JELEBU (Negeri Sembilan): Selepas isu pelarian di Malaysia hangat diperkatakan sejak beberapa bulan lalu, Myanmar bersetuju menerima semula 5,000 pelarian Rohingya dari Malaysia.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata ia adalah hasil rundingan antara kededua negara.

Beliau berkata keputusan itu merupakan sebahagian usaha kerajaan menangani isu Rohingya yang berlarutan, di samping memastikan ketenteraman awam di Malaysia terus terpelihara.

Datuk Anwar berkata Malaysia mengambil pendirian tegas terhadap mana-mana pelarian Rohingya yang mengganggu jalan raya, kawasan awam serta perniagaan rakyat.

“Isu Rohingya ini masalah kita sekarang. Saya dah bagi amaran dan semalam... dua hari sudah, saya (sudah) bagi arahan kepada polis, saya tak mahu Rohingya ganggu jalan raya dan tempat-tempat awam. Ini Malaysia.

“Jadi sebab hubungan baik (Malaysia) dengan Myanmar, sekarang ini dia (Myanmar) setuju ambil 5,000 dulu dari Malaysia (dan) ambil 300,000 orang Myanmar Rohingya dari Bangladesh, hantar balik Myanmar,” katanya, lapor laman web Astro Awani.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Minum Petang Bersama Perdana Menteri di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah, dalam Parlimen Jelebu.

Majlis turut dihadiri Menteri Pengangkutan yang juga calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Chennah, Encik Anthony Loke di Simpang Durian, Jelebu, Negeri Sembilan.

Datuk Anwar berkata walaupun terdapat gesaan supaya semua pelarian Rohingya dihantar pulang, perkara itu bukan sesuatu yang mudah kerana Myanmar sebelum ini tidak menerima mereka.

“Orang kata, hantar balik! Hantar balik ke mana? Hantar ke Burma, Myanmar… mereka di sana tak mahu terima.

“Sebab apa kita (berjaya) runding, sebab itu (adalah) hasil hubungan baik kita (Malaysia-Myanmar),” tambahnya.

Menurut Datuk Anwar, perkembangan itu adalah hasil rundingan diplomatik antara negara terlibat dan membuktikan hubungan baik dengan Myanmar penting dalam menangani isu rentas sempadan.

Beliau menegaskan kerajaan akan terus mempertahankan kepentingan rakyat Malaysia, sambil memastikan isu pelarian ditangani secara teratur dan mengikut undang-undang.

Sebelum ini, isu lambakan pelarian Rohingya dan penguasaan mereka di beberapa kawasan serata Malaysia mencetus gesaan daripada masyarakat awam, ahli akademik dan badan bukan pemerintah (NGO) supaya mereka dihantar pulang ke negara asal.

Menurut data rasmi Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Malaysia, sejumlah 193,824 pelarian dari Myanmar di Malaysia, dengan etnik Rohingya menjadi majoriti iaitu seramai 126,144 orang.

Pada 28 Julai lalu, 113 pelarian termasuk etnik Rohingya, diusir oleh penduduk di sebuah perkampungan di Pulau Pinang yang kurang senang dengan keberadaan mereka, sebelum polis kemudian menempatkan semula mereka di beberapa kawasan di Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang, selepas menjalani proses dokumentasi.