pada masa sama, keadaan kehidupan yang sukar di kem pelarian Bangladesh, pengurangan bantuan asing dan ketidakpastian mengenai peluang untuk kembali dengan selamat ke Myanmar menyebabkan semakin ramai Rohingya memilih perjalanan laut yang berbahaya.
Sebahagian daripada mereka menaiki bot yang tidak sesuai untuk perjalanan jauh dalam usaha sampai ke Malaysia dan Indonesia.
Isu penghantaran pulang turut timbul baru-baru ini apabila Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata pada akhir Julai bahawa Myanmar bersetuju menerima kembali 5,000 pelarian Rohingya yang berada di Malaysia.
Namun, pegawai Kementerian Luar Myanmar, Encik Han Win Aung, kemudian berkata program itu hanya melibatkan warga Myanmar yang identitinya telah disahkan dan kini ditempatkan di pusat tahanan di Malaysia.
Beliau menafikan bahawa persetujuan tersebut secara khusus melibatkan Rohingya.
Bagi pelarian di Bangladesh pula, Myanmar menegaskan penghantaran pulang merupakan isu dua hala antara kedua-dua negara.
Walaupun pengesahan hampir 309,000 bekas penduduk Rakhine membuka kemungkinan bagi proses kepulangan pada masa depan, halangan terbesar masih belum berubah – keselamatan.
Selagi pertempuran antara tentera Myanmar dengan AA berterusan dan sebahagian besar Rakhine kekal tidak stabil, prospek ratusan ribu Rohingya untuk kembali ke tempat asal mereka masih tidak menentu. - Agensi berita
