Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Warga Saudi maut, pembonceng kritikal dalam nahas jet ski terbalik di Indonesia

Jan 7, 2026 | 12:54 PM
Para pegawai penyelamat  bergegas ke tempat kejadian selepas jet ski yang ditunggangi seorang warga Saudi dan seorang wanita Indonesia, terbalik di Pantai Bubalu di Pelabuhanratu, Sukabumi, Jawa Barat Indonesia, pada 5 Januari 2026.
Para pegawai penyelamat bergegas ke tempat kejadian selepas jet ski yang ditunggangi seorang warga Saudi dan seorang wanita Indonesia, terbalik di Pantai Bubalu di Pelabuhanratu, Sukabumi, Jawa Barat Indonesia, pada 5 Januari 2026. - Foto: X/Arabic World News

JAKARTA: Seorang warga Arab Saudi berusia 39 tahun maut selepas jet ski yang ditunggangnya terbalik di Pantai Bubalu di Pelabuhanratu, Sukabumi, Jawa Barat Indonesia, pada 5 Januari, menurut pihak berkuasa tempatan Indonesia.

Kedutaan Arab Saudi di Jakarta mengesahkan bahawa persiapan telah dibuat untuk menghantar pulang mayat warga Arab Saudi yang dikenali sebagai Encik Al Muhanna Hadan Radhi itu.

Dalam kejadian itu, warga Saudi itu dan seorang wanita Indonesia sedang meluncur dengan jet ski untuk kembali ke pantai apabila ombak besar membadai hingga menyebabkan jeti ski mereka terbalik.

Encik Al Muhanna meninggal dunia selepas dikejarkan ke Hospital Besar Wilayah Pelabuhanratu, manakala wanita Indonesia itu yang membonceng jet skinya, dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.

Wanita Indonesia itu dikenali sebagai Cik Siti Maryam, 41 tahun, dari kejiranan Sukamaju, Tugu Selatan, Bogor.

Siasatan oleh Polis Sukabumi menunjukkan bahawa jet ski itu telah dilanggar ombak besar dan lantas menyebabkannya terbalik.

Ketua polis udara dan air Sukabumi, Encik Dadi, mengesahkan peristiwa memilukan itu terjadi sekitar 5 petang pada 5 Januari.

“Mangsa cuba menerobos ombak besar tetapi aksi tersebut gagal dan mengakibatkan jet ski mereka hilang kendali hingga terbalik di tengah laut. Kepala salah seorang mangsa terhentak jet ski tersebut,” kata beliau.

Menurut Encik Dadi, hentakan kuat pada bahagian kepala warga Saudi itu menjadi penyebab utama kematiannya.

Kemalangan jet ski itu berlaku kurang daripada dua minggu selepas dua pelancong Sepanyol terbunuh dan dua lagi hilang apabila bot mereka karam di laut bergelora di Selat Pulau Padar, Nusa Tenggara Timur, dekat Labuan Bajo.

Cik Evita Nursanty, timbalan pengerusi Suruhanjaya VII Dewan Perwakilan yang menyelia pelancongan dan industri, berkata keselamatan mesti dianggap sebagai asas pembangunan pelancongan, setanding dengan aksesibiliti, kemudahan dan tarikan.

“Kemalangan berulang di destinasi pelancongan menunjukkan bahawa keselamatan belum lagi menjadi keutamaan dasar utama. Satu nyawa yang terkorban adalah kegagalan sistemik dan tidak boleh dianggap sebagai sesuatu yang normal,” tegas beliau. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg