SEOUL: Penyiasat menemui bulu burung dan darah dalam kedua-dua enjin Jeju Air yang terhempas di Korea Selatan pada Disember 2024, mengorbankan 179 orang, kata sumber yang biasa dengan siasatan itu.
Pesawat Boeing 737-800 yang berlepas dari ibu negara Thailand, Bangkok ke daerah Muan di barat daya Korea Selatan, terhempas ketika mendarat dengan bahagian perutnya di landasan sebelum melanggar tebing tanah dan konkrit,
Pesawat itu kemudian terbakar sebelum para penumpang dan kru sempat menyelamat diri.
Hanya dua anak kapal di ekor pesawat terselamat dalam bencana penerbangan terburuk di Korea Selatan.
Sekitar empat minit sebelum kemalangan maut itu, salah seorang juruterbang melaporkan serangan burung dan mengisytiharkan kecemasan sebelum cuba mendarat di hujung bertentangan landasan, menurut pihak berkuasa Korea Selatan.
Dua minit sebelum juruterbang mengisytiharkan panggilan kecemasan ‘Mayday’, kawalan trafik udara telah menggesanya supaya berhati-hati kerana “aktiviti burung” di kawasan itu.
Penyiasat berkata bulu-bulu burung ditemui pada salah satu enjin yang ditemui dari tempat nahas, sambil menambah bahawa rakaman video menunjukkan burung-burung menyerbu masuk ke bahagian enjin pesawat.
Namun, Kementerian Pengangkutan Korea Selatan enggan mengulas sama ada bulu dan darah ditemui dalam kedua-dua enjin pesawat yang malang itu.
Dua kotak hitam pesawat itu – kunci untuk mengetahui punca nahas pesawat itu – berhenti merakam kira-kira empat minit sebelum kemalangan, menimbulkan cabaran kepada siasatan yang sedang dijalankan.
Encik Sim Jai-dong, mantan penyiasat kemalangan Kementerian Pengangkutan, berkata bahawa data yang hilang itu mengejutkan dan mencadangkan semua bekalan kuasa mungkin telah terputus – sesuatu yang jarang berlaku.
Serangan burung yang memberi kesan kepada kedua-dua enjin juga jarang berlaku dalam penerbangan di seluruh dunia, walaupun terdapat kes yang berjaya mendaratkan pesawat tanpa melibatkan kematian.
Ini termasuklah dalam kes pesawat mendarat di Sungai Hudson di Amerika Syarikat dalam 2009 dan pendaratan cemas di ladang jagung di Russia pada 2019.
Ekoran nahas udara itu, Pemangku Presiden Korea Selatan, Encik Choi Sang-mok, mengarahkan tindakan segera diambil sekiranya pemeriksaan khas terhadap semua pesawat Boeing 737-800 yang beroperasi di negara itu menemui sebarang isu.
Pakar keselamatan udara mempersoalkan kedudukan tebing tanah dan konkrit pengadang di penghujung landasan yang direka untuk menyokong peralatan navigasi.
Pakar percaya struktur itu mungkin dibina terlalu dekat dengan landasan, menjadi faktor nahas tersebut berlaku. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg