Topik diikuti
Pergi ke BHku14 terkoban dalam nahas helikopter di pusat minyak Saudi
14 terkoban dalam nahas helikopter di pusat minyak Saudi
14 terkoban dalam nahas helikopter di pusat minyak Saudi
RIYADH: Sebuah helikopter milik syarikat minyak negara Arab Saudi, Aramco, terhempas di kawasan pesisir Teluk di Ras Tanura pada 28 Jun, mengorbankan kesemua 14 individu yang berada di dalam pesawat itu.
Kementerian Tenaga Arab Saudi berkata semua mangsa adalah rakyat negara itu dan pihak berkuasa sudah melancarkan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti punca nahas.
“Kementerian Tenaga merakamkan ucapan takziah dan simpati mendalam kepada keluarga mangsa serta berdoa agar Allah mencucuri rahmat dan keampunan kepada mereka,” ujar kenyataan kementerian itu yang disiarkan Agensi Berita Saudi (SPA).
Nahas berlaku kira-kira 6 pagi waktu tempatan di Ras Tanura, wilayah timur Arab Saudi yang menempatkan antara pusat penapisan dan pelabuhan minyak terbesar kerajaan itu.
Kawasan berkenaan menjadi lokasi penting eksport minyak Arab Saudi melalui Selat Hormuz, laluan perkapalan utama dunia yang kini menjadi titik ketegangan susulan konflik antara Amerika Syarikat, Israel dengan Iran.
Bagaimanapun, setakat ini tiada petunjuk bahawa nahas itu berkaitan dengan peningkatan serangan ketenteraan di rantau berkenaan dalam beberapa hari kebelakangan ini.
Sebelum konflik tercetus pada Februari lalu, kira-kira satu perlima penghantaran minyak dan gas dunia melalui Selat Hormuz.
Namun, sejak perang bermula dan Iran mengenakan sekatan de facto ke atas laluan itu, Arab Saudi mengalihkan sebahagian besar eksport minyaknya menerusi saluran paip darat ke pesisir Laut Merah.
Agensi berita, Reuters, melaporkan Arab Saudi sejak beberapa hari lalu kembali memuatkan minyak mentah di pelabuhan Ras Tanura berdasarkan data perkapalan antarabangsa.
Pada Mac lalu, sebuah kebakaran turut berlaku di loji penapisan di Ras Tanura selepas dua dron Iran dipintas dan serpihan dron jatuh di kawasan berkenaan sehingga memaksa beberapa unit operasi ditutup sementara.
Insiden helikopter itu turut mencetuskan ucapan takziah daripada beberapa negara Arab dan Teluk.
Raja Jordan, Abdullah II, menyampaikan ucapan simpati kepada Raja Arab Saudi, Salman bin Abdulaziz Al Saud, dan Putera Mahkota, Mohammed bin Salman.
Baginda mendoakan agar keluarga mangsa diberi ketabahan dan kesabaran menghadapi tragedi itu.
Jurucakap Kementerian Luar Jordan, Duta Fouad Majali, berkata Amman berdiri teguh bersama Arab Saudi susulan insiden berkenaan.
“Jordan menyatakan perpaduan penuh dengan Arab Saudi selepas tragedi menyayat hati ini,” katanya.
Raja Bahrain, Hamad bin Isa Al Khalifa, turut mengutuskan ucapan takziah kepada Raja Salman, manakala Putera Mahkota Bahrain, Salman bin Hamad Al Khalifa, menyampaikan mesej simpati serupa kepada kepimpinan Arab Saudi.
Amiriah Arab Bersatu pula menyatakan perpaduan penuh terhadap Arab Saudi dan menyifatkan nahas itu sebagai kehilangan besar kepada kerajaan dan rakyat negara berkenaan.
Kementerian Luar Oman turut mengutuskan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan rakyat Arab Saudi.
Sementara itu, Setiausaha Agung, Majlis Kerjasama Teluk (GCC), Jasem Albudaiwi, berkata GCC berdiri bersama Arab Saudi ketika menghadapi tragedi itu.
“Kami berdoa agar Allah melindungi Arab Saudi serta mengekalkan keselamatan, kestabilan dan kemakmurannya,” katanya.
Kementerian Luar Palestin juga menyampaikan ucapan takziah kepada kepimpinan dan rakyat Arab Saudi atas tragedi berkenaan.
Setakat ini, pihak berkuasa Arab Saudi belum mendedahkan identiti mangsa atau butiran lanjut mengenai misi penerbangan helikopter itu ketika nahas berlaku. – Agensi berita.
