Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Nahas kapal selam timbulkan isu keselamatan kembara angkasa lepas

Jun 26, 2023 | 03:13 PM



NEW YORK: Kembara angkasa lepas komersial berkongsi banyak persamaan dengan pelancongan laut dalam: pelanggan kaya, ruang sempit dan destinasi jauh yang dengan jelas memberi amaran kepada orang ramai bahawa mereka berisiko mati dengan menaiki kenderaan tidak dikawal.


Ketika dunia menyelongkar di mana silap berhubung kes tenggelamnya kapal selam pelancongan kendalian OceanGate, kekurangan perlindungan keselamatan kapal itu menimbulkan persoalan.

Pengasas kumpulan pelancongan laut dalam itu pernah menyifatkan soal keselamatan sebagai “sia-sia” dan pihak industri memberi amaran mengenai potensi “bencana” daripada pendekatan bercorak “eksperimen” beliau dalam penerokaan lautan.

Kapal selam seperti Titan tertakluk kepada sedikit pengawasan keselamatan, lebih-lebih lagi apabila berada di perairan antarabangsa. Rejim kawal selia – atau kekurangannya – serupa juga mengawal penerokaan komersial ruang angkasa melibatkan manusia.


Sedang industri angkasa swasta tidak mengalami bencana pada skala kegagalan OceanGate, risikonya tetap ada.

“Terdapat kebimbangan besar bahawa ketiadaan peraturan keselamatan bermakna akan ada operasi tidak boleh dipercayai yang boleh mengakibatkan pelanggan cedera atau berpotensi terbunuh,” kata Dr Brian Weeden, pengarah perancangan program Yayasan Secure World – pertubuhan tidak mencari untung kemampanan angkasa yang berusaha mengekang sampah angkasa dan pengurusan trafik angkasa yang lebih baik.

Di bawah undang-undang Amerika Syarikat, Pentadbiran Penerbangan Persekutuan tidak boleh mengenakan piawaian keselamatan ke atas kapal angkasa komersial yang membawa manusia ke angkasa lepas. Itu mungkin berubah seawal lewat tahun ini, melainkan undang-undang semasa dilanjutkan.

Penumpang komersial yang menyertai kembara angkasa lepas dengan pesawat yang dikendalikan SpaceX milik Encik Elon Musk, Virgin Galactic Holdings atau Blue Origin – satu-satunya syarikat yang kini menyediakan perkhidmat sedemikian – melakukannya di bawah rangka kerja “persetujuan sedia maklum”.

Ini bermakna mereka mengakui pemerintah tidak memperakui kembara bersama kapal angkasa komersial dan “penyertaan dalam penerbangan angkasa lepas boleh mengakibatkan kematian, kecederaan serius, atau kehilangan fungsi fizikal atau mental secara keseluruhan atau sebahagian”.

SpaceX, bagaimanapun, membangunkan kapsul penumpang Crew Dragon di bawah keperluan keselamatan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (Nasa) untuk menghantar angkasawan agensi itu ke Stesen Angkasa Antarabangsa.


Rejim “persetujuan sedia maklum” ini bermula pada 2004 dengan pindaan ke atas Akta Pelancaran Angkasa Komersial, yang mengenakan moratorium kawal selia ke atas Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) selama lapan tahun.

Kongres telah dua kali melanjutkan moratorium itu sepanjang beberapa tahun lalu, tetapi ia akan tamat sekali lagi pada Oktober ini.

FAA sedang mengambil tindakan awal untuk membangunkan rangka kerja keselamatan bagi penerbangan angkasa lepas melibatkan manusia secara komersial menjelang tamatnya moratorium itu, kata seorang jurucakap kepada Bloomberg News.


Ahli Kongres, Encik Frank Lucas, pengerusi Jawatankuasa Dewan mengenai Sains, Angkasa dan Teknologi, berkata pada Jumaat lalu bahawa jawatankuasa itu sedang meneliti peraturan bagi perjalanan angkasa lepas komersial, tetapi tidak memberikan sebarang butiran.

Justifikasi bagi kurangnya pengawasan setakat ini ialah industri angkasa lepas masih dalam “tempoh pembelajaran”, sama seperti penerbangan komersial pada tahun-tahun awalnya.

“Ada pihak bimbang bahawa mengenakan peraturan keselamatan pada peringkat awal akan membantutkan industri itu,” kata Dr Weeden, Presiden Persekutuan Penerbangan Angkasa Komersial.

Pelancongan angkasa jauh berbeza daripada penerokaan laut dalam dari segi komersial. Penerbangan Blue Origin dan Virgin Galactic tidak terdedah kepada bahaya hilang semasa penerbangan.

Mereka sebenarnya tidak mencapai orbit dan graviti akan membawa mereka kembali ke bumi dengan pantas.

SpaceX menghantar kapalnya ke orbit, tetapi banyak teknologi pengesanan wujud untuk mencari objek angkasa jika komunikasi terputus.

Bagaimanapun, kemalangan telah berlaku.

Pada Julai 2021, apabila Virgin Galactic menerbangkan pengasasnya, Encik Richard Branson ke angkasa, kapal itu menyimpang daripada haluan penerbangan yang dimaksudkan; dan pada 2014, seorang juruterbang meninggal dunia dan seorang lagi cedera parah semasa penerbangan ujian Virgin Galactic.

Tahun lepas, roket Blue Origin yang dimaksudkan untuk penumpang terhempas selepas enjinnya tidak berfungsi, tetapi tiada orang dalam pesawat tersebut waktu itu. – Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >