NAYPYIDAW: Pemerintah tentera Myanmar akan mengadakan fasa kedua pilihan raya berperingkat pada 11 Januari, lapor media pemerintah pada 29 Oktober, meskipun pilihan raya itu dianggap tidak sah oleh negara-negara Barat, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kumpulan hak asasi manusia.
Negara itu terus bergolak selepas tentera merampas kuasa pada 2021, menggulingkan pemerintah awam yang dipimpin penerima Nobel Keamanan Aung San Suu Kyi serta mencetuskan penentangan bersenjata di seluruh negara.
Ramai parti prodemokrasi telah dibubarkan atau memboikot proses pilihan raya. Ketua junta, Min Aung Hlaing, sendiri mengakui bahawa pilihan raya tidak akan diadakan di seluruh negara kerana keselamatan tidak terjamin di banyak kawasan.
Pilihan raya fasa kedua ini dijadual berlangsung dua minggu selepas fasa pertama pada 28 Disember dan melibatkan 100 daerah, termasuk beberapa kawasan di Yangon, pusat komersial terbesar Myanmar.
“Saya tidak fikir ada sesiapa yang percaya pilihan raya itu akan bebas dan adil,” kata Setiausaha Agung PBB Encik Antonio Guterres pada 27 Oktober di luar sidang puncak Asean.
Asean pula pada perhimpunan tahunannya mengakui bahawa blok serantau itu tidak mampu menghalang pilihan raya Myanmar, tetapi berharap agar ia adil dan inklusif. Seorang diplomat Asean berkata, “Rakyat Myanmar patut diberi suara yang sebenar, bukan hanya sekadar formaliti politik.”
Namun, pemerhati berkata keadaan di lapangan jauh berbeza. Junta kini berdepan tentangan hebat daripada tentera etnik dan kumpulan penentang baru, yang berjaya merampas kawasan luas daripada tentera Myanmar.
Menurut laporan bancian pada Disember lalu, hanya 145 daripada 330 daerah dapat dilakukan bancian penuh bagi menyusun senarai pengundi - menunjukkan batasan serius keupayaan pemerintah tentera untuk mengendalikan proses demokrasi yang menyeluruh.
Sementara itu, Parti Liga Nasional bagi Demokrasi (NLD) pimpinan Cik Suu Kyi, bersama 39 parti lain, telah dibubarkan dua tahun lalu selepas gagal mendaftar semula untuk pilihan raya di bawah peraturan ketat yang ditetapkan junta.
Aktivis hak asasi menyifatkan pilihan raya ini sebagai usaha junta untuk mengekalkan kuasa, bukannya memulihkan demokrasi. Seorang aktivis yang enggan dinamakan berkata, “Ini bukan pilihan raya, ini cuma helah untuk mendapatkan legitimasi.” - Reuters


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg